DYMM SULTAN SELANGOR BERKENAN SERAH WATIKAH PELANTIKAN SETIAUSAHA MAIS, KETUA HAKIM SYARIE, ANGGOTA PANEL TETAP HAKIM RAYUAN SYARIAH SELANGOR, KETUA PENDAFTAR MAHKAMAH RAYUAN SYARIAH SELANGOR, HAKIM MAHKAMAH RENDAH SYARIAH SELANGOR, TIMBALAN PENDAFTAR MAHKAMAH TINGGI SYARIAH SELANGOR, PENOLONG PENDAFTAR MAHKAMAH RENDAH SYARIAH SELANGOR, AHLI LEMBAGA PEMEGANG AMANAH LEMBAGA ZAKAT SELANGOR, AHLI LEMBAGA PENGARAH PERBADANAN WAKAF SELANGOR, KETUA PENDAFTAR DAN PENDAFTAR KANAN NIKAH, CERAI DAN RUJU’
DYMM SULTAN SELANGOR BERKENAN SERAH WATIKAH PELANTIKAN SETIAUSAHA MAIS, KETUA HAKIM SYARIE, ANGGOTA PANEL TETAP HAKIM RAYUAN SYARIAH SELANGOR, KETUA PENDAFTAR MAHKAMAH RAYUAN SYARIAH SELANGOR, HAKIM MAHKAMAH RENDAH SYARIAH SELANGOR, TIMBALAN PENDAFTAR MAHKAMAH TINGGI SYARIAH SELANGOR, PENOLONG PENDAFTAR MAHKAMAH RENDAH SYARIAH SELANGOR, AHLI LEMBAGA PEMEGANG AMANAH LEMBAGA ZAKAT SELANGOR, AHLI LEMBAGA PENGARAH PERBADANAN WAKAF SELANGOR, KETUA PENDAFTAR DAN PENDAFTAR KANAN NIKAH, CERAI DAN RUJU’
SHAH ALAM, 30 Oktober – Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Sultan Selangor berkenan menyerahkan watikah pelantikan Setiausaha MAIS, Ketua Hakim Syarie, Anggota Panel Tetap Hakim Rayuan Syariah Selangor, Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Selangor, Hakim Mahkamah Rendah Syariah Selangor, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah Selangor, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor, Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Wakaf Selangor, Ketua Pendaftar dan Pendaftar Kanan Nikah, Cerai dan Ruju’ dengan jumlah keseluruhan seramai 17 orang penerima watikah dalam majlis istiadat yang diadakan di Istana Bukit Kayangan.
Kesemua pelantikan ini dibuat selaras dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 (EPAINS 2003).
Bagi pelantikan Setiausaha MAIS dikurniakan kepada Tuan Haji Mohd Sabirin Mohd Sarbini yang telah dilantik berkuat kuasa mulai 16 Julai 2025 menggantikan Dr Haji Ahmad Shahir Makhtar. Beliau turut menerima watikah sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor bagi sesi 2024-2026.
Pelantikan Setiausaha MAIS ini adalah berdasarkan EPAINS 2003 di bawah Seksyen 16 (1) yang menyatakan:
16. (1) “ Duli Yang Maha Mulia Sultan atas nasihat Majlis, hendaklah melantik mana-mana orang yang layak dan sesuai menjadi Setiausaha.”
Bagi pelantikan Ketua Hakim Syarie dikurniakan kepada YAA Puan Nenney Shuhaidah Shamsuddin berkuatkuasa 1 November 2025. Turut dilantik sebagai Anggota Panel Tetap Hakim Rayuan Syariah Selangor dikurniakan kepada YA Datuk Haji Mohd Radzi Abd Latif; manakala pelantikan Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Selangor dikurniakan kepada Puan Salwani Khalid dan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Selangor dikurniakan kepada Tuan Muhammad Amir Firdaus Sidin, Tuan Mohd Amir Yahaya, Puan Norul Aina Bahari dan Tuan Ahmad Faizul Ashar.
Selain itu, turut dilantik ialah Tuan Norhazli Rahim sebagai Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Selangor dan pelantikan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah dikurniakan kepada Puan Nurun Nabilah Ahmad Jaril, Tuan Mohamad Nasrin Kasnan, Puan Nur Hani Athirah Zainal Bahari dan Puan Nur Kamilah Mohamad Soleh. Bagi pelantikan Ketua Pendaftar dikurniakan kepada Tuan Mohd Raizalani Mohd Rais dan Tuan Mohammad Azli Ab Rahman dilantik sebagai Pendaftar Kanan.
Pelantikan Anggota Panel Tetap Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Selangor di bawah Subseksyen 57 (1) EPAINS menerangkan, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, atas nasihat Majlis dan Ketua Hakim Syarie, boleh melantik tujuh (7) orang Islam untuk membentuk suatu panel tetap Hakim Mahkamah Rayuan Syariah.
Bagi pelantikan Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Selangor dan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Selangor adalah di bawah perenggan 60 EPAINS manakala pelantikan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Selangor di bawah Subseksyen 59 (1) EPAINS 2003 iaitu Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, atas nasihat Ketua Hakim Syarie, boleh melantik, daripada kalangan anggota perkhidmatan awam am Negeri atau perkhidmatan bersama, Hakim-Hakim Mahkamah Rendah Syariah.
Pada istiadat tersebut juga, seramai dua orang penerima watikah bagi pelantikan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) dikurniakan kepada Tan Sri Dato’ Sri Haji Syed Zainal Abidin Syed Mohamed dan Tuan Haji Mohamed Izam Mohamed Yusof. Pelantikan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) adalah kelulusan Majlis dan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berdasarkan Perintah Penubuhan Perbadanan Wakaf Selangor 2011 (Pindaan 2012).
Selain itu, penerima watikah Ketua Pendaftar dan Pendaftar Kanan Nikah, Cerai dan Ruju’ adalah berdasarkan peruntukkan Seksyen 28 (1) dan (2) di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.
MAIS mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua penerima watikah dalam Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Setiausaha MAIS, Ketua Hakim Syarie, Anggota Panel Tetap Hakim Rayuan Syariah Selangor, Hakim Mahkamah Rendah Syariah Selangor, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah Selangor, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor, Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Wakaf Selangor, Ketua Pendaftar dan Pendaftar Kanan.
Semoga pelantikan ini dapat mengukuhkan lagi tadbir urus hal ehwal Islam Negeri Selangor dan seterusnya memacu kemajuan ummah Islam di Negeri Selangor.












