FENOMENA INFLUENCER YANG TIDAK BERWIBAWA: PENGARUH NEGATIF DARI FIGURA AWAM YANG MENYIMPANG

Di landskap digital moden, figura awam digital atau influencer telah berevolusi daripada sekadar pengguna media sosial kepada kuasa dominan yang memiliki daya tarikan serta pendorong yang besar dalam membentuk budaya, trend, pemikiran dan keputusan pengguna. Tidak seperti selebriti tradisional, influencer menawarkan janji kredibiliti organik melalui hubungan maya dan akses terus (secara live) kepada kehidupan seharian mereka. Mereka tidak hanya menjual produk tetapi juga gaya hidup, nilai dan kebiasaan harian. Namun, perkembangan pantas ini telah melahirkan masalah yang serius iaitu kekuatan pengaruh yang besar tidak diimbangi oleh wibawa dan integriti moral. Fenomena influencer tanpa wibawa ini bukan hanya isu kecil dalam pemasaran (marketing) tetapi cerminan hakisan etika dan nilai moral yang berlaku di ruang digital awam.

medium shot man holding smartphone
Sumber imej: freepik.com

Wibawa seorang influencer adalah modal mereka yang paling berharga. Ia dibina di atas integriti, kejujuran dan kebolehan memberi nilai. Apabila dilihat secara kolektif, pelbagai tingkah laku yang tidak beretika berpunca daripada cara fikir yang cetek memberi kesan kepada persepsi awam terhadap mereka. Audiens mula meragui ketulenan (authenticity) dan motivasi sebenar di sebalik setiap hantaran (post) atau cadangan serta tidak lagi melihat influencer itu sebagai sahabat yang jujur tetapi sebagai jurujual berbayar. Ini adalah kunci kepada fenomena influencer yang tidak berwibawa.

Kegagalan menjaga etika dan integriti melibatkan skandal penipuan, plagiarisme isi kandungan (content), eksploitasi pengikut seperti mempromosikan skim cepat kaya atau penipuan atau penggunaan platform media sosial untuk menyebarkan kebencian. Tindakan ini merosakkan imej diri mereka dan mencemarkan reputasi jenama yang bekerjasama dengan mereka seperti ketidakjujuran komersial, mempromosikan produk secara berlebihan tanpa ketelusan (over-commercialization) atau mengesyorkan barangan yang jelas-jelas tidak berkualiti demi bayaran. Tingkah laku ini secara langsung memusnahkan kepercayaan yang dibina serta menghakis keyakinan masyarakat terhadap semua cadangan mereka. Dalam Islam, nilai kejujuran diletakkan sebagai asas dan influencer yang gagal memelihara nilai ini telah melanggar prinsip teras Islam. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar.”

(Al-Ahzab: 70)

Ketidakjujuran komersial berlaku apabila influencer menerima semua tawaran tanpa ketelusan atau tanpa mengambil kira kesesuaian jenama. Fenomena iklan tersembunyi di mana influencer membuat promosi palsu sebagai testimoni peribadi adalah bentuk penipuan yang menghakis wibawa. Mereka sanggup mengesyorkan produk berkualiti rendah demi bayaran yang lumayan.

img a18 04
Sumber imej: https://medium.com

Perbezaan antara influencer yang berwibawa dan yang tidak berwibawa paling jelas dilihat melalui perbezaan antara imej yang dibina dan realiti di sebaliknya. Ciri-ciri influencer yang tidak berwibawa membawa fokus pengisian (content) yang mengejar sensasi, drama dan viral dengan cepat. Motivasi bagi influencer tidak berwibawa bersifat keuntungan wang dan populariti semata-mata dengan menerima semua sponsor; tiada proses tapisan (vetting) yang ketat. Cara komunikasi mereka over-editing, berpura-pura, mempamerkan kemewahan palsu. Manakala maklum balas mereka terhadap kritikan yang dilemparkan adalah bersikap defensif, menyerang balik atau memadam komen. Berbeza dengan influencer yang berwibawa membawa fokus pengisian (content) yang berfokus kepada nilai, kepakaran (niche) dan solusi. Motivasi mereka adalah membangun minda masyarakat dan berkongsi ilmu/pengalaman. Mereka bersikap selektif iaitu hanya membuat promosi produk yang benar-benar dipercayai dan selari dengan motivasi. Mereka berkomunikasi dengan benar, telus dan berkongsi realiti cabaran. Apabila menghadapi kritikan mereka bersikap terbuka, mengambil iktibar dan tidak berpura-pura. Jurang ini menunjukkan bahawa influencer tidak wibawa adalah produk gelembung perhatian yang mudah pecah (attention bubble), rapuh dan bergantung kepada penipuan imej.

img a18 05 shutterstock 1728918238
Sumber imej: https://x10.media/

Apabila pengaruh negatif berterusan, ia memberi kesan yang lebih besar iaitu memperkukuh standard sosial yang tidak sihat.

Influencer kerap mempamerkan gaya hidup yang telah disunting dan tidak realistik, mencetuskan Fear of Missing Out (FOMO) yang teruk dan menyebabkan pencemaran Self-Esteem. Ini membawa kepada peningkatan kadar kecemasan dan body dysmorphia di kalangan audien terutamanya remaja kerana mereka sentiasa membandingkan realiti mereka dengan ilusi digital. Ia juga boleh menyebabkan normalisasi perilaku toksik iaitu tindakan kontroversi atau provokatif yang dilakukan oleh influencer untuk mendapatkan engagement diterima sebagai tingkah laku yang dibenarkan seterusnya mencemarkan norma sosial yang sihat.

selfie traveler
Sumber imej: freepik.com

Influencer yang terlibat dalam drama, konflik atau menyebarkan penipuan demi engagement secara tidak langsung menormalisasikan perilaku negatif tersebut. Mereka mencipta Echo Chamber di mana maklumat palsu dan pendapat ekstrem diperkukuh. Islam menekankan tanggungjawab setiap individu dalam hal penyebaran maklumat. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Janganlah engkau mengikuti apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semuanya itu akan ditanya (dipertanggungjawabkan).” (Al-Isra’: 36)

 

Ayat ini memberikan peringatan keras kepada influencer agar melakukan tabayyun (penelitian) dan kepada audien agar menjadi pengguna kandungan yang kritis. Ini bermakna, fenomena ini menuntut kita untuk menghimpun semua masalah yang disebut di atas ke dalam satu tuntutan iaitu mendefinisikan semula model kejayaan influencer. Kejayaan sejati tidak diukur dari engagement sesaat, jumlah followers atau bayaran yang diterima tetapi dari kesan positif, kredibiliti dan nilai yang diberikan.

Untuk membalikkan arus negatif ini, pemulihan fenomena memerlukan tindakan serentak dari tiga pihak iaitu pengguna media sosial mesti menjadi warga digital yang bertanggungjawab, perlu bersikap kritis dan bijak memilih kandungan yang memberikan nilai, menghentikan engagement pada drama sensasi atau kontroversi serta memberi sokongan kepada influencer yang beretika. Pemilik jenama perlu mengenakan proses vetting yang ketat, mengutamakan kesesuaian nilai (brand alignment) dan integriti berbanding sekadar capaian (reach) yang besar atau jumlah pengikut. Mereka harus bersedia memboikot influencer yang terpalit skandal etika. Begitu juga kepada pemilik platform media sosial mesti mengubah algoritma yang sesuai dan lebih menghargai content berwibawa, bermaklumat dan positif agar tidak hanya mengutamakan promosi content atau engagement yang dihasilkan daripada cerita sensasi.

img a18 09
Sumber imej: freepik.com

Fenomena influencer tanpa wibawa adalah gejala masyarakat yang mengutamakan perhatian berbanding kebenaran. Kredibiliti adalah mata wang digital yang paling berharga. Selagi influencer tidak berpegang teguh pada prinsip jujur (qaulan sadida) dan bertanggungjawab terhadap apa yang mereka sebarkan, mereka akan kekal sebagai pengaruh negatif yang merosakkan moral dan psikologi masyarakat. Wibawa hanya akan kembali jika influencer berhijrah atau mengalihkan tumpuan dari Model Viral (yang bergantung kepada kontroversi) kepada Model Pakar (Expert Model) yang boleh mempengaruhi minda masyarakat ke arah membuat kebaikan. Wibawa sejati hanya terhasil daripada integrasi influence (pengaruh) dengan integriti. Jelas, masa depan ekosistem influencer bergantung kepada sama ada mereka memilih untuk kekal sebagai figura awam yang menyimpang demi keuntungan segera atau bertransformasi menjadi pemimpin pendapat yang berwibawa dan bertanggungjawab.

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor
Search