HASUTAN SYAITAN DAN HASUTAN NAFSU VS PERISAI IMAN

A10 05
Sumber imej: janaan Ai

Apa perbezaan hasutan nafsu dan syaitan?

Ciri-ciri bisikan nafsu ialah ia akan mendorong ke arah kejahatan dalam bentuk yang terkhusus dan terarah. Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi menjelaskan: “Antara perbezaan godaan nafsu ialah ia amat kuat menarik ke arah kejahatan dengan hanya bersifat terarah dan terkhusus’’. Hal ini sepertimana firman Allah SWT:

“Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu).”
(Surah Yusuf : 53)

Imam al-Tabari menjelaskan: “Sesungguhnya nafsu yang dimaksudkan ialah nafsu hamba yang memerintahkan kepada seluruh apa yang dia inginkan oleh hawanya, meskipun bukan pada sesuatu yang diredhai oleh Allah SWT.”

Dalam sebuah doa, Nabi Muhammad SAW telah menggabungkan antara kejahatan nafsu dan kejahatan syaitan. Baginda SAW mengucapkan:

اللَّهمَّ فاطرَ السَّمواتِ والأرضِ، عالِمَ الغيبِ والشَّهادةِ، رَبَّ كلِّ شيءٍ ومَلِيكَهُ،

أشهَدُ أن لا إلهَ إلَّا أنتَ، أعُوذُ بكَ مِن شرِّ نَفْسي، وشرِّ الشَّيطانِ وشِرْكِهِ

A10 02
Sumber imej: janaan Ai
“Ya Allah, Yang Menjadikan langit dan bumi, Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Tuhan bagi setiap sesuatu dan pemiliknya. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau. Aku berlindung pada-Mu dari kejahatan diriku sendiri dan dari kejahatan syaitan dan teman sekutunya.
[HR : Abu Daud]

Syeikh al-‘Azim Abadi menjelaskan bahawa maksud ‘شر الشيطان’ ialah bisikan was-wasnya serta godaan kesesatannya, sedangkan maksud syirkah (شرْكة) pula ialah apa-apa yang mendorong ke arah melakukan syirik dengan Allah SWT. Ia juga boleh dibaca dengan syarakah (شركة) iaitu tali-tali dan perangkap syaitan yang bertujuan memfitnah dan menggoda manusia.

Menurut al-Junaid al-Baghdadi, nafsu itu apabila ingin mendorong untuk melakukan sesuatu kejahatan, ia akan terus mendorong dan mempengaruhi sehingga berhasil. Kata beliau: “Nafsu apabila meminta sesuatu kepada kamu, ia akan membuat hasutan berterusan dan sentiasa mempengaruhi kamu sehingga tercapai kehendaknya dan berhasil tujuannya. Melainkan apabila ia digagalkan dengan mujahadah sebenar yang berterusan. Kemudian ia akan terus berusaha untuk mempengaruhi lagi.”

Namun berlainan dengan syaitan, sekiranya sesuatu kejahatan tidak berjaya dipengaruhinya, dia akan menghasut untuk melakukan kejahatan yang lain pula. Kata Junaid al-Baghdadi lagi: “Apabila syaitan mengajak kamu melakukan sesuatu penyelewengan tertentu, tetapi kamu melawannya, dia akan mempengaruhi kamu supaya melakukan penyelewengan yang lain pula. Ini kerana semua pelanggaran ajaran Allah SWT itu sama sahaja baginya. Dia hanya mahu selama-lamanya mengajak kepada penyelewengan apa sahaja. Dan dia tidak mengkhususkan penyelewengan dalam satu perkara dan tidak yang lainnya.”

Perisai Iman

Sifat terpuji yang melambangkan ketinggian budi pekerti Muslim dan ketebalan imannya adalah sifat malu.

الحياء شعبة من الإيمان
“Malu itu adalah satu cabang daripada iman.” [HR: Bukhari]

Malahan, yang lebih menariknya sifat malu ini adalah satu petanda yang membuktikan iman itu bertapak kukuh dalam sudut jiwa sanubarinya, sebaliknya jika seseorang tidak mempunyai rasa malu bermakna dia kehilangan imannya sebagaimana ditegaskan sendiri oleh Rasulullah SAW yang bersabda maksudnya:

“Malu dan iman itu adalah teman yang seiring jalan. Jika salah satu daripadanya terangkat (tiada), nescaya terangkat (tiada) juga yang satu lagi.” [HR : Al-Hakim]

Di antara perbuatan yang boleh mengundang pertolongan Allah SWT dan mengusir bisikan syaitan ialah berzikir. Rasulullah SAW bersabda:

“Perumpamaan orang yang berzikir kepada Tuhannya dan orang yang tidak berzikir adalah seperti orang hidup dan orang mati.” [HR: Bukhari]

Dalam menghadapi nafsu, zikir dan mengingati Allah SWT adalah benteng pertama yang mampu menghalang kita daripada terjatuh dalam godaannya. Rasulullah SAW bersabda :

“Sesungguhnya syaitan berjalan dalam diri anak Adam melalui saluran darah.” [HR : Bukhari]

Hati yang sentiasa dipenuhi dengan nama Allah SWT akan lebih kuat dan tenang dalam menangkis godaan duniawi.

A10 03
Sumber imej: janaan Ai

Solat juga menjadi senjata ampuh dalam perjuangan ini. Lima kali sehari kita bersujud kepadaNya, mengadu dan memohon perlindungan agar dijauhkan daripada bisikan syaitan dan nafsu yang menggoda.

Selain itu, ilmu agama adalah cahaya yang membimbing kita dalam kegelapan. Dengan memahami ajaran Al-Quran dan Hadis, kita akan lebih jelas tentang bahaya mengikuti hawa nafsu dan akibatnya di dunia serta akhirat.

Berpuasa juga menjadi latihan rohani yang hebat, bukan sahaja menahan lapar dan dahaga tetapi juga mengawal diri daripada segala perkara yang boleh merosakkan jiwa.

Salah satu doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW untuk melawan nafsu adalah:

اللَّهُمَّ آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلَاهَا
“Ya Allah, berilah nafsuku ketakwaan dan sucikanlah ia, Engkau adalah sebaik-baik yang mensucikannya, Engkau adalah pelindungnya dan tuannya.” [HR : Muslim]

Doa ini mengajarkan kita untuk memohon kepada Allah SWT agar diberi kekuatan dalam memerangi nafsu. Kerana hakikatnya, tanpa pertolonganNya, kita adalah insan yang lemah dan mudah terjatuh dalam jerat syaitan.

Kesimpulan

A10 05 copy
Sumber imej: janaan Ai & https://www.magnific.com

Nafsu dan syaitan merupakan dua musuh utama manusia, namun cara kedua-duanya beroperasi adalah berbeza. Nafsu lazimnya mendesak manusia kepada kejahatan yang tertentu dan berterusan sehingga keinginan tersebut dipenuhi, manakala syaitan pula sentiasa mencari pelbagai pintu untuk menyesatkan manusia; jika satu pintu ditutup, dia akan membuka pintu yang lain.

Oleh itu, seorang Muslim tidak cukup sekadar mengenali bentuk-bentuk maksiat, bahkan perlu memahami sumber yang mendorong kepada maksiat tersebut. Perisai yang paling ampuh ialah iman yang hidup dalam hati, yang diperkukuhkan melalui zikir, solat, ilmu, mujahadah, puasa dan doa. Apabila hati sentiasa terhubung dengan Allah SWT, bisikan syaitan menjadi lemah dan dorongan nafsu dapat dikawal. Benarlah firman Allah SWT:

“Sesungguhnya syaitan itu tidak mempunyai kekuasaan terhadap orang-orang yang beriman dan bertawakal kepada Tuhan mereka.” (Surah al-Nahl: 99)

Maka medan peperangan sebenar seorang Mukmin bukanlah di luar dirinya, tetapi di dalam hatinya. Sesiapa yang berjaya menundukkan nafsunya dan mematahkan tipu daya syaitan dengan pertolongan Allah SWT, dialah orang yang mencapai kemenangan yang hakiki di dunia dan akhirat.

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor
Search