IJTIMAK PEMEGANG TAULIAH MENGAJAR NEGERI SELANGOR 2025

IJTIMAK PEMEGANG TAULIAH MENGAJAR NEGERI SELANGOR 2025

571150437 1205175944860936 3292766523441548007 n
SHAH ALAM, 25 Oktober 2025 – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah menganjurkan Ijtimak Pemegang Tauliah Mengajar Negeri Selangor 2025, bertempat di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, bagi memperkukuh kefahaman serta kompetensi para Pemegang Tauliah terhadap isu-isu semasa berkaitan fatwa dan peraturan yang sedang berkuat kuasa.
 
Majlis yang dirasmikan oleh Pengerusi MAIS, YAD Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin Bin Saidin, ini menghimpunkan hampir 400 Pemegang Tauliah Mengajar dari seluruh Negeri Selangor. Hadir sama, Sahibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tauliah MAIS, YAD Dato’ Setia Dr. Haji Anhar bin Haji Opir; Sahibus Saadah Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, YBhg. Dato’ Haji Mohd Shahzihan bin Ahmad; Exco Agama Islam Dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, YB Tuan Dr. Mohammad Fahmi bin Ngah dan Ketua Polis Selangor, CP Dato’ Pahlawan Shazeli bin Dato’ Kahar.
 
Dalam ucapan perasmian, YAD Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin menegaskan bahawa tauliah bukan sekadar lesen untuk mengajar, tetapi lambang amanah dan benteng utama dalam memastikan kesucian ajaran Islam terpelihara daripada penyelewengan.
 
Beliau turut menyeru agar setiap Pemegang Tauliah mengamalkan integriti, disiplin serta berpegang teguh kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam penyampaian ilmu kepada masyarakat.
 
Sehingga ini, seramai 5,572 penceramah telah diperakui sebagai Pemegang Tauliah Negeri Selangor melalui sistem digital e-Tauliah, sekali gus menggambarkan jaringan besar para pendakwah yang sah di sisi undang-undang serta diyakini masyarakat.
 
Selaras dengan komitmen memperkukuh profesionalisme pendakwah, MAIS dan JAIS turut melancarkan Modul Pengukuhan dan Profesionalisme Pemegang Tauliah Mengajar Negeri Selangor, yang akan mula digunakan pada tahun 2026. Modul ini memberi penekanan kepada aspek akidah, fiqh, tasawuf, ajaran sesat semasa, kemahiran al-Quran serta pematuhan terhadap peraturan tauliah terkini.
 
Majlis turut diserikan dengan segmen khas “Bicara Tauliah” bertajuk “Memperkasa Profesionalisme dan Kompetensi Pendakwah Dalam Menangani Cabaran Dakwah Semasa” oleh YBhg. Dato’ Profesor Dr. Haji Mohd Izhar Ariff bin Mohd Kashim, Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
 
Selain itu, sesi “Bicara Fatwa Ahli Sunnah Wal Jamaah” turut diadakan bersama dua ahli panel, YBhg. Dato’ Dr. Muhammad Ayman Al-Akiti, Anggota Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, dan YBhg. Dr. Abdullaah bin Jalil, Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
 
Majlis diakhiri dengan penyampaian Anugerah Tokoh Pendakwah Negeri Selangor 2025 kepada Tuan Haji Ahmad Zaki bin Arsad (Kategori Lelaki) dan Puan Rohiyah @Zainab bin Haji Taib ( Kategori Wanita) sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar mereka dalam memartabatkan dakwah Islamiah di negeri ini. Kedua-dua menerima RM10,000, trofi dan Sijil Penghargaan.
 
Penganjuran Ijtimak ini membuktikan komitmen berterusan MAIS dan JAIS dalam memperkukuh institusi dakwah agar terus relevan, berwibawa serta berpaksikan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai teras akidah umat Islam di Negeri Selangor.
 
MAIS | Majlis Agama Islam Selangor
Search