KEDAULATAN SULTAN SELANGOR: KEABSAHAN TITAH KETUA AGAMA ISLAM DAN RAJA PEMERINTAH NEGERI
Pendahuluan
Institusi Diraja Selangor bukan sekadar suatu lambang kesinambungan sejarah, malahan ia merupakan pasak utama yang menjamin kestabilan sosiopolitik serta kesucian agama Islam di negerinya. Dalam kerangka Jurisprudens Watan, kedaulatan Raja Melayu bukanlah suatu konsep yang lahir daripada vakum politik, tetapi ia adalah manifestasi amanah daripada Allah SWT kepada pemerintah di muka bumi ini. Namun, mutakhir ini, keharmonian dan sistem perlembagaan ini cuba diganggu-gugat oleh kenyataan biadap daripada individu tertentu, seperti Ronnie Liu, yang secara terbuka mempersoalkan titah “full stop” (noktah) daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Bagi memahami isu ini, kita perlu kembali kepada punca kuasa (source of authority) yang sah. Kedaulatan Sultan Selangor adalah berakar umbi dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor yang meletakkan baginda sebagai punca kuasa pemerintahan. Sebarang cubaan untuk meremehkan titah Baginda bukan sekadar satu pelanggaran etika politik, tetapi merupakan cabaran langsung terhadap keluhuran perlembagaan negeri yang mengiktiraf Sultan sebagai pemerintah yang berdaulat.
Sultan sebagai Ulul Amri: Pemegang Amanah Allah SWT
Sebagai Ketua Agama Islam Negeri, DYMM Sultan Selangor memegang amanah sebagai Ulul Amri dan pemegang amanah Allah SWT di bumi Selangor. Kedudukan ini meletakkan baginda pada darjat yang tinggi dalam sistem pemerintahan negeri. Setiap titah dan tindakan baginda mestilah berpaksikan kepada keadilan syarak dan pemeliharaan agama Islam dalam kerangka Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor dan Perlembagaan Persekutuan.
Titah baginda dalam isu yang menyentuh sensitiviti masyarakat, seperti isu penternakan babi, merupakan satu bentuk pelaksanaan tugas keagamaan yang sah dan wajib ditaati. Dalam kerangka Islam, ketaatan kepada Ulul Amri dalam perkara yang makruf (baik) bukan sekadar pilihan, tetapi satu kewajipan bagi setiap rakyat yang bernaung di bawah payung kedaulatan baginda. Apabila baginda mengeluarkan titah demi memelihara maslahah awam (kepentingan umum) dan mencegah kerosakan melalui kaedah sadd al-dzara’i (menutup pintu) kerosakan, maka tiada ruang bagi mana-mana pihak untuk mempertikaikan keabsahan titah tersebut. Keingkaran terhadap titah Sultan merupakan satu bentuk kebiadapan dan derhaka yang mencerminkan kegagalan memahami bai’ah kesetiaan antara rakyat dan pemerintah dalam tradisi Melayu-Islam.
Keluhuran Perlembagaan dan Demokrasi Berperlembagaan
Negara ini mendukung prinsip keluhuran perlembagaan, namun, undang-undang perlembagaan mestilah dibaca mengikut prinsip kedaulatan dan sejarah tanah air. Demokrasi yang kita amalkan bukanlah demokrasi mutlak yang bersifat sekular; sebaliknya, ia adalah demokrasi berperlembagaan yang tertakluk kepada kedaulatan Raja. Ini bermakna, amalan demokrasi di Malaysia tidak boleh sesekali mengatasi atau menghapuskan prerogatif Sultan dalam perkara yang dipelihara oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.
Ketiga-tiga cabang Kerajaan, iaitu Eksekutif, Legislatif, dan Kehakiman memperolehi mandat mereka daripada kedaulatan Sultan. Adalah satu kekhilafan besar sekiranya ada pihak menganggap cabang kuasa tersebut mempunyai kuasa mandiri yang terpisah daripada kedaulatan Raja. Sebaliknya, mereka merupakan pelaksana fungsi pemerintahan bagi pihak dan di bawah naungan Sultan. Oleh itu, apabila prinsip demokrasi digunakan sebagai perisai untuk menghina atau mencabar titah Sultan, individu tersebut sebenarnya telah menderhaka kepada prinsip keluhuran perlembagaan itu sendiri.
Sultan sebagai Pelindung Agama dan Dasar Patuh Syariah
Kedudukan Sultan sebagai Ketua Agama Islam tidak boleh dipisahkan daripada peranan baginda sebagai pemerintah negeri. Islam bukan sekadar hiasan dalam perlembagaan, tetapi merupakan “Agama Negeri”. Maka, segala dasar pentadbiran yang dijalankan oleh pihak Eksekutif mestilah selaras dengan prinsip patuh syariah yang menjadi kewajipan Sultan untuk memeliharanya.
Sering kali terdapat naratif songsang yang mendakwa bahawa Sultan “wajib” mengikut nasihat Eksekutif dalam semua perkara. Ini adalah pemahaman yang amat dangkal. Di bawah prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan, nasihat yang diberikan oleh Menteri Besar atau Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak bersifat mutlak. Nasihat tersebut bertujuan untuk memudahcara tugas Sultan sebagai pelindung agama dan perlembagaan serta pemelihara maslahah rakyat. Sultan mempunyai prerogatif untuk memantau, menegur, malah menolak nasihat Eksekutif jika sekiranya setelah merundingi mufti atau ahli Dewan Diraja, baginda mendapati ia bercanggah dengan amanah Ilahi atau boleh menggugat keharmonian negeri. Prerogatif Baginda adalah benteng terakhir yang memastikan pentadbiran negeri tidak terpesong daripada landasan keadilan yang berpaksikan prinsip patuh syariah.
Analisis Isu Penternakan Babi: Keadilan dan Keadaan Tempatan
Isu penternakan babi di Selangor perlu dilihat dari lensa Local Circumstances atau Keadaan Tempatan. Sebagai sebuah negeri yang berdaulat dan berakar umbi daripada Kesultanan Melayu, setiap dasar mestilah mengambil kira adat, budaya, dan sensitiviti agama majoriti rakyat. Isu ini bukan sekadar masalah ekonomi atau perdagangan, tetapi melibatkan aspek kebersihan awam, kesihatan rakyat, kelestarian alam sekitar, dan ketenteraman sosial.
Titah Sultan untuk tidak membenarkan lagi penternakan babi merupakan manifestasi kecaknaan baginda terhadap maslahah rakyat secara menyeluruh. Baginda tidak menafikan hak bukan orang Islam untuk memakan daging babi, malah membenarkan import untuk memenuhi permintaan tersebut. Walau bagaimanapun, tragedi pada masa lalu membuktikan bahawa penternakan babi lebih mengundang mudarat yang lebih besar kepada negeri dan rakyat. Baginda bertindak sebagai penimbang adil yang memastikan kepentingan komersial kelompok kecil tidak mengatasi maslahah masyarakat yang lebih besar. Ini adalah keadilan hakiki yang merupakan tanggungjawab raja pemerintah, bukannya sekadar tunduk pada tekanan politik kelompok tertentu.
Kesetiaan: Syarat Kerakyatan dan Keharmonian
Setiap individu yang mengaku sebagai warganegara Malaysia yang mendiami Selangor, sama ada melalui kelahiran atau naturalisasi, menurut manifestasi Jadual Pertama Perlembagaan Persekutuan, terikat dengan sumpah kesetiaan kepada Sultan Selangor. Kesetiaan merupakan syarat perlembagaan yang fundamental. Apabila seseorang warganegara secara terbuka mengeluarkan pernyataan yang biadap berbaur hasutan seperti mendakwa titah Sultan sebagai “ujian keberanian” buat pimpinan kerajaan atau “merosakkan imej negara”, individu tersebut sebenarnya telah mencabul kesetiaannya sebagai seorang warganegara.
Tindakan mencabar autoriti Sultan secara terbuka menunjukkan kegagalan individu tersebut untuk memahami hakikat kerakyatan di bawah naungan payung kedaulatan Raja Melayu. Provokasi sedemikian ialah satu bentuk keingkaran atau penderhakaan yang boleh disifatkan sebagai menghasut rakyat supaya tidak setia dan menimbulkan kebencian terhadap institusi raja.
Tindakan Perundangan: Mempertahankan Institusi Diraja
Dari sudut perundangan, terdapat asas yang amat kukuh untuk pihak berkuasa mengambil tindakan tegas di bawah Akta Hasutan 1948 terhadap pihak yang mengeluarkan kenyataan yang cenderung menghasut kebencian terhadap Raja. Selain itu, bagi penganut Islam, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) memberikan kuasa untuk menghukum mereka yang mengingkari atau mempertikaikan perintah Sultan atas kapasiti baginda sebagai Ketua Agama Islam.
Pihak berkuasa, terutamanya PDRM dan Jabatan Peguam Negara, tidak seharusnya teragak-agak dalam menguatkuasakan undang-undang tersebut. Kita tidak boleh membiarkan kebiadapan dan hasutan sedemikian menjadi “normalisasi” dalam masyarakat. Kedaulatan Sultan Selangor tidak boleh diperjudikan demi kepentingan retorik politik murahan. Tindakan tegas adalah perlu bagi memberi pengajaran bahawa titah Raja bukanlah sesuatu yang boleh didebatkan mengikut selera politik kepartian atau individu.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, Institusi Diraja Selangor adalah benteng terakhir yang menjaga kesucian agama Islam dan keharmonian negeri. Setiap cabang kerajaan mestilah sentiasa akur bahawa autoriti mereka bermuara daripada kedaulatan Sultan yang merupakan pemegang amanah Allah SWT. Segala amalan demokrasi berperlembagaan mestilah tunduk kepada prinsip keluhuran Perlembagaan yang meletakkan Raja sebagai pemerintah yang berdaulat.
Titah Sultan adalah noktah bagi segala polemik. Tiada ruang untuk perdebatan lanjut apabila baginda telah memutuskan sesuatu perkara demi kebaikan rakyat dan negeri. Kepada mereka yang mencabar titah Sultan, ingatlah bahawa tanah Selangor ini mempunyai tuannya, dan undang-undang akan sentiasa tegak untuk mempertahankannya daripada sebarang bentuk hasutan, penghinaan dan penderhakaan.
Allahu Akbar!
Daulat Tuanku!









