MAIS AGIH RM9.5 JUTA FIDYAH WANG SAKU PELAJAR, BANTU 19,000 PELAJAR NEGERI SELANGOR
MAIS AGIH RM9.5 JUTA FIDYAH WANG SAKU PELAJAR, BANTU 19,000 PELAJAR NEGERI SELANGOR
KLANG, 20 Ogos – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengagihkan sebanyak RM9.5 juta melalui Program Agihan Fidyah Wang Saku Pelajar bagi membantu 19,000 pelajar dalam kalangan asnaf fakir miskin dan miskin sementara di seluruh Selangor.
Daripada keseluruhan peruntukan tersebut, sebanyak RM3 juta disalurkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) bagi membantu 6,000 pelajar, manakala RM4 juta diperuntukkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi membantu 8,000 pelajar.
Majlis simbolik penyerahan bagi agihan kepada JAIS telah diadakan pada 13 Ogos lalu.
Baki RM2.5 juta pula diperuntukkan kepada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), melibatkan 5,000 pelajar yang layak menerima bantuan tersebut.
Peruntukan RM9.5 juta itu memberi manfaat kepada 19,000 pelajar yang layak, melibatkan pelajar sekolah rendah, sekolah menengah, Sekolah Rendah Agama (SRA), Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), serta pelajar IPTA dan IPTS di seluruh Selangor yang memenuhi syarat sebagai penerima agihan fidyah wang saku pelajar.
Simbolik penyerahan agihan fidyah wang saku pelajar disempurnakan oleh Setiausaha MAIS, YBhg. Tuan Haji Mohd Sabirin Mohd Sarbini, dalam Majlis Pelancaran Program Agihan Fidyah MAIS Wang Saku Pelajar Tahun 2026 di Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa, di sini, hari ini.
Dalam majlis hari ini, sebanyak RM3 juta disalurkan kepada JPNS melibatkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Selangor sebanyak RM544,000, diikuti PPD Klang sebanyak RM344,000, PPD Hulu Langat (RM316,000), PPD Gombak (RM259,000), PPD Kuala Langat (RM250,500) dan PPD Sabak Bernam (RM207,500).
Selain itu, sebanyak RM203,500 diperuntukkan kepada PPD Hulu Selangor, RM187,000 kepada PPD Sepang, PPD Petaling Perdana sebanyak RM185,000 dan PPD Petaling Utama sebanyak RM170,000.
Setiausaha MAIS dalam ucapannya turut menyeru orang ramai agar menunaikan fidyah melalui laman sesawang rasmi MAIS iaitu www.mais.gov.my memandangkan MAIS merupakan pihak berkuasa agama yang diberi kuasa untuk mengutip dan mengagihkan fidyah di negeri Selangor selaras hukum syarak.
Program Agihan Fidyah Wang Saku Pelajar merupakan antara inisiatif MAIS dalam membantu meringankan beban pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan, khususnya bagi memenuhi keperluan makanan dan minuman sepanjang tempoh persekolahan.
Setiap pelajar yang layak menerima kupon wang saku pelajar bernilai RM500 secara sekali sahaja. Kupon tersebut boleh digunakan di kantin sekolah yang ditetapkan bagi pembelian makanan dan minuman dengan nilai RM5 sehari.
Pada tahun 2025, MAIS telah mengagihkan sebanyak RM4.68 juta melalui fidyah wang saku pelajar kepada 15,613 pelajar di seluruh Selangor yang memenuhi syarat sebagai penerima agihan.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid JPNS, Tuan Haji Yusaini Salleh; Timbalan Setiausaha Operasi MAIS, Hajah Norlaili Mohamed; Pengarah Pembangunan Sosial MAIS, Ustaz Suhaimi Ismail; dan Guru Besar SK Kampung Jawa, Encik Mohd Khudzari Mohd Nor.












