MAIS ANJUR MAJLIS TAUTAN HATI KELUARGA MUALLAF
MAIS ANJUR MAJLIS TAUTAN HATI KELUARGA MUALLAF
SHAH ALAM, 10 Oktober 2026 – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui Bahagian Pendaftaran Muallaf dan Pembangunan PIBK (BPMP) telah menganjurkan Majlis Tautan Hati Keluarga Muallaf buat julung kalinya dengan kerjasama Hidayah Centre Foundation (HCF) bertempat di Mardhiyyah Hotel, Shah Alam.
Program ini merupakan salah satu inisiatif MAIS dalam memperkukuh hubungan kekeluargaan antara muallaf dengan ahli keluarga yang beragama Islam dan bukan Islam, di samping meningkatkan persefahaman, mengurangkan salah tanggapan serta memupuk sikap saling menghormati dalam kalangan ahli keluarga yang berbeza agama.
Seramai 76 orang peserta telah menghadiri program ini yang terdiri daripada 22 pasangan suami isteri (44 orang), enam orang ibu bapa termasuk tiga orang bukan Islam serta 26 orang kanak-kanak yang merupakan anak-anak kepada keluarga yang hadir. Menariknya, seorang daripada peserta yang hadir masih belum memeluk Islam dan turut menyertai program bersama pasangannya yang beragama Islam.
Program ini turut menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang etnik dan budaya, antaranya Cina, India, Dusun, Rungus dan Kadazan dari Sabah serta Iban dan Bidayuh dari Sarawak. Selain itu, terdapat juga penyertaan peserta yang berasal dari Filipina, Vietnam dan Indonesia.
Dalam ucapan alu-aluannya, YBrs. Puan Hajah Norlaili binti Mohamed, Timbalan Setiausaha (Operasi) MAIS, menegaskan bahawa MAIS sentiasa komited dalam memperkasa pembangunan dan kesejahteraan muallaf secara menyeluruh. Menurut beliau, cabaran yang dihadapi oleh muallaf bukan sahaja melibatkan penyesuaian kepada kehidupan sebagai seorang Muslim, malah turut merangkumi aspek hubungan kekeluargaan, emosi dan sokongan sosial. Sehubungan itu, program ini diharap dapat menjadi platform untuk membina persefahaman serta mengukuhkan kasih sayang dalam institusi keluarga.
Program ini menampilkan dua pengisian utama, iaitu perkongsian bertajuk “Keharmonian Keluarga Pasca Pengislaman: Cabaran dan Harapan” yang disampaikan oleh Encik Amir Robert Ta Honn Yu, Panel Penasihatan Akidah, Jabatan Mufti Negeri Selangor merangkap Setiausaha Agung Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA).
Pengisian kedua merupakan sesi sembang santai bertajuk “Hubungan Kekeluargaan dalam Keluarga Islam dan Bukan Islam” yang menampilkan YBhg. Dr. Muhammad Yusuf Marlon bin Abdullah, Pengarah Pusat Kajian Etnik dan Orang Asli, Universiti Islam Selangor (UIS), bersama Puan Nur Warjeet Kaur @ Nur Wathiqahinani binti Abdullah, Panel Penasihatan Akidah. Sesi ini dikendalikan oleh Ustazah Nur Ain Sumaiyah K. Sumitra Valaitham selaku moderator.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Datin Paduka Dr. Khadijah binti Mohd Khambali @ Hambali, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Muallaf MAIS.
Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa hubungan kekeluargaan tidak seharusnya terputus hanya kerana perbezaan pegangan agama, sebaliknya perlu terus dipelihara melalui kasih sayang, persefahaman dan sikap saling menghormati. Beliau turut menegaskan bahawa muallaf perlu diberikan sokongan dan perhatian agar tidak berasa terpinggir atau keseorangan dalam menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim.
Turut hadir ialah Ustaz Suhaimi bin Ismail, Pengarah Sektor Pembangunan Sosial MAIS; Puan Hajah Hafizatulakmal binti Abdul Jalil, Ketua Bahagian Pendaftaran Muallaf dan Pembangunan PIBK MAIS; Tuan Haji Ab Rahim bin Abdul Hamid, Pengarah Operasi Zon 1 Hidayah Centre Foundation (HCF); serta Encik Mohamasir bin Mohamad, Pengurus Operasi Negeri Selangor HCF.
Penganjuran program ini diharapkan dapat menjadi platform berterusan dalam memperkukuh hubungan kekeluargaan, membina jaringan sokongan kepada muallaf serta menyemai nilai kasih sayang, toleransi dan keharmonian dalam masyarakat berbilang agama di Negeri Selangor.
#mais #MenjunjungAmanah #maissantunianda














