MAIS HASILKAN 46 KAJIAN PENYELIDIKAN BAGI BANTU ISU-ISU HAL EHWAL ISLAM SELANGOR
MAIS HASILKAN 46 KAJIAN PENYELIDIKAN BAGI BANTU ISU-ISU HAL EHWAL ISLAM SELANGOR
SHAH ALAM, 2 Disember – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah menghasilkan 46 kajian penyelidikan bagi membantu isu-isu hal ehwal Islam di negeri Selangor bermula tahun 2019 sehingga kini.
Antara penyelidikan yang dijalankan adalah Kajian Pelaksanaan Ta’widh dan Gharamah dalam Konteks MAIS; Kajian Pembangunan Model Insan Rabbani Menurut Quran: Ke Arah Penyediaan Instrumen Pelan Strategik MAIS dan Kajian Kebolehsana Baitulmal MAIS sebagai Badan Akreditasi.
Kajian penyelidikan ini juga meliputi beberapa bidang dan tumpuan utama kemaslahatan ummah yang melibatkan sosial dan ekonomi di Negeri Selangor.
Antara tumpuan skop pengajian ialah perkara-perkara yang melibatkan akidah, syariah, dakwah, perundangan keluarga serta tadbir urus dan muamalat.
Melalui kajian yang dijalankan, MAIS adalah sebagai Pusat Sehenti (One Stop Centre) bagi melaksana dan menyelia setiap penyelidikan yang ingin dijalankan oleh Jabatan-Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor, agensi dan anak syarikat MAIS.
Kajian penyelidikan yang dilaksanakan dengan kerjasama dari penyelidik dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Antara penyelidik yang dilantik oleh MAIS adalah Universiti Islam Selangor (UIS), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Multimedia Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Islam Malaysia.
Sementara itu, bagi majlis penyerahan hasil penyelidikan MAIS bagi tahun 2024 disempurnakan oleh Tuan Haji Mohd Sabirin Mohd Sarbini, Setiausaha MAIS dalam Majlis Perasmian Penutup Simposium Penyelidikan Islam Selangor 2025 di sini hari ini.
Sebanyak enam hasil kajian penyelidikan MAIS bagi tahun 2024 telah dilaksanakan dan sesi penyerahan hasil kajian penyelidikan membabitkan dua kajian iaitu Analisis Profil Premis Sembelihan Halal di Negeri Selangor oleh Dr. Fakhri bin Sungit (UIS) dan Kajian Kebolehsanaan Zon Waktu Solat Berdasarkan Daerah di Negeri Selangor oleh Dr Mohd Saiful Anwar bin Mohd Nawawi (UM).
Semua hasil kajian yang telah diterbitkan dikenali sebagai Jurnal Intifadah boleh dimuat turun melalui laman sesawang rasmi MAIS di www.mais.gov.my.
Pada majlis yang sama, MAIS turut menyampaikan sumbangan Geran Penyelidikan MAIS 2026 kepada UIS iaitu Panel Penyelidik MAIS dengan geran berjumlah RM120,000.00.
MAIS juga melantik Ahli Jawatankuasa Pemandu Penilaian Penyelidikan MAIS (JPPP) sebanyak lima orang penyelidik bagi sesi 2025-2028 bertujuan membantu MAIS, Jabatan-Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor, agensi dan anak syarikat dalam menyelesaikan isu yang berlaku berkaitan sosial dan ekonomi masyarakat Islam Selangor.
JPPP yang dilantik adalah Prof Madya TPr. Dr. Lukman Hakim Mahamod (UIAM); Prof Madya Dr Suhaili Sarif (UM); Prof. Ts. Dr. Mardeni Roslee (UMM); Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad (UPM) dan Prof. Madya Dr. Ahmad Najaa’ Mokhtar (USIM).
Selain itu, MAIS turut melantik UIS melalui Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC) sebagai panel penyelidik MAIS bertujuan memperkukuhkan jalinan strategik pengurusan penyelidikan di MAIS melalui kerjasama dalam bidang penyelidikan termasuk pelaksanaan penyelidikan, penerbitan, perkongsian kemudahan dan promosi aktiviti dalam kepakaran bidang di UIS.
MAIS berharap hasil kajian yang dijalankan dapat membantu MAIS mengenalpasti isu-isu berkaitan hal ehwal Islam Selangor selain dijadikan panduan dalam pengurusan penyelidikan di MAIS.
Sementara itu, Simposium Penyelidikan Islam Selangor 2025 yang diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan dan kefahaman kepada masyarakat berhubung informasi terkini berkaitan hal ehwal Islam Selangor terutama hasil penyelidikan yang telah dijalankan oleh MAIS.
Terdapat lima tajuk kajian yang dibentangkan, antaranya adalah The Beneficiary Accountabilility Practices Enhance The Non-Profit Organizations Social Performance: Evidence from Malaysia yang disampaikan oleh Dr. Norraini Nordin, Pengarah Pembangunan Sosial MAIS dan Kaedah Penebusan Pusaka Muslim Mesra Pengguna di MAIS yang disampaikan oleh Tuan Haji Mohammad Salleh Abdul Saha, Ketua Bahagian Dakwah dan Pemasaran MAIS.














