MAIS LANCAR KEMPEN WASIAT DHUYUFURRAHMAN

MAIS LANCAR KEMPEN WASIAT DHUYUFURRAHMAN

658914349 18551434612064155 2034413797436414158 n
SHAH ALAM, 31 Mac – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini melancarkan Kempen Wasiat Dhuyufurrahman 2026 bermula 1 April sehingga 20 Mei 2026 bagi menggalakkan masyarakat Islam berwasiat sebelum bermusafir menunaikan ibadat haji.
 
Pelancaran disempurnakan oleh YAD Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin Saidin, Pengerusi MAIS diiringi oleh Setiausaha MAIS, YBhg Tn. Hj Mohd Sabirin Mohd Sarbini dalam Majlis Jalinan Ukhuwah Eidulfitri Rakan Strategik MAIS yang diadakan di Dewan Jamuan, Masjid Salahuddin Abdul Aziz Shah.
 
Kempen ini merupakan inisiatif tahunan MAIS bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan bakal jemaah haji mengenai kepentingan penyediaan dokumentasi wasiat sebagai persediaan awal merancang pembahagian harta dan melantik MAIS sebagai wasi bagi menguruskan wasiat sekiranya berlaku kematian semasa bermusafir haji.
 
Melalui kempen ini, MAIS turut menawarkan harga promosi istimewa serendah RM200 bagi perkhidmatan Pelantikan Wasi dan Penyediaan Surat Wasiat, sekali gus memberi peluang kepada masyarakat Islam merancang pengurusan harta secara lebih teratur dan selaras dengan tuntutan syarak.
 
MAIS mensasarkan tawaran istimewa ini khusus kepada bakal jemaah haji tahun 2026 (Dhuyufurrahman) dan mana-mana individu yang akan menunaikan haji. Selain itu, orang ramai yang belum atau telah menunaikan haji tetapi tidak mempunyai wasiat, boleh merebut peluang kempen ini membuat wasiat daripada sekarang. Tawaran ini sah sepanjang tempoh kempen berlangsung.
 
Menerusi perkhidmatan ini, MAIS akan melaksanakan pengurusan dan pembahagian harta pusaka secara telus, adil dan profesional mengikut hukum syarak kepada benefisiari serta ahli waris.
Dengan menyediakan wasiat, ia dapat mengurangkan risiko pertikaian pusaka dalam kalangan waris termasuk menggalakkan tindakan segera dalam kalangan masyarakat Islam untuk merancang harta secara patuh syariah, di samping mengelakkan berlakunya isu harta pusaka beku.
 
Sebagai badan berautoriti agama Islam, MAIS sememangnya mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai wasi, pentadbir harta pusaka dan pemegang amanah harta orang Islam selaras dengan subseksyen 5(4), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
 
Permohonan wasiat boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman sesawang rasmi MAIS di https://siswa.mais.gov.my atau dengan mengimbas kod respon pantas yang disediakan.
 
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai kempen ini boleh melayari laman web rasmi MAIS di https://www.mais.gov.my atau media sosial rasmi MAIS.
 
MAIS | Majlis Agama Islam Selangor
Search