MAIS NEGERI PERTAMA MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN PENGGUNAAN SISTEM e-MUALLAF
MAIS NEGERI PERTAMA MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN PENGGUNAAN SISTEM e-MUALLAF
Shah Alam, 13 Oktober – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melakar pencapaian apabila menjadi Majlis Agama Islam Negeri yang pertama di Malaysia yang menandatangani Memorandum Persefahaman Penggunaan Sistem e-Muallaf bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Â
Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman Penggunaan Sistem e-Muallaf ini disempurnakan oleh Tuan Haji Mohd Sabirin Mohd Sarbini, Setiausaha MAIS dan Brigedier Jeneral Datuk Haji Mohd Ajib Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), JAKIM.
Â
Memorandum persefahaman tersebut menandakan permulaan rasmi kerjasama strategik antara MAIS dan JAKIM dalam penggunaan serta pengurusan Sistem e-Muallaf. Pelaksanaan sistem ini akan menjadi rujukan utama peringkat kebangsaan dalam penyelarasan maklumat dan perkhidmatan kepada muallaf.
Â
Memorandum persefahaman ini bertujuan mewujudkan pangkalan data maklumat muallaf yang bersepadu di peringkat kebangsaan, sekaligus memperkukuh sistem pengurusan maklumat muallaf secara lebih tersusun, cekap dan menyeluruh.
Â
Sistem e-Muallaf merupakan sistem pangkalan data nasional yang dibangunkan oleh JAKIM dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU). Sistem ini berfungsi sebagai platform utama untuk merekod, menyelaras dan mengesahkan maklumat pengislaman serta bimbingan muallaf di seluruh negara.
Â
Melalui memorandum persefahaman ini, MAIS akan mengintegrasikan data pendaftaran muallaf negeri Selangor ke dalam Sistem e-Muallaf JAKIM, menjadikan Selangor sebagai negeri perintis menandatangani memorandum persefahaman kepada pelaksanaan sistem di peringkat negeri Selangor.
Â
Langkah ini akan membuka jalan ke arah penyelarasan data muallaf yang lebih sistematik dan diiktiraf di peringkat kebangsaan.
Â
Memorandum Persefahaman Penggunaan Sistem e-Muallaf ini berkuat kuasa selama dua tahun bermula 13 Oktober 2025 hingga 12 Oktober 2027 dan pelaksanaannya akan dipantau bersama oleh Jawatankuasa Pengurusan Bersama MAIS dan JAKIM yang akan menilai kemajuan pelaksanaan, keselamatan maklumat serta keperluan penambahbaikan dari semasa ke semasa.
Â
Pemeteraian memorandum persefahaman ini merupakan langkah awal yang signifikan ke arah memperkukuh tadbir urus Islam serta memperkemas pengurusan data muallaf di Selangor dan seluruh negara.
Â
MAIS berharap agar kerjasama strategik bersama JAKIM ini menjadi landasan kukuh kepada penyatuan data muallaf di seluruh Malaysia serta menjadi contoh terbaik pelaksanaan digitalisasi pengurusan Islam yang cekap, telus dan mesra pengguna.
Â
MAIS optimis pelaksanaan memorandum persefahaman ini akan menjadi titik tolak kepada pembentukan ekosistem pengurusan muallaf yang moden, efisien dan berkesan.
Â












