MAIS PERUNTUK RM1.5 JUTA PENGURUSAN PENDAFTARAN MUALLAF DI NEGERI SELANGOR
MAIS PERUNTUK RM1.5 JUTA PENGURUSAN PENDAFTARAN MUALLAF DI NEGERI SELANGOR
SHAH ALAM, 27 September – Majlis Agama Islam Selangor memperuntukkan sebanyak RM1,500,000.00 bagi pengurusan pendaftaran muallaf di negeri Selangor dalam usaha memperkasa tadbir urus hal ehwal saudara baru.
Â
Peruntukan ini memfokuskan kepada menyantuni muallaf dari sudut pendaftaran pengislaman yang sempurna serta sah dari sudut perundangan. Menggerakkan program outreach komuniti, insentif galakan muallaf serta sokongan kepada badan kebajikan Islam. Semua aktiviti dan program ini dilaksanakan secara bersepadu bagi memastikan pembangunan akidah dan sahsiah serta integrasi muallaf ke dalam masyarakat Islam dapat direalisasikan secara mampan dan inklusif.
Â
MAIS juga menerima seramai 1,053 muallaf yang didaftarkan pengislaman bermula bulan Januari sehingga Ogos 2025. Sehingga kini, sebanyak 42 Pusat Pengurusan Pengislaman (PPP) disediakan oleh MAIS berbanding 39 pusat sebelum ini bagi memudahkan proses pendaftaran pengislaman terutama di Selangor.
Â
PPP bertanggungjawab membantu dan memberi konsultasi kepada mana-mana individu yang berhasrat untuk membuat pendaftaran pengislaman dengan suci hati dan kerelaan sendiri tanpa paksaan daripada mana-mana individu atau pun pihak lain.
Â
Selain menguruskan proses pengislaman, PPP juga memainkan peranan membantu MAIS dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam proses penjagaan, perlindungan serta pengajaran kepada mereka.
Â
PPP MAIS merangkumi Bahagian Pendaftaran Muallaf dan Pembangunan PIBK, Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) di setiap daerah Selangor, Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) dan masjid-masjid yang mendapat kebenaran dari MAIS. Antara PPP MAIS adalah PERKIM Bahagian Negeri Selangor, Hidayah Centre Foundation (HCF) Selangor, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam dan Masjid Al-Falah USJ 9 Subang Jaya.
Â
Selain itu, masyarakat amat digalakkan menjadi pemudahcara dengan membantu mereka ke PPP yang berhampiran beserta dokumen berkaitan agar urusan pendaftaran pengislaman dapat dipermudahkan.
Â
Sementara itu, MAIS hari ini menganjurkan program Kempen Bulan Muallaf dan Program Pemurnian Pengislaman dan Dakwah Orang Asli Daerah Hulu Langat yang disempurnakan perasmian oleh YBhg Tan Sri Mazlan Mansor, Timbalan Pengerusi MAIS.
Â
Kempen Bulan Muallaf bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat di Negeri Selangor berkaitan pengurusan pengislaman yang dilaksanakan oleh MAIS. MAIS mengambil inisiatif menganjurkan kempen ini bagi berkongsi pelbagai isu berkaitan hal ehwal Islam termasuk pendaftaran pengislaman, pendaftaran pernikahan dan dokumen pengenalan diri disamping memberi kefahaman tentang agama Islam.
Â
Selain itu, melalui kempen yang dijalankan ini juga secara tidak langsung muallaf mendapat pendedahan agama Islam termasuk maklumat pendaftaran pengislaman secara menyeluruh, tepat dan boleh dijadikan panduan kepada kehidupan mereka.
Dalam majlis yang sama juga, turut diadakan penyampaian sumbangan fidyah MAIS kepada penduduk yang terlibat di sini iaitu sebanyak 67 kotak barangan asas berjumlah keseluruhan RM14,874.00 dan sumbangan barangan kering daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebanyak 114 kotak dengan jumlah keseluruhan RM11,400.00 yang disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi MAIS.
Â












