MAIS SALUR BANTUAN AGIHAN FIDYAH KEPADA 32 PENERIMA AHLI KARIAH SURAU IBU PEJABAT POLIS KONTINJEN SHAH ALAM
MAIS SALUR BANTUAN AGIHAN FIDYAH KEPADA 32 PENERIMA AHLI KARIAH SURAU IBU PEJABAT POLIS KONTINJEN SHAH ALAM
SHAH ALAM, 26 Februari 2026 – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terus komited melaksanakan tanggungjawab kebajikan menerusi program Agihan Fidyah kepada golongan memerlukan dalam satu majlis yang berlangsung di Surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam, pada jam 2.30 petang tadi.
Majlis penyampaian telah disempurnakan oleh Pengarah Sektor Pembangunan Sosial MAIS, Suhaimi Bin Ismail.
Sebanyak 32 set Agihan Fidyah MAIS (Kotak Makanan) bernilai RM7,912.20 yang mengandungi keperluan makanan harian seperti beras, tepung, gula, makanan retort, susu serta barangan asas lain telah diagihkan kepada 32 penerima. Sumbangan ini bertujuan membantu meringankan beban sara hidup penerima yang berhadapan tekanan ekonomi.
Agihan kali ini memberi tumpuan kepada klien-klien yang berada di bawah seliaan IPK Selangor yang telah dikategorikan sebagai miskin tegar dan golongan B40 di negeri Selangor.
Inisiatif ini mencerminkan pendekatan rahmah dan inklusif MAIS dalam memastikan tiada golongan tercicir daripada menerima bantuan, khususnya mereka yang sedang berusaha membina semula kehidupan.
Menurut wakil MAIS, program sebegini bukan sahaja memenuhi tuntutan syarak dalam pengurusan fidyah, malah menjadi medan dakwah dan sokongan sosial kepada penerima agar terus istiqamah memperbaiki kehidupan serta kembali aktif dalam masyarakat.
MAIS turut menyeru umat Islam di Selangor agar menunaikan kewajipan fidyah melalui saluran rasmi bagi memastikan agihan dapat disalurkan secara tersusun, telus dan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Turut hadir ialah ACP Mohamed Izzani Bin Abdul Halim, Timbalan Ketua Cawangan Khas IPK Selangor, DSP Perumal a/l Subramaniam, Pegawai Turus, Bahagian E8, Cawangan Khas IPK Selangor, Insp Mohd Faiz Bin ESA, Inspektor Bahagian E8, Cawangan Khas IPK Selangor serta pegawai-pegawai kanan yang terlibat.












