MAIS SANTUNI, HULUR SUMBANGAN KEPADA WARIS MANGSA YANG MAUT AKIBAT DILANGGAR PEMANDU MABUK

MAIS SANTUNI, HULUR SUMBANGAN KEPADA WARIS MANGSA YANG MAUT AKIBAT DILANGGAR PEMANDU MABUK

660099315 1332035402174989 6580316703422468489 n 1
SHAH ALAM, 2 April-Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini menyantuni waris mangsa yang maut akibat dilanggar pemandu mabuk dengan menyerahkan sumbangan berjumlah RM3,000.00 bagi membantu meringankan beban keluarga mangsa.
 
Sumbangan RM3,000.00 tersebut meliputi peruntukan daripada sumber Baitulmal MAIS, Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) iaitu agensi di bawah MAIS. YIDE telah menziarahi serta menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa pada hari sebelumnya.
 
Selain sumbangan berbentuk tunai, turut disampaikan bantuan makanan asas kepada keluarga mangsa. Dalam masa sama, LZS turut membuat bancian asnaf kepada keluarga ini bagi menentukan kelayakan menerima bantuan sebagai asnaf zakat. Sekiranya layak bantuan seterusnya yang bersesuaian akan disalurkan bergantung kepada keperluan keluarga ini.
 
Sumbangan berkenaan telah disampaikan oleh Tuan Haji Mohd Sabirin Mohd Sarbini, Setiausaha MAIS kepada isteri Allahyarham Amirul Hafiz Omar iaitu Puan Nor Nadia Abdul Majid di rumah kediamannya di sini yang bertujuan membantu meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga mangsa selain menzahirkan keprihatinan MAIS terhadap nasib yang menimpa mereka.
 
Waris Allahyarham kini menjaga tiga orang anak iaitu Muhammad Aqif Amsyar,9 tahun; Muhammad Afif Izz Rayqal,7 tahun; dan Nur Humaira, 2 tahun yang kehilangan bapa tersayang akibat kejadian tersebut di Klang.
 
Dalam kejadian yang berlaku baru-baru ini, Allahyarham dilaporkan maut selepas motosikal yang ditungganginya dilanggar oleh sebuah kenderaan yang dipandu oleh individu yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol.
 
MAIS berharap agar keluarga mangsa terus diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini serta sumbangan yang diberikan dapat sedikit sebanyak membantu mereka meneruskan kehidupan.
 
Turut hadir ialah Ustaz Suhaimi Ismail, Pengarah Pembangunan Sosial MAIS dan Puan Hajah Ariffa Ariffin, Ketua Pegawai Korporat & Projek Khas LZS.
 
MAIS | Majlis Agama Islam Selangor
Search