MAIS SUMBANG RM10.87 JUTA BANTU OPERASI 25 RUMAH PEMULIHAN RIQAB

MAIS SUMBANG RM10.87 JUTA BANTU OPERASI 25 RUMAH PEMULIHAN RIQAB

651728241 18547412665064155 2309931269811494107 n
SHAH ALAM, 14 Mac – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini menyerahkan sumbangan RM10,875,000.00 juta kepada 25 buah Rumah Pemulihan Riqab (RPR) menerusi Geran Pemulihan Asnaf Riqab bagi membantu kebajikan asnaf riqab khususnya di Negeri Selangor.
 
Penyampaian sumbangan disempurnakan oleh YBhg Prof. Dr. Salasiah Hanin Hamjah, Pengerusi Jawatankuasa Riqab MAIS, diiringi oleh Y. Brs. Tuan Haji Mohd Sabirin Mohd Sarbini, Setiausaha MAIS sempena Majlis Tadarus dan Iftar Perdana Rumah Pemulihan Riqab Tahun 2026 yang berlangsung di sini hari ini.
 
Sumbangan berjumlah RM10,875,000.00 itu melibatkan kos pelaksanaan program, pengurusan dan penjagaan asnaf riqab di RPR yang berada di bawah seliaan MAIS bagi tahun 2026.
 
Jumlah sumbangan yang disalurkan kepada setiap RPR adalah bergantung keperluan RPR tersebut yang ditentukan oleh pihak MAIS. Sehingga kini, penerima sumbangan menerima antara RM3,000.00 ke RM100,000.00.
 
Antara RPR yang menerima bantuan ialah Rumah Sahabat; Rumah Penawar; Rumah Perlindungan & Bimbingan Wanita Bayt Rahmah; Rumah Teduhan Kasih dan Pertubuhan Insan Permata Disayangi (PINTAS).
 
Dalam majlis yang sama, MAIS turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM401,200.00 kepada 1,003 orang asnaf riqab di negeri ini bagi membantu mereka membuat persiapan awal menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
 
Setiap penerima menerima sumbangan hari raya berjumlah RM400.00 setiap seorang untuk persiapan hari raya termasuk pembelian baju melayu, baju kurung dan kelengkapan hari raya.
 
Sumbangan yang menggunakan peruntukan zakat bagi asnaf riqab ini bertujuan membantu golongan tersebut mendapatkan pemulihan, perlindungan, rawatan serta bimbingan yang sewajarnya agar mereka dapat kembali menjalani kehidupan yang lebih baik.
 
Asnaf riqab ialah individu yang terbelenggu dengan pelbagai masalah sosial dan aqidah seperti penagihan dadah, sumbang mahram, persetubuhan haram serta orang Islam yang terpesong daripada ajaran agama.
MAIS berharap bantuan yang disalurkan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh RPR dalam melaksanakan tanggungjawab sosial mereka bagi memastikan golongan asnaf riqab mendapat perlindungan, pemulihan dan bimbingan yang sewajarnya.
 
Majlis tersebut turut menghimpunkan seramai 130 orang asnaf riqab untuk menyertai program tadarus Al-Quran diikuti dengan Majlis Khatam Al-Quran serta berbuka puasa dan solat maghrib secara berjemaah.
 
MAIS | Majlis Agama Islam Selangor
Search