MAIS TANGANI MASALAH SOSIAL, SALUR RM17 JUTA SANTUNI 13,945 ASNAF RIQAB DI SELANGOR

MAIS TANGANI MASALAH SOSIAL, SALUR RM17 JUTA SANTUNI 13,945 ASNAF RIQAB DI SELANGOR

769008184 1442028687842326 7994041500797811053 n
BANGI, 9 Ogos – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah menyalurkan sebanyak RM17,075,680.82 daripada peruntukan zakat asnaf riqab sepanjang tahun 2025 bagi membantu dan membimbing seramai 13,945 golongan terbabit yang memerlukan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan dan pencegahan selain pelbagai bantuan lain supaya mereka kembali ke pangkal jalan.
 
Peruntukan berjumlah RM17 juta itu disalurkan berdasarkan sumbangan geran pemulihan kepada Rumah Pemulihan Riqab, Program Kursus dan Latihan Asnaf Riqab, Perkhidmatan Pembimbing Riqab dan Sumbangan Kebajikan Asnaf Riqab termasuk program-program pemulihan dan pencegahan yang dilaksanakan oleh tiga Rumah Pemulihan Majlis dan 24 Rumah Pemulihan Riqab di bawah MAIS yang berperanan membantu pemulihan mereka yang mengalami masalah sosial dari pelbagai kategori.
 
Bagi tempoh Januari sehingga Jun 2026, MAIS telah menyantuni seramai 1,656 golongan asnaf riqab dengan menyalurkan peruntukan zakat asnaf riqab berjumlah RM4.1 juta melalui pelbagai bentuk bimbingan dan bantuan kebajikan. MAIS juga telah melantik seramai 213 orang Pembimbing Al Riqab bagi membantu mereka kembali ke jalan yang benar dan diredhai.
 
Asnaf riqab merupakan seseorang yang terbelenggu dengan masalah sosial dan masalah Aqidah antaranya seperti penagihan dadah, sumbang mahram, lesbian,gay,biseksual dan transgender (LGBT), orang Islam yang terpesong agama serta lain-lain pecahan jenis asnaf Riqab sepertimana yang telah difatwakan pada tahun 2012.
 
Bagi memberi peluang umat Islam mendekati golongan asnaf riqab, MAIS mengambil inisiatif menganjurkan Kempen Bulan Pembebasan Riqab 2026 yang diadakan bermula 1 Ogos sehingga 31 Ogos 2026 bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu pemulihan asnaf riqab di samping memperkukuh kefahaman tentang peranan MAIS dalam usaha pembebasan dan pemulihan sosial serta menggalakkan penglibatan pelbagai pihak dalam menyokong inisiatif pemulihan secara bersepadu dan berterusan.
 
Pelancaran Kempen Bulan Pembebasan Riqab 2026 disempurnakan hari ini oleh Prof Dr. Salasiah Hanin Hamjah, Anggota MAIS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Riqab MAIS dalam program Seminar Kesedaran Sosial Pelajar IPT dan Majlis Perasmian Kempen Bulan Pembebasan Riqab Tahun 2026. Turut hadir ialah Tuan Haji Mohd Sabirin Mohd Sarbini, Setiausaha MAIS; Puan Hajah Norlaili Mohamad, Timbalan Setiausaha (Operasi) MAIS dan Dr Hajah Norraini Nordin, Pengarah Kanan Ekonomi & Pembangunan Sosial MAIS.
 
Pelbagai program dan aktiviti yang dilaksanakan sepanjang kempen berlangsung antaranya ialah Forum Riqab, Ceramah Informasi Asnaf Riqab, Program Bimbingan Asnaf Riqab, Kaunter Penerangan Riqab, Ihtifal Amal Islami Rumah Pemulihan Riqab dan Seminar Riqab Negeri Selangor.
 
Sebagai pihak berkuasa utama dalam pengurusan Hal Ehwal Islam di Negeri Selangor, adalah menjadi tanggungjawab MAIS dalam melaksanakan program-program kesedaran melibatkan masalah sosial dan aqidah.
MAIS berharap, penganjuran kempen ini dapat menyediakan ruang dan informasi kepada umat Islam agar dapat mengenali asnaf riqab dengan lebih dekat serta cakna dengan masalah akidah dan gejala sosial yang berlaku kini.
 
Umat Islam yang ingin mendapatkan informasi lanjut berhubung aktiviti kempen ini bolehlah mengikuti perkembangan di platform media sosial MAIS dan laman sesawang rasmi di www.mais.gov.my.
MAIS | Majlis Agama Islam Selangor
Search