MAIS TEROKA RUANG KERJASAMA BERSAMA AFFIN ISLAMIC BANK

MAIS TEROKA RUANG KERJASAMA BERSAMA AFFIN ISLAMIC BANK

561117185 18514763452064155 8594351805504608403 n
KUALA LUMPUR, 7 Oktober 2025-Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini telah mengadakan lawatan rasmi ke Affin Islamic Bank Berhad di Menara Affin, Kuala Lumpur bagi membincangkan peluang kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam pelbagai bidang yang memberi manfaat kepada umat Islam di Negeri Selangor.
 
Delegasi MAIS seramai lapan orang telah diketuai oleh YBhg. Tan Sri Mazlan bin Mansor, Timbalan Pengerusi MAIS, dan disambut mesra oleh YBhg. Dato’ Paduka Syed Mashafuddin Syed Badarudin, Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad bersama barisan pengurusan kanan bank tersebut.
 
Antara perkara utama yang dibincangkan dalam sesi tersebut ialah tawaran perkhidmatan dan produk MAIS seperti pengurusan wasiat, kutipan fidyah dan lain-lain.
 
Pihak Affin Islamic Bank Berhad turut memberi penerangan berkaitan perkhidmatan kewangan, penggunaan teknologi perbankan digital yang boleh dimanfaatkan bersama dalam memperkukuh tadbir urus dan keberkesanan agihan sumber Islam di Selangor.
 
Dalam majlis tersebut juga, pihak Affin Islamic Bank Berhad telah menyampaikan sumbangan wakalah zakat berjumlah RM 333,000.00 kepada Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), anak syarikat MAIS, bagi pembinaan Kompleks Anak Yatim di Pulau Indah.
 
Turut hadir mewakili MAIS ialah Tuan Haji Mohd Sabirin Mohd Sarbini, Setiausaha MAIS; Dr. Hajah Norzaihan Mohd Zain, Timbalan Setiausaha (Operasi) MAIS; Puan Hajah Nurhani Salwa Jamaluddin, Timbalan Setiausaha (Dasar & Pengurusan) MAIS; Encik Zaharudin Salim, Pengarah Strategi Korporat MAIS; Encik Rohaizul Mohamed Kholil, Pengarah Kewangan MAIS dan Ustaz Haji Mohammad Salleh Abdul Saha, Ketua Bahagian Dakwah dan Pemasaran Baitulmal MAIS.
 
Lawatan ini diharap menjadi pemangkin kepada jalinan kerjasama yang lebih erat antara MAIS dan Affin Islamic Bank Berhad, khususnya dalam memperkasa ekonomi ummah dan memperluas manfaat kepada masyarakat Islam di Selangor.
 
MAIS | Majlis Agama Islam Selangor
Search