MAULIDUR RASUL: MEWARNAI SEMULA CINTA KEPADA RASULULLAH SAW
Sambutan Maulidur Rasul bukan sekadar acara tahunan yang dipenuhi dengan selawat, marhaban, perarakan, nasyid dan pelbagai majlis keramaian. Walaupun semuanya mencerminkan perhatian dan kecintaan umat Islam kepada Rasulullah SAW, cinta yang sebenar tidak memadai dengan ucapan dan sambutan semata-mata. Cinta kepada Baginda SAW hendaklah dibuktikan dengan mengikuti ajarannya, mengamalkan sunnahnya dan menjadikan Baginda SAW sebagai teladan dalam seluruh aspek kehidupan kita.
قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِى يُحْبِبْكُمُ ٱللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Jika benar kamu mencintai Allah maka ikutlah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.” (Ali Imran : 31)
Ayat ini menjelaskan bahawa bukti mencintai Allah SWT ialah mengikuti Rasulullah SAW. Oleh itu, Maulidur Rasul sepatutnya menjadi ruang untuk setiap Muslim bermuhasabah: sejauh manakah kita telah mencontohi Baginda SAW dalam keimanan, ibadah, akhlak, keluarga dan kehidupan bermasyarakat?
Rasulullah SAW memiliki iman yang penuh dengan keyakinan kepada Allah SWT. Keimanan Baginda SAW tidak pernah goyah walaupun menghadapi pelbagai ujian, kesusahan dan penentangan. Umat Islam juga perlu membina iman yang kukuh, bukan hanya ketika hidup berada dalam kesenangan, tetapi tetap teguh ketika ditimpa ujian.
Iman yang mantap menjadikan seseorang terus mentaati Allah SWT, menjauhi kesesatan dan syirik serta tidak mudah dipengaruhi oleh fitnah yang merosakkan agama dan memecahbelahkan umat. Akidah yang benar menjadi asas kepada pembentukan peribadi Muslim, keluarga beriman dan masyarakat yang bersatu.
Kecintaan kepada Rasulullah SAW juga mesti diterjemahkan melalui ibadah yang benar, ikhlas dan bersungguh-sungguh. Ibadah Baginda SAW sempurna rukun dan caranya, serta dilaksanakan dengan penuh ketekunan dan kekhusyukan. Kesungguhan Baginda SAW beribadah merupakan tanda syukur seorang hamba kepada Allah SWT.
Saidatina ‘Aisyah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَفَلَا أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا
Maksudnya: “Tidakkah aku suka menjadi seorang hamba yang bersyukur?” [HR : Bukhari]
Penegakan syariat hendaklah bermula pada diri setiap Muslim dengan melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya. Solat fardu lima waktu mesti dipelihara dan zakat hendaklah ditunaikan. Umat Islam juga perlu menjauhi sifat malas, bakhil, rasuah, salah guna kuasa dan segala perbuatan yang bercanggah dengan syariat.
Apabila individu Muslim hidup dengan iman, ibadah dan akhlak yang benar, syariat akan terserlah dalam kehidupannya. Apabila nilai tersebut diamalkan oleh keluarga, masyarakat dan pemimpin, terbinalah kehidupan yang berasaskan kebenaran, keadilan, amanah dan kesejahteraan.
Rasulullah SAW juga merupakan manusia yang paling mulia akhlaknya. Anas bin Malik RA berkata:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا
Maksudnya: “Nabi SAW ialah manusia yang paling baik akhlaknya.” [HR : Bukhari]
Menghidupkan sunnah bukan hanya pada penampilan atau amalan tertentu. Sunnah juga mesti terlihat melalui kejujuran, amanah, kasih sayang, kesabaran, tutur kata yang baik dan cara kita melayani manusia. Akhlak mulia merupakan jalan dakwah yang berkesan kerana keindahan Islam bukan hanya disampaikan melalui kata-kata, tetapi diperlihatkan melalui perbuatan.
Kecintaan kepada Rasulullah SAW turut dibuktikan dalam kehidupan berkeluarga. Baginda SAW bersabda:
خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي
Maksudnya: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang paling baik terhadap keluarganya, dan aku ialah orang yang paling baik antara kamu terhadap keluargaku.” [HR : Tirmizi]
Rasulullah SAW mencurahkan kasih sayang, berlaku adil serta memberikan teguran dan nasihat dengan cara yang baik. Baginda SAW memahami perasaan dan keperluan ahli keluarganya. Keluarga yang dibina berlandaskan sunnah akan dipenuhi keimanan, kasih sayang, keadilan dan akhlak mulia. Keluarga seperti inilah yang menjadi asas kepada masyarakat Islam yang kukuh.
Dalam kehidupan bermasyarakat, Rasulullah SAW menunjukkan cara membina kesatuan dalam kalangan manusia yang berbeza latar belakang. Selepas berhijrah ke Madinah, Baginda SAW menyatukan Aus dan Khazraj yang telah lama bermusuhan serta mempersaudarakan golongan Muhajirin dengan Ansar.
Baginda SAW juga menggubal Piagam Madinah yang menegakkan prinsip perpaduan, keamanan, keadilan, kebebasan beragama dan kerjasama antara masyarakat. Hal ini menunjukkan bahawa keharmonian tidak terbina melalui persamaan semata-mata, tetapi melalui sikap saling menghormati, menunaikan tanggungjawab dan menjaga hak antara satu sama lain.
Kesatuan ummah bukan sekadar slogan. Kesatuan memerlukan iman, kasih sayang, keadilan dan kerjasama dalam kebaikan. Umat Islam hendaklah menjauhi fitnah dan perpecahan, manakala pemimpin mestilah berintegriti, tegas dan berani menegakkan kebenaran berdasarkan syariat Allah SWT. Allah SWT berfirman:
وَمَآ أَرْسَلْنَـٰكَ إِلَّا رَحْمَةًۭ لِّلْعَـٰلَمِينَ
Maksudnya: “Dan tidaklah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam.” (al-Anbiya’ ayat 107)
Orang yang mencintai Rasulullah SAW hendaklah membawa rahmat kepada keluarga, jiran, masyarakat dan negara. Dakwah Islamiah perlu dilaksanakan melalui kebijaksanaan, akhlak yang baik dan kehidupan yang memperlihatkan keindahan Islam.
Kesimpulan
Cinta kepada Rasulullah SAW yang sebenar ialah cinta yang melahirkan ketaatan kepada Allah SWT. Cinta itu memantapkan iman, memperbaiki ibadah, menegakkan syariat, menyempurnakan akhlak, membahagiakan keluarga, menguatkan dakwah dan menyatukan ummah. Semoga kesungguhan mengikuti Rasulullah SAW menjadi asbab kita memperoleh kasih sayang serta keampunan Allah SWT, mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat, dan akhirnya dipertemukan dengan Baginda SAW dalam keadaan yang paling baik.
(Ringkasan dari khutbah 21 Ogos 2026)









