MENDEPANI AJARAN SESAT : ANTARA REALITI, SEJARAH & CABARAN ZAMAN MODEN
Kalau kita fikir secara jujur, isu ajaran sesat ini bukan benda baru. Ia bukan fenomena ‘rare’ yang tiba-tiba muncul di zaman TikTok atau era digital. Hakikatnya, penyelewengan akidah ini sudah wujud sejak zaman dahulu lagi, ibarat virus lama yang sentiasa ‘upgrade version’ mengikut zaman.
Antara modus operandi yang paling klasik golongan sesat ialah mendakwa perkara luar biasa seperti mengaku sebagai wakil Tuhan, Imam Mahdi, bahkan sebagai Nabi. Nampak macam plot drama, tapi realitinya itulah yang berlaku dalam masyarakat kita.
Antara contoh amalan yang dianggap tidak bersalah masa kini ialah pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan kononnya sekadar ‘kawan biasa’, hubungan intim di luar perkahwinan, serta percakapan lucah, sindiran seksual dan humor berunsur maksiat di platform digital. Selain itu, hubungan songsang LGBT dianggap sebagai hak asasi yang perlu ditoleransikan. Budaya minum arak dan parti hiburan juga dianggap sebagai cara bersosial dan melepaskan tekanan, khususnya dalam kalangan sesetengah golongan.
Sejarah Tak Pernah Tipu
Zaman Rasulullah SAW sendiri sudah menyaksikan kemunculan individu seperti Musailimah al-Kazzab dan Al-Aswad al-‘Ansi yang mendakwa sebagai nabi. Selepas kewafatan Baginda SAW, muncul pula
beberapa lagi individu yang cuba menunggang agama untuk kepentingan diri.
2 point penting yang kita boleh lihat di sini iaitu:
- Penyelewengan akidah, bukan kes terpencil.
- Penyelewengan akidah berlaku secara berulang dalam sejarah manusia.
Maknanya, kalau hari ini kita nampak benda sama muncul balik, itu bukan pelik, tapi memang ‘pattern’ yang akan berulang kembali, selagi manusia ada sifat jahil dan taksub.
Ciri-Ciri Ajaran Sesat
Ajaran sesat ini, kalau diamati dan dinilai sebenarnya ada ‘red flags’ yang sangat obvious:
1.Ajaran Rahsia & Eksklusif
Kalau sesuatu ajaran hanya diajar dalam group tertutup, ada ‘level-level’, ada ilmu khas untuk ‘orang terpilih’ maka di situ sudah ada petunjuk jelas bahawa ajaran atau fahaman tersebut tidak benar. Ini kerana Islam bukan agama underground. Islam itu jelas, terbuka, dan untuk semua peringkat manusia dan lapisan masyarakat.
2. Individu Diangkat Melampau
Ada tok guru yang dianggap maksum, tidak berbuat salah, boleh mengampunkan dosa pengikut, kononnya dapat terus dengan Tuhan dan
Nabi Muhammad SAW, mengetahui alam ghaib dan sebagainya. Ini sudah lari jauh dari akidah Islam yang sebenar. Dalam Islam, maksum hanya para Nabi dan yang mengetahui alam ghaib, mengampuni dosa hanyalah Allah SWT sahaja.
3. Dakwaan Wahyu & Ilham ‘Direct’
Ada yang claim dapat wahyu baru, boleh berhubung terus dengan Allah SWT. Ini bukan sekadar salah, bahkan boleh membawa kepada kekufuran.
4. Manipulasi Emosi & Spiritual
Mereka pandai bermain dengan emosi menggunakan istilah agama, aura kerohanian, sehingga bila orang mendengarnya terasa “wow, ini tahap tinggi!”. Padahal hakikatnya, itu semua packaging untuk menutup penyelewengan.
Zaman Moden: Syurga Untuk Ajaran Sesat
Kalau dulu, ajaran sesat bergerak secara fizikal sahaja, namun sekarang mereka sudah ada senjata baru yang disebut sebagai media sosial. Tidak kurang juga masyarakat menamakan sebagai ‘Mata Syaitan’.
Platform digital dijadikan sebagai ‘booster’ kepada penyebaran fahaman songsang. Tanpa tapisan, tanpa autoriti, sesiapa sahaja boleh bercakap tentang agama walaupun tanpa ilmu.
Ini yang membuatkan situasi hari ini menjadi lagi kritikal. Video pendek boleh jadi ‘fatwa segera’, Influencer boleh jadi ‘Ustaz Ekspres’, Algoritma pula membantu penyebarannya tanpa kawalan dan laju.
Akhirnya, orang awam yang kurang ilmu jadi mangsa, terpengaruh sedikit demi sedikit, akidah haru biru, yang benar dipandang salah, manakala yang salah dianggap benar.
Mengapa Ajaran Sesat Mudah Hidup?
Kalau kita kembali kepada realiti mereka yang yang pernah terjebak dengan ajaran sesat, sama ada kembali bertaubat atau tidak, punca utamanya ialah kejahilan, ego dan ‘shortcut mentality’.
Ramai orang hari ni nak ‘fast track’ ke syurga tanpa melalui jalan ilmu yang sebenar. Mereka lebih suka ambil ilmu secara ‘bite-size’, tengok video 30 saat, baca caption viral, terus rasa sudah cukup berilmu, ini sangat berbahaya.
Padahal Allah SWT sudah ingatkan kita dengan firmanNya:
“Maka bertanyalah kepada ahli ilmu jika kamu tidak mengetahui.”
(al-Anbiya : 7)
Masalahnya, ramai di kalangan masyarakat mengabaikan atau tidak ambil cakna peringatan ini. Bahkan mereka tidak merujuk ulama, tidak membuat semakkan sumber asal perkara, yang penting berkenan di hati. Akhirnya mereka membuat tafsiran agama dengan akal sendiri dan tanpa sedar, akidah mereka sudah tergadai.
Bahaya Paling Senyap: Penyelewengan Secara Halus
Ajaran sesat zaman sekarang bukan lagi jenis ‘loud and obvious’. Mereka bergerak secara stealth mode:
- Kelas tertutup
- Circle kecil
- Diskusi eksklusif
- Bahasa yang soft dan spiritual
Ini lagi bahaya, sebab ia tidak nampak jelas. Ia masuk perlahan-lahan dalam masyarakat, ibarat racun yang tak berbau, tiba-tiba sudah meresap dalam akidah.
Peranan Kita: Jangan Hanya Jadi Penonton
Menjaga akidah ummah, bukan hanya tugas para ustaz, mufti, atau Jabatan Agama Islam Negeri sahaja. Bahkan peranan yang sepatutnya dimainkan oleh setiap individu muslim. Kita semua bertanggungjawab, kalau nampak perkara pelik, seperti upacara mencurigakan, ajaran pelik, dakwaan luar biasa, terus dilaporkan kepada pihak berwajib. Membiarkan atau mendiamkan perkara tersebut terus berlaku dan berlalu adalah merupakan satu dosa.
Kekuatan Jamaah: Benteng Paling Ampuh
Rasulullah SAW sudah memberikan kita formula yang sangat ampuh bagi menyelesaikan masalah ini;
1. Hidup secara berjemaah iaitu saling bantu-membantu dalam kebaikkan dan tegur-menegur dalam hal kemungkaran.
2. Jangan berpecah iaitu menjauhi perselisihan dan persengketaan.
Penutup: Kembali Kepada Asas
Akhirnya, solusi kepada semua kekeliruan ini sebenarnya sangat mudah sekiranya semua kita:
- Kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah
- Faham melalui manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah
- Berguru dengan ulama, bukan dengan Google semata-mata
- Hidupkan budaya ilmu dalam diri dan ahli keluarga
Jangan bagi ruang kepada kejahilan, sebab kejahilan itu merupakan pintu utama ajaran sesat.
Kalau kita tidak isi diri dengan ilmu yang sahih, jangan terkejut kalau suatu hari nanti, kita sendiri terperangkap dalam ‘agama versi sendiri’ yang sebenarnya jauh dari kebenaran.
Ringkasan dari khutbah Jumaat : Mendepan Ajaran Sesat (07 November 2025)









