MENGAPA SCAM MUDAH MENULAR?

Isu scam atau penipuan dalam talian di Malaysia bukan sekadar masalah individu, ia telah menjadi ancaman sosial yang memberi kesan besar kepada keselamatan ekonomi rakyat. Walaupun pelbagai amaran, kempen kesedaran dan tindakan undang-undang telah diambil oleh pihak berkuasa, jumlah mangsa tetap meningkat saban tahun.

thumbnail image1 copy
Sumber imej: https://www.shco.my/online-scam-prevention/

Untuk memahami isu ini secara holistik, kita perlu melihat melalui lensa tiga pihak yang terlibat: mangsa, scammer, dan pihak berkuasa. Dengan analisis yang objektif dan dalil agama yang relevan, kita dapat membentuk langkah berjaga-jaga yang lebih kukuh.

Faktor Mangsa mudah di scam:

· Kekurangan Literasi Digital Dan Kewangan

Majoriti mangsa tidak atau kurang memahami asas keselamatan digital seperti penggunaan kata laluan selamat, risiko klik pautan meragukan, atau penggunaan pengesahan dua faktor (2FA). Mangsa juga lemah dalam literasi kewangan, menyangka pelaburan boleh memberi pulangan tinggi dalam masa singkat tanpa risiko. Kekurangan ilmu ini, telah mengundang dan menjebakkan mangsa.

thumbnail image3
Sumber imej: https://www.bitdefender.com/

· Emosi Yang Mudah Dimanipulasi

Scammer sangat mahir mengawal emosi mangsa, takut, risau, tamak, simpati, kesunyian, atau panik. Emosi yang terganggu menyebabkan seseorang bertindak tanpa berfikir panjang. Sebab itu panggilan palsu daripada ‘polis’, ‘bank’, atau ‘mahkamah’ sering berjaya.

Dalam al-Quran, Allah SWT mengingatkan:

“Sesungguhnya syaitan itu ingin menimbulkan permusuhan dan kebencian…”

(Al-Ma’idah:91)

Ini juga termasuk memanipulasi fikiran manusia.

· Terlalu Percaya Pada Figura Berautoriti

Rakyat Malaysia terkenal dengan budaya hormat kepada autoriti. Apabila seseorang mengaku dirinya pegawai kerajaan, pegawai bank atau wakil firma besar, mangsa segera percaya tanpa menyemak kesahihan. Scammer mengeksploitasi budaya ini dengan skrip profesional dan teknik social engineering.

Sikap menghormati figura berautoriti itu sangat dipuji, cuma jangan sampai ianya menyebabkan kita mengabaikan prinsip berhati-hati sekiranya ada perkara yang meragukan.

Allah SWT berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa berita, maka selidikilah (tabayyun)…”

(Al-Hujurat : 6)

· Keinginan Mendapat Rezeki Mudah Dan Cepat

Keadaan ekonomi yang mencabar masa kini juga salah satu daripada faktor yang mendorong sesetengah individu mencari peluang segera, ‘skim cepat kaya’, ‘pelaburan emas’, ‘forex’, dan ‘kripto’.

Janji manis dengan testimoni palsu dan angka pulangan lumayan yang tidak masuk akal akhirnya menjadi senjata ampuh untuk scammer menjerat mangsa.

thumbnail image5 copy
Sumber imej: image editing

Apabila pengaruh negatif berterusan, ia memberi kesan yang lebih besar iaitu memperkukuh standard sosial yang tidak sihat.

Influencer kerap mempamerkan gaya hidup yang telah disunting dan tidak realistik, mencetuskan Fear of Missing Out (FOMO) yang teruk dan menyebabkan pencemaran Self-Esteem. Ini membawa kepada peningkatan kadar kecemasan dan body dysmorphia di kalangan audien terutamanya remaja kerana mereka sentiasa membandingkan realiti mereka dengan ilusi digital. Ia juga boleh menyebabkan normalisasi perilaku toksik iaitu tindakan kontroversi atau provokatif yang dilakukan oleh influencer untuk mendapatkan engagement diterima sebagai tingkah laku yang dibenarkan seterusnya mencemarkan norma sosial yang sihat.

Nabi Muhammad SAW telah memberi amaran:

“Tergesa-gesa itu daripada syaitan.” [HR : Tirmizi]

Sikap tergesa-gesa ini, telah membuatkan mangsa hilang pertimbangan.

· Kepercayaan Kepada Iklan Media Sosial

Hari ini, media sosial menjadi sumber utama informasi tanpa sempadan. Tidak kurang ramainya pengguna beranggapan bahwa semua iklan di media sosial itu sah dan benar. Scammer menggunakan gambar selebriti, video AI, deepfake, logo rasmi dan laman web tiruan untuk mencipta ilusi kepercayaan. Mangsa percaya visual tanpa menyemak URL, nombor telefon atau rekod syarikat.

 

Faktor Scammer Bermaharajalela

· Sindiket Terlatih Dan Teknologi Canggih

Scammer bukan lagi individu biasa yang bekerja sendirian. Mereka merupakan kumpulan sindiket tersusun, dilatih dengan skrip psikologi, diselia oleh ‘team leader’, dan dibekalkan teknologi moden seperti deepfake, spoofing caller ID, VPN antarabangsa, serta akaun keldai (mule). Kecekapan teknikal mereka meningkatkan keberkesanan penipuan.

thumbnail image6
Sumber imej: shutterstock.com

· Eksploitasi Kelemahan Manusia

Mereka memahami psikologi manusia lebih daripada yang kita sangka. Mereka tahu bagaimana menanam rasa takut, mencipta kepercayaan, memujuk, mengugut, atau membuatkan mangsa merasa bersalah. Penipuan jenis romance scam, love scam, investment scam atau phishing semuanya bergantung kepada manipulasi psikologi.

· Dapatan keuntungan yang besar dan risiko rendah

Scamming adalah industri bernilai jutaan ringgit. Dengan kos operasi rendah dan jaringan antarabangsa, risiko ditangkap sangat kecil bagi scammer. Faktor ini menjadikan mereka bertambah agresif dan kreatif dalam modus operandi.

 

Peranan Pihak Berkuasa

· Evolusi Jenayah Yang Sangat Pantas

Teknologi berubah terlalu cepat. Scammer sentiasa muncul dengan teknik baru seperti AI suara, QR kod, aplikasi palsu, platform pelaburan tiruan yang memerlukan pihak berkuasa sentiasa mengemaskini kaedah penyiasatan. Evolusi ini lebih cepat daripada tempoh penggubalan undang-undang dan peraturan.

· Cabaran Koordinasi Antara Agensi Dan Negara

Scammer sering beroperasi dari luar negara atau berpindah lokasi dengan cepat. Penyiasatan melibatkan kerjasama antarabangsa, permintaan bantuan undang-undang (MLAT), pertukaran maklumat digital forensik dan birokrasi antara negara. Ia bukan kelemahan pihak berkuasa, tetapi sifat jenayah merentas sempadan itu sendiri.

thumbnail image7
Sumber imej: news.microsoft.com

· Kadar Laporan Yang Tinggi Dan Kesedaran Awam Yang Masih Lemah

Walaupun PDRM, Bank Negara, CCID, SKMM dan institusi lain telah memperkenalkan talian hotline, kempen kesedaran, dan amaran berkala, namun realitinya segelintir rakyat Malaysia masih kurang cakna dengan palu amaran tersebut. Jumlah laporan setiap hari sangat banyak tetapi tanpa kesedaran dan kerjasama awam, tindakan pencegahan sukar mencapai sasaran.

Kesimpulan

Rakyat Malaysia mudah di scam bukan kerana mereka lemah, tetapi kerana gabungan kompleks antara kekurangan ilmu, manipulasi emosi, kecanggihan teknologi sindiket dan juga cabaran global dalam penguatkuasaan. Walaupun pihak berkuasa sentiasa berusaha memperbaiki sistem keselamatan, tanggungjawab utama terletak pada individu untuk mengawal emosi, menyemak setiap maklumat dan tidak terlalu percaya kepada janji manis atau ugutan segera.

Prinsip Islam mengajar kita supaya bertindak dengan berhati-hati, memeriksa sebelum percaya, mengelakkan tergesa-gesa, dan menjaga harta dengan amanah. Jika semua prinsip ini diamalkan secara konsisten, masyarakat Malaysia akan menjadi lebih kebal terhadap penipuan moden.

thumbnail img9 copy
Sumber imej: www.kosmo.com.m

Akhirnya, pertahanan terbaik adalah ilmu, kesedaran, dan keteguhan hati. Jangan biarkan syaitan dan manusia yang zalim mengambil kesempatan ke atas kelemahan kita.

Semoga setiap daripada kita dilindungi Allah SWT daripada tipu daya scammer yang merugikan harta, masa dan maruah negara.

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor
Search