Dalam bahasa Arab, Arba’in (الأربعين) bermaksud “empat puluh”. Peristiwa Arbain, atau Hari Ke-40 selepas tragedi Karbala, sering dijadikan asas ritual besar oleh golongan Syiah. Golongan Syiah, khususnya Syiah Imamiyyah (Ja’fariyyah), memperingati Hari Arbain ini dengan penuh perayaan, ritual dan ziarah ke makam Sayyidina Hussein R.A. di Karbala, Iraq. Ia dianggap hari suci dan besar dalam kalendar keagamaan mereka, seolah-olah seperti sambutan Eid (Hari Raya). Setiap tahun, jutaan penganut agama Syiah dari Iraq dan pelbagai negara lainnya, berziarah ke makam Sayyidina Hussein R.A. di Karbala, terutama di Hari Arbain untuk mengenang 40 hari kesyahidan cucu Baginda Nabi Muhammad SAW ini.
Namun begitu, amalan memperingati Hari Arbain tidak pernah diamalkan oleh Rasulullah SAW, para sahabat, tabi’in dan generasi awal umat Islam (Salafussoleh). Ia adalah rekayasa sejarah dan rekaan mazhab yang kemudian dijadikan ritual ibadah tanpa asal dalam syarak.
Salah satu hujah paling popular yang sering dikemukakan ialah kisah Jabir bin Abdillah al-Ansari R.A., seorang sahabat Nabi Muhammad SAW, yang dikatakan telah menziarahi kubur Sayyidina Hussein R.A. pada hari ke-40 selepas kematiannya. Golongan Syiah menjadikan Hari Ke-40 ini sebagai upacara besar keagamaan, dikenali sebagai Arbain Husaini, dan menganggapnya ibadah yang berpahala besar. Dalam kitab Kamil al-Ziyarat oleh Ibn Qulawayh al-Qummi, disebut bahawa Jabir R.A. bersama seorang tabi’in bernama ‘Atiyyah al-‘Awfi telah datang ke Karbala, meletakkan tangan di atas kubur Sayyidina Hussein R.A., dan menyampaikan salam serta menangis seraya berkata: “Saya bersaksi bahawa engkau telah menunaikan apa yang dijanjikan oleh Allah SWT.” Riwayat ini sering digunakan oleh penganut agama Syiah untuk menyatakan bahawa ziarah Arbain mempunyai asal dalam amalan para sahabat, sekaligus mewajarkan upacara tahunan mereka.
Namun, riwayat yang dikatakan amalan para sahabat ini dapat kita sanggah yang pertama kerana ibadah dalam Islam mestilah berdasarkan dalil syarie. Sekalipun Jabir R.A. pernah menziarahi kubur Sayyidina Hussein R.A., tiada satu pun hadis sahih daripada Nabi Muhammad SAW yang mensyariatkan ziarah kubur pada hari ke-40 selepas kematian. Tiada juga perbuatan serupa daripada sahabat lain seperti Ibn Umar, Abu Hurairah atau Ahlul Bait sendiri.
Kaedah Usul: “Al-ibadat tawqifiyyah, la yajuz fiha illa bima warada ‘an al-shari‘.”
(Ibadat adalah berdasarkan wahyu; tidak harus dilakukan kecuali apa yang dinaskan). Yang kedua dalam teks riwayat tersebut, tidak disebut secara spesifik bahawa ziarah itu berlaku “pada hari ke-40”. Andaian itu hanya dibuat berdasarkan anggaran masa perjalanan Jabir R.A. dari Madinah ke Karbala. Maka, tidak wujud dalil qat‘i (tegas) yang menyatakan Hari Arbain itu ditetapkan sebagai waktu istimewa ziarah. Hujah ketiga riwayat ini sepenuhnya bersandarkan kepada ‘Atiyyah bin Sa‘id al-‘Awfi, seorang tabi‘in yang meriwayatkan daripada Jabir R.A.. Namun, perawi ini mempunyai kelemahan serius menurut Imam Ahmad bin Hambal & Ibn Hajar al Asqalani.
Dalil dan Panduan Syariat
Islam tidak mensyariatkan sebarang peringatan khas selepas kematian melebihi amalan pengurusan jenazah, solat, pengebumian dan mendoakan si mati. Meratapi atau menetapkan hari tertentu untuk berkabung adalah perbuatan yang dilarang. Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Bukan dari kalangan kami orang yang menampar pipi, merobek baju
dan menyeru dengan seruan jahiliyyah.” [HR: Bukhari & Muslim]
Amalan Penganut Agama Syiah Pada Hari Arbain
Antara amalan yang dilakukan oleh penganut agama Syiah Imamiyyah pada Hari Arbain:
- Ziarah Arbain dilakukan secara langsung di Karbala mahupun dari jauh dengan membaca doa Ziarah Arbain yang diriwayatkan dari Imam Ja’far al-Shadiq.
- Longmarch Arbain (Berjalan kaki dari Najaf ke Karbala sejauh 82 km). Jutaan penziarah Syiah dari seluruh dunia akan berjalan kaki menuju makam Sayyidina Hussein R.A. di Karbala, terutama dari Kota Najaf.
- Mengadakan majlis khas yang dipenuhi dengan kisah-kisah Karbala yang ditokok tambah, menangis beramai-ramai dan kadang kala mencaci para sahabat Nabi Muhammad SAW.
- Bagi yang tidak dapat hadir di Karbala, dianjurkan untuk membaca doa Ziarah Arbain dari tempat masing-masing. Melakukan puasa sunat, sedekah, dan majlis ilmu sebagai bentuk partisipasi spiritual.
Tiada satu pun amalan ini bersumberkan ajaran Rasulullah SAW atau diamalkan oleh para sahabat R.Anhum atau Ahlul Bait sendiri.
Hadis-Hadis Palsu yang Digunakan untuk Menyokong Hari Arbain
- Langit menangis atas Sayyidina Hussein R.A. selama 40 pagi
إِنَّ السَّمَاءَ لَبَكَتْ عَلَى الْحُسَيْنِ أَرْبَعِينَ صَبَاحًا
Tidak ditemui dalam kitab hadis sahih. Ibn al-Jawzi meletakkannya dalam al-Maudhu‘at sebagai hadis palsu (al-Jawzi, 1990).
- Ziarah kubur Sayyidina Hussein R.A. pada Hari Arbain seperti menziarahi Allah
“مَن زَارَ الحُسَيْنَ يَومَ الأَربَعين، كَأَنَّهُ زَارَ اللهَ فَوقَ عَرشِهِ“
Riwayat Syiah dalam Kamil al-Ziyarat, tiada nilai dalam metodologi Ahlus Sunnah. Menyamakan ziarah kubur dengan menziarahi Allah adalah kufur menurut aqidah Islam.
- Tanda-tanda orang beriman antaranya menziarahi Sayyidina Hussein R.A. pada Hari Arbain.
Telah diriwayatkan daripada Abu Muhammad al-Hasan bin ‘Ali al-‘Askari ʿalaihimussalam bahawa beliau berkata: “Tanda-tanda seorang mukmin itu ada lima: Solat lima puluh satu rakaat (setiap hari), Ziarah Arbain, Memakai cincin di tangan kanan, Membenamkan dahi ke tanah (ketika sujud), Menjahar (mengeraskan suara) ketika membaca ‘Bismillāhir-Raḥmānir-Raḥīm’.”
Pandangan Ulama Ahlus Sunnah
- Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi (w. 2022) Walaupun sering dianggap moderat, beliau tetap menolak amalan ekstrem Syiah dalam memperingati Karbala dan Arbain. Dalam wawancara dan tulisan beliau, beliau menyebut: “Penyebaran budaya memukul diri, meratap, serta ritual menyembah kesedihan dalam bentuk keagamaan adalah bidaah yang tidak ada dalam Islam”. Beliau juga menolak penyebaran ideologi Syiah melalui platform emosi seperti Arbain, kerana ia mengelirukan umat Islam awam yang kurang ilmu.
- Syeikh Dr. Muhammad Sa‘id Ramadhanal-Buti (w. 2013) Beliau menolak pendekatan Syiah terhadap kisah Karbala yang sarat dengan pembohongan, pemujaan duka dan manipulasi sejarah.Dalam bukunya al-Salafiyyah Marhalah Zamaniyyah Mubarakah La Madhhab Islami, beliau menyebut: “Sesiapa yang mencipta sambutan atau ibadah tanpa sandaran dari Rasulullah SAW, maka ia adalah tertolak walau betapa baik niatnya sekalipun.”
- Syeikh Dr. Ahmad al-Raysuni pernah menyebut bahawa budaya Arbain adalah alat propaganda Syiah untuk menanamkan idea kebencian terhadap sahabat dan memecahbelahkan umat Islam. Beliau juga menegaskan bahawa “Cinta kepada Ahlul Bait bukan dengan menangis dan menyiksa diri, tetapi dengan mengikuti akhlak dan perjuangan mereka.”
Kesimpulan pandangan ulama, semua ulama Ahlus Sunnah yang kontemporari bersepakat dalam perkara berikut:
- Memperingati Hari Arbain adalah bidaah – tiada nas daripada Rasulullah SAW atau para sahabat R.Anhum.
- Amalan yang dilakukan seperti meratap, menyeksa diri dan perarakan besar-besaran adalah bertentangan dengan sunnah.
- Penggunaan hadis palsu untuk membenarkan amalan ini adalah satu bentuk penipuan atas nama agama.
- Cinta kepada Sayyidina Hussein R.A. adalah wajib, tetapi mengikut syarak, bukan mengikut emosi atau budaya yang sesat.
Cara Sebenar Mencintai Sayyidina Hussein R.A.
- Meneladani semangat perjuangan dan keberanian beliau.
- Mendoakan rahmat buatnya dan memperjuangkan sunnah seperti yang diperjuangkannya.
- Menolak semua bentuk penyimpangan akidah dan amalan khurafat atas nama cinta kepada beliau.
Penutup
Hari Arbain hanyalah satu rekaan sejarah dan upacara penganut agama Syiah yang tidak ada asas dalam agama. Islam melarang segala bentuk bidaah dan menekankan kesederhanaan dalam memperingati kematian. Umat Islam seharusnya mencintai Ahlul Bait dengan cara yang syar‘ie, bukan dengan emosi yang dicampur dengan hadis palsu dan khurafat.









