NORMALISASI MAKSIAT: UMPAMA API DALAM SEKAM

Hari ini kita hidup dalam zaman yang sangat mencabar. Perbuatan maksiat bukan lagi sesuatu yang disembunyikan, bahkan kadang kala dilakukan secara terbuka dan tanpa segan silu. Kini, ia dinormalisasikan seolah-olah diterima umum dan seperti tidak ada langsung tegahan dalam agama, sedangkan pada sisi Allah SWT, yang haram tetap haram, walau seluruh dunia menganggapnya perkara biasa.

Budaya ini berlaku secara terang-terangan di sekeliling kita. Permainan berunsur judi kini berada di hujung jari, boleh diakses dengan begitu mudah melalui telefon pintar dan laman sesawang. Pergaulan bebas berlaku secara terbuka di khalayak umum, tanpa rasa segan dan malu.

img1 copy
Sumber imej: editing

Status dan kandungan di media sosial pula seringkali menjurus kepada dosa. Ada yang tanpa segan menayang aurat, menyebar kata-kata dusta, bahkan berbangga dengan maksiat yang dilakukan. Gambar dan video yang jelas memperlihatkan aurat kini dipertontonkan atas nama fesyen, manakala kata-kata lucah dan gurauan tidak sopan dijadikan bahan ketawa dalam meraih populariti. Inilah hakikat dosa yang tidak lagi dirasakan sebagai dosa, dan rasa malu kepada Allah SWT seakan hilang, seolah-olah tiada siapa yang mengawasi dan menilai.

Hakikatnya, ramai yang terjerumus ke dalam maksiat bukan kerana jahil tentang hukumnya, tetapi kerana hati yang semakin terbiasa dengan dosa yang diulang berkali-kali hingga akhirnya hilang rasa bersalah. Wujud juga segelintir umat Islam yang berbangga dengan perbuatan maksiat atas nama kebebasan dan hak asasi manusia. Inilah kesan daripada budaya hiburan melampau dan fahaman liberal yang terlalu terbuka sehingga menghapuskan batas halal dan haram yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

img2 copy
Sumber imej: freepik

Jika kita amati, ada yang bergelumang dalam perbuatan maksiat tetapi tidak pernah kembali kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taubat. Ada yang hanya berhenti apabila ditimpa musibah, sama ada kerana sakit, kehilangan harta, atau sekadar kerana sudah tiada lagi kesempatan untuk melakukannya. Hakikatnya, itu bukanlah taubat yang sebenar. Itu hanyalah berhenti kerana terpaksa, bukan kerana insaf dan takut kepada Allah SWT. Allah SWT telah mengingatkan dalam surah al-Mukminun ayat 63 yang bermaksud:

“(Sekalipun demikian, orang yang ingkar tidak juga berfikir) bahkan hati mereka tenggelam dalam kejahilan dan lalai daripada memahami al-Quran ini dan mereka mempunyai perbuatan lain (buruk) yang dilakukan oleh mereka terus-menerus.”

Setiap manusia dikurniakan anggota tubuh sebagai amanah daripada Allah SWT. Mata, telinga, lidah, tangan, kaki dan seluruh jasad ini adalah pinjaman, bukan hak milik mutlak kita. Di dunia ini, ia sepatutnya menjadi alat untuk kita beramal, namun di akhirat kelak, ia akan menjadi saksi terhadap setiap perbuatan kita. Mata, apabila tidak dijaga, akan mudah terpikat pada perkara yang diharamkan. Telinga, apabila dibiarkan, akan leka mendengar perkara sia-sia dan batil. Lidah yang tidak dikekang pula, akan menabur dusta, membuka aib, menyalakan fitnah dan mencetuskan perbalahan. Begitu juga perut yang tidak dijaga, akan diisi dengan makanan yang haram atau sumber yang diperoleh secara batil. Kemaluan, jika tidak dikawal, akan menjadi punca kepada zina dan segala bentuk kekejian. Tangan juga boleh menjadi alat dosa jika disalahgunakan. Dan kaki, apabila melangkah ke tempat maksiat maka setiap langkahnya adalah perjalanan menuju kemurkaan Allah SWT.

img4 1
Sumber imej: ai

Rasulullah SAW pernah menegaskan melalui sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawasanya baginda SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah telah menetapkan bagi setiap anak Adam bahagiannya daripada zina, dia pasti akan mendapatkannya, tidak dapat dielakkan. Maka zina kedua mata ialah pandangan, zina lidah ialah ucapan, dan hati berkeinginan serta bernafsu. Adapun kemaluanlah yang akan membenarkan (melakukan) semua itu atau mendustakannya (meninggalkannya).”

[HR : Bukhari dan Muslim].

 

Tabiat dosa ini aneh. Ia bermula dengan rasa malu dan takut. Namun apabila nafsu dirangsang dan syaitan mula membisik, manusia akan terdorong untuk mencuba. Sekali dua kali, hatinya masih gelisah. Tetapi apabila dosa itu tidak segera ditebus dengan taubat, ia akan menjadi kebiasaan yang diulang-ulang sehingga akhirnya menjadi gaya hidup. Hati pun mula menjadi gelap, hilang rasa sensitif dan dosa tidak lagi terasa janggal apabila dilakukan. Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya apabila seorang hamba melakukan satu kesalahan (dosa), akan muncul satu titik hitam di dalam hatinya. Maka apabila dia berhenti (daripada dosa itu), beristighfar dan bertaubat, hatinya akan disucikan. Namun jika dia kembali (mengulangi dosa itu), titik hitam itu akan bertambah sehingga menutupi seluruh hatinya. Itulah firman Allah: ‘Sekali-kali tidak! Bahkan telah tertutup hati mereka oleh dosa yang mereka lakukan.”

(al-Mutaffifin : 14) [HR : Tirmizi]

 

Demikianlah sifat dosa yang tidak disucikan dengan taubat. Ia menumpuk, mengeras, lalu membungkus hati hingga hilang rasa malu dan hilang rasa bersalah. Manusia akhirnya tidak berhenti kerana bertaubat, tetapi kerana kepenatan berbuat dosa. Padahal taubat yang hakiki menuntut tiga perkara iaitu berhenti, menyesal, dan berazam untuk tidak kembali mengulanginya. Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 17 yang bermaksud:

“Sesungguhnya penerimaan taubat di sisi Allah hanyalah bagi orang yang melakukan kejahatan lantaran kejahilan, kemudian mereka segera bertaubat. Maka, (dengan adanya dua sebab itu), taubat mereka diterima Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

img5 1
Sumber imej: ai

Saat maksiat berleluasa hingga menjadi budaya, ketika dosa dipandang ringan dan tidak lagi menggetarkan hati, umat Islam sama sekali tidak boleh memilih jalan berdiam diri. Diamnya kita terhadap kemungkaran hanya akan menjemput bala. Maka wajib bagi kita menyatakan yang benar, mencegah yang salah dan memelihara masyarakat sekeliling daripada tenggelam dalam gelombang normalisasi maksiat.

Rasulullah SAW telah memberi panduan jelas dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri Radiallahuanhu yang bermaksud:

“Sesiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya; jika dia tidak mampu, maka dengan lisannya; jika dia tidak mampu juga, maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman.”

[HR : Muslim]

Ketiga-tiga tahap yang disebutkan Baginda SAW itu merupakan tanggungjawab besar umat Islam dalam mencegah kemungkaran. Tahap pertama bagi mereka yang mempunyai kuasa dan kedudukan, wajib bertindak dengan ‘tangan’ iaitu menggunakan kemampuan, undang-undang dan kuasa yang ada untuk membendung kemungkaran. Tahap kedua adalah bagi para ulama dan pendakwah yang mesti berperanan dengan lisan melalui nasihat, teguran dan penerangan agar masyarakat tidak terus hanyut dalam perbuatan maksiat. Dan tahap ketiga adalah bagi orang awam yang mungkin tidak punya kuasa atau kemampuan, tetapi tetap memikul tanggungjawab dengan hati, iaitu menolak maksiat, tidak menyokong dan tidak berkongsi, walau sekadar dengan “like” atau “share” di media sosial.

img7 copy
Sumber imej: https://mycomputerexperts.net

Syaitan tidak akan pernah berhenti tapi jangan kita jadikan syaitan sebagai alasan. Kita sedar bisikannya mungkin membawa rasa putus asa. Ada yang ingin berubah, tetapi terperangkap dengan rasa bersalah, merasa dosa terlalu banyak, terlalu besar. Lalu mereka menyangka rahmat Allah SWT sudah tertutup buat mereka. Sedangkan Allah SWT berfirman dalam surah al-Zumar ayat 53:

“Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa! Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Pengasih”.

Screenshot 2025 12 09 at 10.18.09
Sumber imej: ai

Oleh yang demikian, jangan sekali-kali kita normalisasikan perbuatan maksiat. Setiap hati yang masih mempunyai rasa bersalah, sebenarnya masih punya harapan. Setiap air mata penyesalan yang keluar, sebenarnya masih punya peluang untuk kembali. Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat berapa banyak dosa yang kita lakukan, tetapi sejauh mana kita mahu kembali kepada-Nya dengan taubat dan istighfar memohon keampunan serta tekad memperbaiki diri. Semoga Allah SWT melindungi kita semua dari terjebak kepada perbuatan maksiat.

(Disunting dari Khutbah Jumaat bertarikh 21 November 2025)

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor
Search