PENGERUSI MAIS DIUNDANG MENGHADIRI PROGRAM MALAM BERSELAWAT MENJUNJUNG DAULAT
PENGERUSI MAIS DIUNDANG MENGHADIRI PROGRAM MALAM BERSELAWAT MENJUNJUNG DAULAT
BANDAR SAUJANA PUTRA, 18 Jun 2026-YAD Senator Dato Setia Haji Salehuddin bin Saidin, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), terus memperkukuh ukhuwah bersama masyarakat dan ahli kariah menerusi kehadiran beliau ke Program Malam Berselawat Menjunjung Daulat. Program tersebut merupakan usaha sama strategik antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Muafakat Jelata bersama Masjid Bandar Saujana Putra. Kehadiran beliau ke majlis tersebut disambut baik oleh Nazir Masjid, Tuan Haji Sadli bin Makpon pada 17 Jun lepas.
Â
Penganjuran program ini mendukung hasrat murni untuk menyemarakkan semangat cintakan agama, bangsa, dan institusi diraja demi mempertahankan kedaulatan tanah air, di samping memelihara keharmonian dan kesatuan dalam kalangan masyarakat madani. Pada masa yang sama, usaha ini bertujuan mengimarahkan institusi masjid dengan mengangkat peranannya sebagai pusat penyatuan ummah dan pemangkin pembangunan komuniti yang berkesan.
Â
Program ini juga menjadi manifestasi gerakan masyarakat yang mengangkat nilai mahabbah, muafakat, dan daulat sebagai asas utama dalam pembinaan peradaban bangsa.
Â
Bagi menyemarakkan sambutan, pelbagai pengisian bersasar telah dilaksanakan merangkumi pameran sejarah dan kesultanan yang menampilkan sorotan kronologi institusi beraja, persembahan seni budaya bagi memartabatkan khazanah warisan tempatan, serta penyediaan gerai jualan dan produk komuniti bagi menyokong ekosistem ekonomi usahawan setempat. Program turut diisi dengan aktiviti kerohanian melalui majlis selawat dan doa munajat demi kesejahteraan ummah, serta wacana ilmu menerusi Forum Perdana yang bertajuk “Keindahan Sistem Kesultanan Alam Melayu”.
Â
Turut hadir mengiringi Pengerusi MAIS sepanjang lawatan tersebut ialah Encik Abdul Ghaffar bin Ab Ghani, Pegawai Khas Pengerusi MAIS.















