PENGERUSI MAIS RASMIKAN PROGRAM HALAL OPEN DAY ANJURAN JAIS
PENGERUSI MAIS RASMIKAN PROGRAM HALAL OPEN DAY ANJURAN JAIS
SHAH ALAM, 4 Oktober – Yang Amat Dihormati Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin bin Saidin, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berbesar hati meluangkan masa merasmikan Program Halal Open Day anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sini.
Â
Program Halal Open Day merupakan wadah bagi mendekati masyarakat bertujuan memastikan para Eksekutif Halal Syarikat serta masyarakat umum memahami peranan dan tanggungjawab dalam memelihara konsep halalan toyyiban yang memberi manfaat kepada semua pihak.
Â
Program ini juga menjadi platform membina jaringan kerjasama antara syarikat, agensi kerajaan, serta pelbagai pemegang taruh industri halal di negeri ini.
Â
Seramai 250 peserta melibatkan usahawan, agensi pembimbing, pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan pengusaha kantin sekolah hadir dalam program ini, sekaligus memperkukuhkan kebersamaan dalam membangunkan industri halal di Negeri Selangor.
Â
Antara pengisian utama adalah Seminar Kesedaran Halal. Seminar tersebut merangkumi tiga slot utama iaitu Perkongsian pengalaman daripada usahawan berjaya iaitu Wawanis Enterprise dan Little Cat Coffee Cafe manakala slot kedua adalah ceramah mengenai Pensijilan Halal Industri Kotej Negeri Selangor oleh Penolong Pengarah Unit Pensijilan, Bahagian Pengurusan Halal (BPH) JAIS. Slot yang terakhir adalah Forum bertajuk Pensijilan Halal: Anda Buntu, Kami Bantu yang melibatkan wakil daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysi (JAKIM) dan QSR Brands (M) Holding Berhad.
Â
Turut berlangsung, Klinik Bimbingan Halal yang disasarkan kepada 200 usahawan terutamanya Pengusaha Industri Mikro, Kecil dan Sederhana. Sesi Dialog turut diadakan di akhir program ini.
Â
Serentak dengan itu, Nadwah Penggiat Industri Halal Selangor yang menghimpunkan 300 Eksekutif Halal Syarikat turut diadakan. Para peserta didedahkan dengan taklimat mengenai Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2024 dan Service Level Commitment oleh pegawai BPH JAIS.
Dalam majlis yang sama, Pengerusi MAIS turut menyampaikan Tauliah Pegawai Pengurusan Halal di bawah Seksyen 121D Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2024, manakala YB Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor menyampaikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) Syarikat di bawah agensi pembimbing.
Â
Turut diumumkan pemenang Pertandingan Video Pendek Halal yang telah berlangsung dari 8 September 2025 hingga 22 September 2025 melibatkan pelajar IPT di seluruh negara, dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga diadakan pada hari ini.
Â
Hadir sama ialah YB Tuan Fahmi bin Ngah, Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor; YBhg. Dato’ Haji Mohd Shahzihan bin Ahmad, Pengarah JAIS; YAD Tan Sri Dato’ Setia Mohd Zawawi bin Salleh, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Halal Negeri Selangor dan YBhg. Datin Paduka Norazlin binti Zakaria Ahli Jawatankuasa Halal Negeri Selangor merangkap Anggota MAIS.
Â













