PENGERUSI MAIS SANTUNI AHLI KARIAH MASJID ALAM IMPIAN
PENGERUSI MAIS SANTUNI AHLI KARIAH MASJID ALAM IMPIAN
KLANG, 29 Oktober 2026 – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terus memperkukuh jalinan ukhuwah bersama masyarakat tempatan menerusi penganjuran Program Road Tour dan Solat Subuh Berjemaah di Masjid Alam Impian, awal pagi tadi.
Kehadiran Pengerusi MAIS, YAD Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin bin Saidin seawal waktu Subuh disambut mesra oleh Pengurus Masjid Alam Impian, YBrs. Ustaz Kamarul Azuan bin Kamal Hizar bersama Pengerusi Lembaga Tadbir Masjid, YBrs. Ustaz Mohammad Khair bin Zainal.
Program berimpak tinggi ini merupakan platform terbaik dalam mendekatkan barisan kepimpinan MAIS dengan masyarakat. Selaras dengan moto “MAIS Santuni Anda”, ia menyediakan ruang interaksi secara langsung bagi mendengar maklum balas, pandangan, serta permasalahan ahli jemaah.
Seusai solat Subuh berjemaah, majlis diteruskan dengan penyampaian amanat oleh Pengerusi MAIS. Dalam ucapannya, beliau menjelaskan peranan MAIS sebagai pembuat dasar berkaitan hal ehwal Islam di Selangor. Beliau turut menitipkan peringatan mesra kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid agar sentiasa memelihara amanah yang dipertanggungjawabkan serta mengelakkan sebarang penyalahgunaan kuasa mahupun penyelewengan dana masjid.
Majlis turut disemarakkan dengan kehadiran Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Klang, YAD Dato’ Setia Haji Mohammed Khusrin bin Haji Munawi, Mufti Selangor, YAD Dato’ Seri Utama Diraja Dato’ Setia Dr. Haji Anhar bin Haji Opir serta Pegawai Khas Pengerusi MAIS, Encik Abdul Ghaffar bin Ab Ghani.













