PENGERUSI MAIS TERUS MENYANTUNI JEMAAH DAN AHLI KARIAH DI DUA MASJID DI PUCHONG
PENGERUSI MAIS TERUS MENYANTUNI JEMAAH DAN AHLI KARIAH DI DUA MASJID DI PUCHONG
PUCHONG, 26 Ogos — Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terus mendekati masyarakat melalui Program Turun Padang di dua masjid sekitar Puchong, semalam. Program mesra ini dibawakan khas bagi mengeratkan silaturahim dengan penduduk setempat, sejajar dengan moto MAIS iaitu “MAIS Menyantuni Anda”.
Suasana majlis jadi lebih berseri dengan kehadiran Pengerusi MAIS, YAD Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin bin Saidin.
Beliau meluangkan masa menunaikan solat Maghrib berjemaah di Masjid Nurul Iman (Kampung Tengah Batu 13) dan Masjid Nurul Huda (Kampung Kenangan Batu 13) di mana kedatangan beliau disambut mesra oleh Nazir serta Jawatankuasa Masjid.
Dalam perkongsiannya, Dato’ Setia Haji Salehuddin mengingatkan bahawa masjid bukan sekadar tempat solat. Ia juga menjadi pusat sebaran maklumat sahih tentang Islam dan ejen penyatuan ummah. Beliau turut menyarankan agar pihak masjid lebih kreatif menganjurkan aktiviti menarik supaya lebih ramai anak muda rajin ke masjid.
Selain itu, program ini juga menjadi platform terbaik untuk mendedahkan peranan MAIS sebagai pembuat dasar hal ehwal Islam di Selangor, di samping memperkenalkan fungsi pelbagai jabatan serta agensi di bawahnya.
Turut serta dalam lawatan ini ialah barisan kepimpinan MAIS terdiri daripada Tuan Haji Mohd Sabirin bin Mohd Sarbini (Setiausaha MAIS), Encik Zaharudin bin Salim (Pengarah Strategi Korporat MAIS), Ustaz Hashim bin Muhamad (KPP Bahagian Pengurusan Masjid), dan Encik Abdul Ghaffar bin Ab Ghani (Pegawai Khas Pengerusi MAIS).














