PROGRAM KHIDMAT KOMUNITI PELATIH BAITUL EHSAN: PUPUK SEMANGAT KEMASYARAKATAN
PROGRAM KHIDMAT KOMUNITI PELATIH BAITUL EHSAN: PUPUK SEMANGAT KEMASYARAKATAN
SABAK BERNAM, 16 Oktober 2025 – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan telah mengadakan Program Khidmat Komuniti di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Seri Nakhoda, Sabak Bernam yang disertai oleh pelatih-pelatih pada 14 Oktober lepas.
Program ini merupakan aktiviti tahunan yang dirangka untuk pelatih pusat bagi memupuk semangat kesukarelawanan dan kepedulian sosial dalam kalangan masyarakat. Selain itu, melalui program ini juga dapat menyemai nilai empati dan keprihatinan terhadap golongan OKU, di samping menyedarkan pelatih bahawa setiap insan mempunyai kelebihan tersendiri walaupun diuji dengan kekurangan.
Sebagai tanda keprihatinan, pihak MAIS bersama pelatih telah melaksanakan aktiviti gotong-royong mengecat serta menyumbangkan peralatan mengecat kepada pihak PPDK. Aktiviti ini dijalankan dengan semangat kerjasama antara pegawai MAIS dan pelatih PPDK, yang bersama-sama mengecat pagar serta bangunan luar pusat tersebut.
Penyerahan sumbangan peralatan telah disempurnakan oleh Puan Faezatul Aimi binti Nurdin, Eksekutif Pentadbiran Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan (MAIS), kepada wakil Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Seri Nakhoda.
Seramai 20 orang pelatih bersama pegawai pengiring telah menyertai program ini. Pelatih yang terlibat dipilih berdasarkan penilaian mata merit disiplin tertinggi serta melepasi saringan tahap sahsiah terbaik sepanjang tempoh pemulihan di Baitul Ehsan.
MAIS berharap dengan adanya program sebegini dapat membuka ruang kepada pelatih untuk membuktikan bahawa mereka mampu berubah ke arah yang lebih baik dan dapat memberi khidmat sumbangan positif kepada masyarakat apabila di luar nanti. Selain itu juga dapat mengubah persepsi masyarakat supaya terus memberi sokongan positif terhadap golongan asnaf riqab apabila mereka berada di dalam masyarakat nanti dan tidak meminggirkan mereka.
Semoga dengan pendedahan berterusan berkaitan Baitul ini akan memberi manfaat untuk orang ramai dan memahami masih ada jalan pulang kepada mereka yang terpesong.













