RAMAIKAH IMAM MAHDI?

Jika dihitung dakwaan mereka yang mengaku sebagai Imam Mahdi, sudah pasti puluhan bahkan ratusan watak yang telah muncul dalam lipatan sejarah. Antara dakwaan terawal daripada seorang pemimpin ajaran sesat dari wilayah Maghrib (Afrika Utara) yang bernama Ubaidullah bin Maimun al-Qaddah, yang meninggal dunia pada tahun 259H. Kemudian muncul pula Muhammad bin Tumart yang meninggal dunia pada tahun 525H juga di Maghrib yang mendakwa dirinya Imam Mahdi, padahal dia adalah seorang lelaki munafik lagi pembohong.

Tidak ketinggalan dakwaan Imam Mahdi juga berlaku dalam kalangan umat Islam di nusantara. Muhammad Zubir Amir Abdullah, seorang warga Indonesia, mengaku sebagai Imam Mahdi dan memasuki Malaysia untuk menyebarkan dakwah di negara ini. Malangnya pembohongannya berjaya menarik minat 11 orang pengikutnya untuk mempercayainya, bahkan telah membai’ahnya pada 18 Julai 2015.

Kenapa begitu ghairah segelintir umat Islam mendakwa dirinya al-Mahdi?

A17 01
Sumber imej: Dijana oleh Ai

Al-Mahdi: Pengaruh dan kuasa yang memikat

Siapa tidak ingin disanjung dan dihormati, bahkan diangkat serta dipuji dan dipuja. Jalan paling mudah untuk mendapatkan ganjaran demikian adalah dengan menobatkan diri sebagai tokoh penyelamat yang ditunggu oleh sekalian umat sepanjang zaman. Bukan sekadar menjadi Tuan Guru, atau Tuan Sheikh yang dikagumi dan dihormati oleh para pengikut, bahkan menjadi tokoh yang disebutkan ramalan akan kemunculannya oleh nabi di akhir zaman!.

Dunia yang dipenuhi dengan kezaliman, ditambah dengan nasib umat Islam di Palestin yang seakan tidak terbela, sudah pastinya dakwaan kemunculan tokoh penyelamat yang menjanjikan kemenangan dan pembelaan umat Islam akan begitu mudah meruntun hati sebahagian umat Islam yang telah berputus asa, lantas mengimani dan mempercayainya tanpa banyak soal.

Ditabalkan menjadi Imam Mahdi bakal menjanjikan kekuasaan dan pengaruh yang luar biasa. Tambahan pula jika dikurniakan sebahagian perkara ganjil yang disangkakan karamah Tuhan, sedangkan itu adalah istidraj yang semakin menyesatkan. Sejarah pemimpin dan tokoh ajaran sesat sepanjang zaman, sejak dulu hingga kini mencatatkan persamaan penting semua tokoh ajaran sesat, iaitu keghairahan mereka terhadap pengaruh kuasa dan takhta. Sebagai contoh, Muhammad bin Tumart yang dinyatakan diawal penulisan ini direkodkan oleh Ibn al-Athir tentang keadaan dirinya yang tidak pun mengaku sebagai Imam Mahdi. Beliau hanya meramalkan kedatangan Imam Mahdi yang bakal muncul pada zamannya. Namun, setelah mendapat pengikut yang ramai dan pengaruh yang semakin menguat, beliau akhirnya mengaku sebagai Imam Mahdi, bahkan mendakwa dirinya adalah maksum.

A17 02
Sumber imej: Dijana oleh Ai

Memahami sifat dan ciri al-Mahdi: Benteng penyelamat akidah umat Islam

Apa yang pasti, Imam Mahdi adalah dari keturunan Nabi Muhammad SAW. Ini yang menjadi kesepakatan seluruh ulama sepanjang zaman. Justeru, sesiapa sahaja yang mendakwa dirinya adalah Imam Mahdi, sedangkan telah jelas susur galur keturunannya adalah seorang Melayu tulen, atau Jawa Asli, maka sudah pasti yang pendakwa adalah pendusta agama dan penyesat umat.

Selain berketurunan Nabi Muhammad SAW dari jalur keturunan Fatimah R.A, para ulama juga menggariskan beberapa kriteria dan sifat Imam Mahdi. Antaranya Imam Mahdi seorang yang mempunyai dahi yang luas serta hidung yang mancung. Kedua-dua matanya bercelak dan wajahnya bercahaya seakan-akan beliau adalah bintang yang berseri. Antara tanda yang paling utama adalah di bahunya terdapat tanda yang sama sebagaimana yang terdapat pada bahu Nabi Muhammad SAW.

Apabila memperkatakan tentang Imam Mahdi, Ibnu Kathir menukilkan perkataan berikut:

Kemudian, apabila tiba akhir zaman, Imam Mahdi akan muncul. Kemunculannya adalah dari negeri-negeri di sebelah timur, bukan dari ruang bawah tanah di Samarra (Iraq) sebagaimana didakwa oleh golongan Rafidah yang jahil. Mereka mendakwa bahawa beliau kini berada di situ dan menantikan kemunculannya pada akhir zaman. Sesungguhnya dakwaan ini merupakan sejenis khayalan dan suatu kesesatan yang besar akibat tipu daya syaitan. Tidak ada dalil atau bukti baginya, sama ada daripada al-Quran, sunnah, pertimbangan akal yang sahih mahupun penilaian yang munasabah.
A17 03
Sumber imej: Dijana oleh Ai

Jelas sekali bahawa, penegasan Ibnu Kathir adalah bagi menepis dakwaan palsu pengakuan-pengakuan menjadi Imam Mahadi yang sudah tersebar di zamannya.

Penutup: Bersederhana dan berwaspada

Kemunculan Imam Mahdi adalah satu kepastian yang akan berlaku sehinggakan Imam al-Safaraini menyifatkan hadis-hadis yang datang berkaitannya adalah sampai

kepada peringkat mutawatir maknawi, iaitu, tidak mungkin dimungkiri lagi. Walau bagaimanapun, umat Islam dituntut untuk bersikap sederhana dan tidak terlalu ghairah sehingga mudah tertipu dengan dakwaan-dakwaan palsu yang bertujuan mencari pengaruh.

Apa yang paling utama adalah, setiap individu Muslim wajib mengenal pasti ciri-ciri Imam Mahdi dari sumber yang sahih supaya dapat membentengi dirinya daripada menjadi mangsa kepada pendusta agama. Kegagalan memahami dan mengenal pasti Imam Mahdi akan merisikokan seseorang Muslim terjerumus kepada ketaksuban ajaran sesat.

A17 04
Sumber imej: Graphic Design

Jika anda ada melihat sebarang ajaran yang mencurigakan di persekitaran anda, boleh laporkan terus ke talian hotline Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di 1800-88-2424 atau boleh hadir terus ke pejabat bagi membantu siasatan.

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor
Search