SUMBANGAN SULTAN AL-MUAZZAM ALA’EDDIN SULEIMAN SHAH DALAM PERKEMBANGAN ISLAM DI SELANGOR

Terdapat banyak faktor yang membawa kepada perkembangan agama Islam di sesebuah negara, daerah atau kawasan. Islam bermula dikenali sebagai suatu anutan agama sehinggalah ia menjadi pengamalan masyarakat setempat. Dakwah, cara hidup dan pendidikan antara yang menjadi faktor kepada berkembangnya Islam di sesebuah kawasan.

img1
Sumber imej: https://selangor.travel/

Tidak dapat dinafikan, campur tangan penguasa atau pemimpin setempat menjadi faktor terbesar dalam perkembangan Islam. Apabila pemimpin setempat menggalakkan bahkan mengiktiraf pengajaran Islam di tempatnya, ia secara tidak langsung dapat menghindarkan segala cabaran dan rintangan dalam mengembangkan pengajaran dan pengamalan Islam. Begitulah apa yang dilalui di negeri Selangor apabila Sultan Al-Muazzam Ala’eddin Suleiman Shah turut memberikan jasa dalam perkembangan Islam di negeri ini.

Biografi Sultan Al-Muazzam Ala’eddin Suleiman Shah

Nama baginda ialah Sultan Ala’eddin Suleiman Shah bin Raja Muda Musa bin Sultan Abdul Samad bin Raja Abdullah bin Sultan Ibrahim Shah bin Raja Lumu bin Upu Daeng Celak. Baginda dilahirkan pada 19 Rabi’ul Akhir 1282H bersamaan 11 September 1865. Baginda mangkat pada 30 Muharram 1357H bersamaan 31 Mac 1938. Sultan Suleiman merupakan Sultan Selangor yang ke-5. Baginda memegang takhta pemerintahan negeri Selangor selama 40 tahun bermula pada tahun 1898 sehingga tahun 1938

img2 2
Sumber imej: https://kosass.upm.edu.my/

Menurut Hj. Muhammad Santoso, jalur keturunan Sultan Ala’eddin Suleiman Shah adalah daripada keturunan anak Raja Bugis yang berasal dari Luwuk, Sulawesi. Manakala daripada sebelah ibu baginda adalah keturunan puteri kerajaan Riau. Datuk neneknya ialah Raja Lumu yang merupakan adik-beradik kepada pahlawan Melayu yang sangat terkenal iaitu Raja Haji Fi Sabilillah.

Hubungan Bersama Para Ulama

Sultan Ala’eddin Suleiman Shah adalah antara pemimpin yang dikenali sebagai sultan yang mengasihi dan menghormati ulama. Hal ini jelas kelihatan pada hubungan baginda dengan Syeikh Tengku Mahmud Zuhdi. Antara bukti hormatnya Sultan Ala’eddin Suleiman Shah kepada ulama adalah apabila baginda sultan melantik Syeikh Tengku Mahmud Zuhdi menjadi Penasihat Agama Selangor. Setelah itu, Syeikh Tengku Mahmud Zuhdi dilantik menjadi Syaikhul Islam Setia Diraja Selangor. Semua ini bermula apabila Sultan Suleiman Shah telah mendengar berkaitan keilmuwan Syeikh Tengku Mahmud Zuhdi, baginda sendiri yang datang ke Jambi mengajak Syeikh Tengku Mahmud Zuhdi supaya berpindah ke Selangor. Sejak daripada itu, setiap kali baginda sultan ke luar negara, pasti akan diiringi oleh Syeikh Tengku Mahmud Zuhdi.

img3
Sumber imej: https://conference.uis.edu.my/

Selain daripada Syeikh Tengku Mahmud Zuhdi yang berkhidmat dalam kerajaan negeri Selangor, terdapat sebilangan ramai ulama lain yang turut berkhidmat di negeri ini sepanjang pemerintahan Sultan Ala’eddin Suleiman Shah. Ahmad Zaki menjelaskan, antara ulama yang berkhidmat dalam Kerajaan Negeri Selangor ialah Haji Abdul Ghani bin Haji Othman, Sayid Abdul Aziz al-Syami al-Masri, Sayid Mahmud Arif al-Bukhari, Tengku Muhammad bin Tengku Mahmud Zuhdi, Haji Muhammad Nur, Syeikh Haji Abdul Ghani bin Abdul Hamid al-Mandaili dan ramai lagi.

Sebahagian mereka ada yang berkhidmat membantu pentadbiran Islam di Negeri Selangor seperti Tengku Muhammad bin Tengku Mahmud Zuhdi. Sebahagian lain pula ada yang berkhidmat sebagai pendakwah dengan mengajarkan ilmu agama di sekitar Selangor seperti Haji Muhammad Nur. Ada juga yang menjadi imam di masjid dan menjadi guru di sekolah-sekolah agama di Selangor.

Kesemua ini menunjukkan hormat dan eratnya hubungan Sultan Ala’eddin Suleiman Shah dengan para ulama. Seterusnya menunjukkan jasa dan usaha beliau dalam perkembangan Islam di Negeri Selangor dengan menyantuni para ulama.

img6
Sumber imej: https://pixabay.com/

Perkembangan Islam Di Selangor

Sultan Ala’eddin Suleiman Shah terkenal sebagai seorang sultan yang alim dan berpengetahuan luas dalam ilmu agama. Hal ini menatijahkan kerancakan perkembangan Islam di negeri Selangor pada zaman baginda sultan. Usaha mahupun sumbangan perkembangan Islam di Selangor oleh Sultan Suleiman Shah dapat dibahagikan kepada tiga bentuk iaitu dakwah, pendidikan dan tasawuf.

i. Dakwah Sultan Ala’eddin Suleiman Shah

Antara bentuk dakwah Sultan Ala’eddin Suleiman Shah adalah melalui pembinaan dan pengimarahan masjid. Masjid yang dibina telah diberikan nama bersempena dengan nama baginda sendiri iaitu Masjid Alaudin di Kuala Langat, Selangor. Di masjid inilah baginda selalu menyampaikan khutbah Jumaat dan khutbah Hari Raya. Melihat kepada keberanian dan kemahiran baginda sultan menyampaikan khutbah menunjukkan Baginda seorang yang alim dalam ilmu agama. Seterusnya menzahirkan usaha baginda dalam dakwah Islam.

img4
umber imej: https://conference.uis.edu.my/

Selain itu, antara bukti sumbangan dan usaha baginda sultan dalam perkembangan Islam adalah dengan mengarang beberapa buah kitab. Antara kitab yang pernah dikarang oleh Sultan Ala’eddin Suleiman Shah ialah Kitab Pohon Agama Bahagian Rukun Iman. Kandungan kitab ini membahaskan tentang ilmu akidah berasaskan pemahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sesuai dipelajari oleh segenap lapisan umur. Hal ini kerana kitab ini ditulis dengan ringkas dan mudah difahami.

ii. Pendidikan Pada Zaman Sultan Ala’eddin Suleiman Shah

Antara sumbangan Sultan Ala’eddin Suleiman Shah dalam perkembangan Islam di Selangor adalah melalui pendidikan. Menurut Ahmad Zaki, pada zaman pemerintahan baginda, Sultan Ala’eddin Suleiman Shah telah membina beberapa buah sekolah agama. Ahmad Shukri juga menjelaskan bahawa pada zaman Sultan Ala’eddin Suleiman Shah terkenal sebagai zaman kemuncak pendidikan sekolah agama.

Bukan itu sahaja, baginda sultan juga ada mengarang sebuah buah kitab yang khusus berkaitan dengan pendidikan. Kitab tersebut diberi nama Kitab Melatih Kanak-Kanak Laki-Laki Perempuan dan Nasihat Pemeliharaan Guru Melatih Kelakuan Perjalanan Adab Kanak-Kanak Pelajaran Di Dalam Sekolah Melayu Agama. Menurut Muhammad Hifzurdin, kitab ini bertujuan membahaskan perihal adab dan akhlak dalam kalangan kanak-kanak. Kitab ini juga bertujuan menyampaikan ajaran Islam secara praktikal dan mudah difahami oleh kanak-kanak. Bukan itu sahaja, kitab ini memberikan petunjuk praktikal kepada para guru dan ibu bapa dalam melatih kanak-kanak. Ini menunjukkan betapa seriusnya baginda dalam mementingkan pendidikan Islam di negeri Selangor.

iii. Pengamalan Tasawuf Di Selangor

Selain terkenal dengan usaha dan sumbangan pendidikan, Sultan Ala’eddin Suleiman Shah juga berjasa dalam penyebaran amalan tasawuf dan tarekat di Selangor. Salah satu buktinya adalah apabila baginda menerima Syeikh Tengku Mahmud Zuhdi sebagai Penasihat Agama dan Syaikhul Islam Setia Diraja Selangor yang mana beliau adalah seorang ulama dan juga pengamal tarekat Syathariyah dan Syaziliyah.

img5
Sumber imej: https://conference.uis.edu.my/

Selain itu, Sultan Ala’eddin Suleiman Shah juga mengizinkan penyebaran amalan tarekat di Selangor. Hal ini dibuktikan dengan sejumlah ulama dan pemimpin tarekat yang muncul lalu menyebarkan amalan tarekat di Selangor sepanjang pemerintahan baginda. Antara ulama yang menyebarkan tarekat ialah Syeikh Ahmad Marzuki. Beliau telah membuka pusat suluk di Lubuk Pusing serta menyebarkan tarekat Naqsyabandiyah di sekitar Selangor. Terdapat juga ulama yang bernama Syeikh Muhammad Nur Qadhi Langkat dan Syeikh Uthman bin Abdullah al-Minangkabawi. Mereka berdua ini juga terkenal sebagai penyebar tarekat Naqsyabandiyah di Selangor.

Kesimpulan

Sultan Al-Muazzam Ala’eddin Suleiman Shah adalah salah seorang Sultan Selangor yang banyak berjasa dalam menyumbang perkembangan Islam di negeri Selangor. Baginda dikenali sebagai sultan yang sangat menghormati ulama. Jasa dan sumbangan baginda dalam perkembangan Islam dapat dilihat melalui dakwah baginda sultan dalam pembinaan masjid dan penyampaian khutbah. Baginda juga sangat mementingkan pendidikan Islam sehingga banyaknya sekolah agama dibuka pada zaman baginda sultan. Begitu juga jasa baginda sultan dalam mengarang kitab-kitab agama untuk rakyatnya. Di samping itu, penyebaran dan pengamalan tasawuf juga rancak pada zaman pemerintahan Sultan Ala’eddin Suleiman Shah.

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor
Search