TIMBALAN PENGERUSI MAIS RASMIKAN MAJLIS APRESIASI JALINAN KASIH ORANG ASLI NEGERI SELANGOR 2024/2025
TIMBALAN PENGERUSI MAIS RASMIKAN MAJLIS APRESIASI JALINAN KASIH ORANG ASLI NEGERI SELANGOR 2024/2025
SHAH ALAM, 23 Ogos – Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), YBhg. Tan Sri Mazlan Mansor berbesar hati meluangkan masa merasmikan Majlis Apresiasi Jalinan Kasih Orang Asli Negeri Selangor 2024/2025 di sini.
Program anjuran Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Majlis yang diadakan ini bertujuan memberi pengiktirafan kepada individu, pemimpin masyarakat Orang Asli, keluarga serta perkampungan Orang Asli yang menjadi Qudwah Hasanah sekaligus memberikan contoh terbaik dalam menggalakkan syiar Islam dan dakwah sepanjang tahun 2024/2025.
Seramai 27 orang penerima di kalangan orang asli termasuk penerima keluarga surau dan kampung telah menerima anugerah meliputi kategori Anugerah Pelajar Harapan Kategori Sekolah Rendah & Menengah, Anugerah Pelajar Harapan Kategori Kelas Fardhu Ain, Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, Ikon Kecemerlangan Anak Orang Asli (Peringkat Universiti), Ikon Kepimpinan Orang Asli, Tokoh Pendakwah Orang Asli, Keluarga Kasih Harmoni 2024/2025, Surau Kampung Orang Asli Terbaik dan Kampung Orang Asli Terbaik.
Anugerah-anugerah ini telah disampaikan oleh YBhg. Tan Sri Mazlan Mansor, Timbalan Pengerusi MAIS diiringi oleh YBhg. Dato’ Haji Mohd Shahzihan Ahmad, Pengarah JAIS.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua penerima anugerah. Semoga dengan anugerah ini dapat memberikan inspirasi, pembakar semangat, dorongan serta motivasi kepada Orang Asli dalam memajukan sahsiah diri serta keluarga sekali gus dapat membantu menggalakkan aktiviti-aktiviti dakwah berjalan dengan lebih lancar serta teratur di perkampungan Orang Asli.














