MAIS TURUN PADANG, SERAH BANTUAN PERNIAGAAN KEPADA ASNAF RIQAB
MAIS TURUN PADANG, SERAH BANTUAN PERNIAGAAN KEPADA ASNAF RIQAB
BUKIT KAPAR, 9 Disember – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengadakan program turun padang bagi menyerahkan bantuan perniagaan kepada dua orang asnaf riqab berjumlah keseluruhan sebanyak RM7,700.00 hari ini.
Daripada jumlah keseluruhan RM7,700.00, sebanyak RM2,700.00 diperuntukkan kepada penerima bekas pelatih Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan dan RM5,000.00 kepada penerima bekas pelatih Rumah Penawar iaitu Rumah Pemulihan Riqab yang berdaftar di bawah MAIS.
Penerima bantuan merupakan asnaf riqab MAIS yang menjalankan perniagaan katering dan pengusaha makanan sejuk beku.
Bantuan yang disalurkan melalui peruntukan sumber Baitulmal ini merupakan sumbangan tunai MAIS bagi menyediakan kelengkapan perniagaan, sekaligus membantu meringankan beban kewangan dalam mengusahakan perniagaan mereka.
Majlis penyampaian bantuan disempurnakan oleh Tuan Haji Mohd Sabirin Mohd Sarbini, Setiausaha MAIS di rumah penerima sumbangan iaitu di Kota Puteri dan Bukit Kapar di sini.
Salah seorang penerima bantuan asnaf riqab, beliau menzahirkan rasa syukur dan merakamkan ucapan terima kasih kepada MAIS atas bantuan perniagaan yang diterimanya.
MAIS berharap sumbangan yang diterima dapat memberi suntikan semangat kepada asnaf riqab untuk terus maju di samping dapat meningkatkan taraf ekonomi mereka dalam mengusahakan perniagaan.












