SINERGI MAIS – MAIWP DALAM MEMPERKASAKAN PEMULIHAN WANITA LEBIH PROAKTIF

SINERGI MAIS – MAIWP DALAM MEMPERKASAKAN PEMULIHAN WANITA LEBIH PROAKTIF

631917237 1292283059483557 7807115352834203439 n
SABAK BERNAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan telah menerima kunjungan dari Pusat Dar Assaadah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di sini pada 12 Februari.
 
Kunjungan bertujuan berkongsi pengalaman berkaitan kaedah pengurusan serta pelaksanaan program pemulihan pelatih di Baitul Ehsan ini turut membuka ruang bagi meneroka peluang kolaborasi antara pihak MAIS dan MAIWP khususnya dalam pelaksanaan program pemulihan wanita dari segi pembangunan sahsiah, latihan kemahiran, kaunseling serta sokongan sosial kepada wanita yang dibelenggu masalah sosial.
 
Kehadiran delegasi dari pihak MAIWP seramai enam orang yang diketuai oleh Pn. Nurul Fatihah Ibrahim, Pengetua Dar Assaadah (MAIWP) telah disambut mesra oleh Ustaz Suhaimi Ismail, Pengarah Pembangunan Sosial MAIS bersama beberapa pegawai Baitul Ehsan. Delegasi kemudiannya melawat di sekitar premis Baitul Ehsan bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai pengoperasian pusat termasuk aktiviti rutin harian, fasiliti serta sistem pemantauan pelatih di dalam pusat.
 
Taklimat berkaitan Baitul Ehsan disampaikan oleh Pn. Nazatushima Osman, Penguasa Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan.
 
Kunjungan ini bukan sahaja menjadi platform perkongsian pengalaman antara kedua-dua institusi malah ia turut mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa sistem pemulihan sosial wanita melalui pendekatan kolaborasi yang berimpak tinggi dan selaras dengan objektif lawatan yang dibawa oleh pihak Dar Assaadah (MAIWP).
Delegasi turut menyatakan penghargaan serta hasrat untuk meneruskan kerjasama strategik dalam penganjuran program bersama pihak MAIS pada masa akan datang.
 
Semoga kunjungan ini menjadi titik tolak sinergi yang lebih kukuh antara MAIS dan MAIWP dalam memperkasa sistem pemulihan sosial untuk wanita secara bersepadu dan berkesan.
 
MAIS | Majlis Agama Islam Selangor
Search