TURUN PADANG PENGERUSI MAIS KE DAERAH KUALA LANGAT Dialog Bersama 60 Nazir Masjid dan Tinjauan Keperluan Masjid serta Sekolah Agama
TURUN PADANG PENGERUSI MAIS KE DAERAH KUALA LANGAT Dialog Bersama 60 Nazir Masjid dan Tinjauan Keperluan Masjid serta Sekolah Agama
KUALA LANGAT, 30 April – Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), YAD Dato’ Setia Haji Salehuddin Saidin meneruskan Program Turun Padang ke daerah Kuala Langat bagi mengadakan sesi dialog dan pertemuan bersama 60 Nazir Masjid serta Pengerusi Surau Solat Jumaat.
Majlis dialog yang berlangsung di Dewan Masjid Jamek As-Solihin, Kanchong Darat itu menjadi platform untuk membincangkan cabaran di lapangan, khususnya dalam memperkasakan pengurusan masjid secara lebih cemerlang dan berkesan.
Selesai sesi dialog, lawatan diteruskan ke tapak pembinaan jalan ke tanah perkuburan baharu Kanchong Darat sebelum meninjau beberapa buah sekolah agama dan masjid di daerah ini bagi melihat sendiri keperluan prasarana serta menyantuni komuniti setempat.
Antara lokasi yang dilawati ialah Sekolah KAFA Benteng Tengah, Sekolah Rendah Agama Sijangkang, Surau Jaafar dan Surau At-Taqarrub, Kampung Batu 9.
Sepanjang lawatan, Pengerusi MAIS meninjau kemudahan sedia ada, mendengar pandangan pihak pengurusan institusi serta mengenal pasti keperluan penambahbaikan prasarana bagi memastikan sekolah agama dan masjid terus berfungsi dengan lebih selesa, kondusif dan berkesan kepada masyarakat setempat.
Program turun padang ini mencerminkan komitmen berterusan MAIS dalam memperkukuh ekosistem pendidikan agama dan pengurusan masjid di Selangor selaras dengan usaha menyantuni ummah.
Turut hadir ialah Yang Dimuliakan Tengku Penggawa Muda Paduka Maha Bijaya, Tengku Dato’ Mohamed Alhaj bin Tengku Harun, Orang Besar Daerah Kuala Langat; SS Dato’ Haji Mohd Shahzihan Ahmad, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS); Puan Hajah Norlaili Mohamad, Timbalan Setiausaha Operasi MAIS serta Dr Hajah Norraini Nordin, Pengarah Kanan Ekonomi dan Pembangunan Sosial MAIS.
Hadir sama wakil pengurusan Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Langat, JAIS, Lembaga Zakat Selangor (LZS), Perbadanan Wakaf Selangor, Bakti Suci Sdn. Bhd. dan MAIS.
















