TURUN PADANG PENGERUSI MAIS KE DAERAH KLANG-Dialog Bersama 90 Nazir Masjid dan Pengerusi Surau
TURUN PADANG PENGERUSI MAIS KE DAERAH KLANG-Dialog Bersama 90 Nazir Masjid dan Pengerusi Surau
KLANG, 7 April 2026 – Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), YAD Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin Saidin meneruskan Program Turun Padang ke daerah Klang bagi mengadakan sesi dialog dan pertemuan bersama 90 Nazir Masjid serta Pengerusi Surau Solat Jumaat.
Majlis dialog yang berlangsung di Dewan Al-Ghazali, PAID Klang itu menjadi platform untuk membincangkan cabaran di lapangan, khususnya dalam memperkasakan pengurusan masjid secara lebih cemerlang dan berkesan.
Selesai sesi dialog, lawatan diteruskan ke Masjid Telok Menegon sebelum meninjau beberapa buah sekolah agama dan masjid di daerah ini bagi melihat sendiri keperluan prasarana serta menyantuni komuniti setempat.
Antara lokasi yang dilawati ialah Sekolah Rendah Agama Sungai Kandis, Masjid Kampung Pendamar, Maahad Tahfiz Raudhatus Salam dan Sekolah Rendah Agama Kampung Raja Uda yang diketuai pula oleh Tan Sri Dato Setia Mazlan bin Mansor, Timbalan Pengerusi MAIS.
Sepanjang lawatan, turut dilihat kemudahan sedia ada, mendengar pandangan pihak pengurusan institusi serta mengenal pasti keperluan penambahbaikan prasarana bagi memastikan sekolah agama dan masjid terus berfungsi dengan lebih selesa, kondusif dan berkesan kepada masyarakat setempat.
Program turun padang ini mencerminkan komitmen berterusan MAIS dalam memperkukuh ekosistem pendidikan agama dan pengurusan masjid di Selangor selaras dengan usaha menyantuni ummah.
Turut hadir ialah Tuan Haji Mohd Sabirin bin Mohd Sarbini, Setiausaha MAIS, Tuan Hafizuddin bin Kadir, Pegawai Tadbir Agama Klang dan Ustaz Haji Hashim bin Muhamad, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid (JAIS).
Hadir sama wakil pengurusan Pejabat Agama Islam Daerah Sepang, JAIS, Lembaga Zakat Selangor (LZS), Perbadanan Wakaf Selangor, Bakti Suci Sdn. Bhd. dan MAIS.
















