MAIS PERKASA BEKAS PELATIH MELALUI KEM TARBIAH “HIJRAH HATI, INDAHNYA KEMBALI”

MAIS PERKASA BEKAS PELATIH MELALUI KEM TARBIAH “HIJRAH HATI, INDAHNYA KEMBALI”

754824668 2153389612277449 3904632906778765303 n 1
JERAM, 24 Julai 2026 – Seramai 25 orang bekas pelatih Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah menyertai Program Kem Tarbiah Bekas Pelatih 2026: “Hijrah Hati, Indahnya Kembali” yang berlangsung selama tiga hari dua malam, bermula 17 hingga 19 Julai 2026 di Kuala Selangor Cabin Camp (KSCC), Jeram, Kuala Selangor.
 
Program anjuran Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, MAIS ini bertujuan menghimpunkan semula bekas pelatih sebagai platform untuk memperkukuh jati diri, memperbaharui semangat hijrah serta mengukuhkan penghayatan terhadap nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian.
 
Antara objektif utama program adalah untuk memperkukuh penghayatan ibadah, membina keyakinan diri, menerapkan nilai-nilai murni serta membimbing peserta ke arah perubahan diri yang berterusan.
 
Sepanjang program berlangsung, peserta mengikuti pelbagai pengisian yang memberi penekanan kepada pembangunan rohani, emosi dan sahsiah, antaranya ceramah tarbiah, slot motivasi, qiamullail, solat berjemaah, Latihan Dalam Kumpulan (LDK), aktiviti muhasabah diri serta aktiviti berkumpulan yang disusun bagi mengukuhkan semangat kerjasama, keyakinan diri dan ukhuwah sesama peserta.
 
Melalui pendekatan psikospiritual dan tarbiah yang diterapkan, program ini diharapkan dapat membantu peserta meningkatkan penghayatan spiritual dan amalan ibadah, membina kekuatan dalaman, membentuk sahsiah serta akhlak yang lebih positif, di samping memberi motivasi kepada mereka untuk terus istiqamah dalam proses perubahan diri.
 
Majlis Penutupan Program telah disempurnakan oleh Dr. Hajah Norraini binti Nordin, Pengarah Kanan Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Majlis Agama Islam Selangor. Turut hadir ialah Ustaz Suhaimi bin Ismail, Pengarah Pembangunan Sosial, MAIS dan Puan Noor Huda binti Tajudin, Pegawai Psikologi, Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, MAIS.
 
MAIS akan terus melaksanakan program susulan serta intervensi secara berkala bagi memastikan bekas pelatih sentiasa menerima sokongan dan bimbingan dalam meneruskan proses hijrah serta pembangunan diri.
 
MAIS | Majlis Agama Islam Selangor
Search