KUNJUNG HORMAT UNITEN KE MAIS – PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK PEMBANGUNAN PELAJAR ASNAF
KUNJUNG HORMAT UNITEN KE MAIS – PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK PEMBANGUNAN PELAJAR ASNAF
SHAH ALAM, 11 Ogos 2026– Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) yang diketuai oleh Naib Canselor, Prof. Ir. Dr. Khairul Salleh bin Mohamed Sahari yang disambut oleh Tuan Haji Mohd Sabirin bin Mohd Sarbini, Setiausaha MAIS pada 10 Ogos lepas.
UNITEN melalui Pusat Zakat & Wakaf UNITEN (TAZW) berhasrat memperkukuh hubungan dan kerjasama strategik bersama MAIS, khususnya dalam memperkasa kebajikan serta pembangunan pendidikan pelajar dalam kalangan asnaf fakir dan miskin. Hasrat tersebut dinyatakan menerusi kunjungan hormat ke MAIS oleh pihak UNITEN bagi berkongsi perkembangan semasa universiti selain meneroka ruang dan peluang kerjasama strategik antara kedua-dua institusi.
TAZW merupakan Penolong Amil lantikan Lembaga Zakat Selangor-MAIS (LZS-MAIS) sejak tahun 2010 dan terus komited memastikan kebajikan serta kelangsungan akademik pelajar daripada golongan asnaf fakir dan miskin di UNITEN mendapat perhatian sewajarnya.
Selain membantu menampung keperluan berkaitan yuran pengajian, penginapan dan sara diri, bantuan zakat yang disalurkan turut dimanfaatkan bagi pelaksanaan pelbagai program pembangunan sahsiah diri dan akademik pelajar.
Kerjasama antara UNITEN dan MAIS ini diharap dapat menjadi platform untuk memperkukuh agenda pembangunan pendidikan anak-anak Selangor, khususnya golongan asnaf, melalui pendekatan yang lebih tersusun, berimpak dan berorientasikan masa hadapan.
Turut hadir mewakili UNITEN ialah Dr. Siti Salma binti Mohamad Shokri, Pengarah Huffaz Professional Centre of Excellence dan En. Mohd Husin bin Talib, Pengarah UNITEN Zakat & Waqf Centre. Hadir sama mewakili MAIS ialah Ustaz Indera Shahril bin Mohd Shahid, Pengarah Baitulmal MAIS dan turut dihadiri Pegawai daripada Lembaga Zakat Selangor En. Muhd Fikri Naim Bin Harun – Ketua Divisyen Kutipan dan En. Mohd Hairulazlan Bin Ramlan – Ketua Jabatan Perundingan Zakat.













