PENGERUSI MAIS TURUN PADANG SANTUNI JEMAAH DAN AHLI KARIAH SUBANG

PENGERUSI MAIS TURUN PADANG SANTUNI JEMAAH DAN AHLI KARIAH SUBANG

839884835 1618993406379146 8313855796518710371 n

SUBANG, 8 Oktober 2026 – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terus komited mendekati masyarakat menerusi Program Road Tour yang berlangsung di dua buah masjid di sekitar USJ Subang, baru-baru ini.

Program temu mesra yang diketuai oleh Pengerusi MAIS, YAD Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin bin Saidin itu diadakan khusus bagi mengeratkan silaturrahim bersama penduduk setempat, selaras dengan slogan “MAIS Santuni Anda”.

Menerusi siri lawatan tersebut, beliau meluangkan masa menunaikan solat berjemaah di Masjid Al Mukminun USJ 2 dan Masjid An-Nur USJ 4, sebelum disambut mesra oleh barisan Nazir serta Ahli Jawatankuasa (AJK) kedua-dua masjid berkenaan.

Dalam sesi perkongsian bersama jemaah, beliau menekankan bahawa peranan masjid kini perlu melangkaui sekadar tempat ibadah. Beliau menyifatkan pengurusan masjid sebagai “duta kecil” yang memikul tanggungjawab penting dalam menyampaikan maklumat sahih mengenai dasar-dasar MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di samping bertindak sebagai ejen penyatuan ummah.

Pada masa sama, beliau menyarankan agar pihak pengurusan masjid tampil lebih kreatif merancang aktiviti pengimarahan, khususnya bagi menarik minat golongan remaja. Beliau turut menyarankan agar program ilmiah seperti tazkirah berasaskan ilmu tasawuf diperbanyakkan.

Turut menyertai siri lawatan tersebut ialah Anggota MAIS, YAD Tan Sri Mohd Zawawi bin Salleh; Setiausaha MAIS, YBhg. Tuan Haji Mohd Sabirin bin Mohd Sarbini; YBrs. Tuan Haji Kamarulzaman bin Omar; serta Pegawai Khas Pengerusi MAIS, Encik Abdul Ghaffar bin Ab Ghani.

#MAISsantuniAnda #MAIS #MenjunjungAmanah

 

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor
Search