Artikel Dakwah

SOLAT TIANG AGAMA
Sumber imej: Harian Metro Solat merupakan satu ibadah yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada seluruh umat Islam sebagai bukti kehambaan dan kepatuhan kepada Allah SWT. Solat menurut bahasa adalah doa. Manakala solat menurut perspektif syarak adalah bacaan dan perbuatan yang tertentu yang dimulakan dengan mengangkat takbir dan diakhiri dengan salam. Terdapat sekian banyak ayat-ayat al-Quran dan juga hadis-hadis Nabi SAW tentang pensyariatan solat. Antara dalil pensyariatan solat berdasarkan al-Quran adalah seperti firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 43: وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ Maksudnya: Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk. Begitu juga firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 78: فَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ Maksudnya: Oleh itu, dirikanlah sembahyang dan berilah zakat Manakala hadis-hadis yang menerangkan pensyariatan solat adalah seperti hadis daripada Abdullah bin Umar RA, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ: شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهَ وَأَنَّ مُحَمَّداً رَسُولٌ اللهِ، وَإِقَامِ الصَّلَاةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَحَجِّ الْبَيْتِ، وَصَومِ رَمَضَانَ Maksudnya: Islam telah terbina atas lima perkara, penyaksian bahawa tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan haji ke baitullah dan berpuasa pada bulan Ramadhan. [HR : Bukhari & Muslim] Hadis ini secara jelas menyatakan Islam itu terdiri atas lima perkara. Lima perkara yang disebutkan dalam hadis ini merupakan lima rukun Islam yang wajib kita patuhi. Imam al-Nawawi dalam Sharah Sahih Muslim mengatakan bahawa “hadis ini merupakan asas yang sangat agung untuk mengenali agama dan kepercayaan kepada lima perkara ini serta terhimpun lima perkara ini sebagai rukun Islam”. Lima rukun Islam yang dinyatakan dalam hadis ibarat sebagai sebuah tonggak kepada agama Islam itu sendiri. Menurut Ibnu Rajab al-Hanbali dalam Jami’ al-Ulum Wa al-Hikam, Islam terbina atas lima perkara ini yang diibaratkan seperti rukun-rukun dan tonggak-tonggak terhadap binaan Islam itu sendiri. Jadi jelas kepada kita bahawa umat Islam wajib untuk berpegang dan mempercayai kelima-lima rukun Islam ini. Tambahan pula salah satu daripada rukun tersebut adalah solat. Tiang Agama Seperti yang dijelaskan sebelum ini, rukun Islam ibarat tonggak-tonggak kepada agama Islam. Adapun tonggak utama kepada Islam adalah solat yang berperanan sebagai tiang agama. Hal ini berdasarkan kepada hadis daripada Muaz bin Jabal RA, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: رَأْسُ الأَمْرِ الإِسْلَامُ، ‌وَعَمُودُهُ ‌الصَّلَاةُ Maksudnya: Tunjang urusan agama adalah Islam dan tiangnya adalah solat. [HR : Tirmizi] Hadis ini secara jelas menyatakan solat adalah tiang kepada agama Islam. Diumpamakan solat sebagai tiang kepada Islam kerana pentingnya kedudukan solat dalam Islam. Dapat kita fahami bahawa, jika seseorang muslim tidak menjaga solatnya maka dia tidak akan peroleh kesempurnaan dalam beragama. Menurut al-Suyuti dalam syarahan beliau terhadap Sunan al-Tirmizi, seseorang hamba apabila dia tidak memperakui pensyariatan solat maka bagi dia dikira sebagai tidak beragama. Manakala bagi sesiapa yang memperakui pensyariatannya maka dia telah berpegang pada ajaran agama Islam. Begitulah pentingnya bagi seseorang muslim untuk menjaga solatnya. Hal ini kerana, seseorang yang bergelar muslim diancam sebagai orang yang tidak beragama dan tidak berpegang dengan ajaran Islam disebabkan meninggalkan solat atau tidak menjaganya. Perkara ini juga bertepatan dengan sebuah hadis daripada Umar al-Khattab RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: ‌الصلاةُ ‌لِوَقْتِها، ‌ومَنْ ‌تَرَكَ ‌الصَّلاةَ فَلَا دِينَ لَهُ، والصَّلاةُ عِمادُ الدِّينِ Maksudnya: Solat itu dilakukan pada waktunya. Sesiapa yang meninggalkan solat maka tiada agama baginya. Solat itu merupakan tiang agama Islam. [HR : Baihaqi] Begitu juga dengan firman Allah SWT dalam surah al-Ma’un ayat 4 dan 5: فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ ‎﴿٤﴾‏ الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ ‎﴿٥﴾ Maksudnya: maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang – (4) (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya; (5). Begitulah apa yang Allah SWT nyatakan kepada meraka yang lalai dalam urusan solat mereka. Suatu kecelakaan bagi mereka yang tidak menjaga solat sama ada dengan melewatkannya atau mengabaikannya. Menurut Syeikh Ali al-Sobuni dalam tafsir beliau berkenaan dengan ayat ini, mereka yang lalai (سَاهُونَ) adalah mereka yang mengabaikan solat dan juga mereka yang melewatkan solat daripada waktunya dengan meremahkan urusan solat. Kata Abu al-Aliyah berkenaan ayat ini: “mereka tidak solat pada waktunya serta tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya”. Dapat disimpulkan mereka yang cuai dalam urusan solat serta mendapat kecelakaan daripada Allah SWT adalah mereka yang mengabaikan solat, melewatkan solat serta tidak menyempurnakan tuntutan solat. Berbeza pula bagi mereka yang menjaga solatnya. Sesiapa yang menjaga solatnya maka baginya kejayaan dunia dan akhirat. Firman Allah SWT dalam surah al-Mu’minun ayat 1 dan 2: قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ‎﴿١﴾‏ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ ‎﴿٢﴾‏ Maksudnya: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, (1) Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; (2). Hukum Meninggalkan Solat Prof Wahbah al-Zuhaili ada menyatakan dalam kitab beliau al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu bahawa umat Islam telah sepakat bahawa mengingkari kewajipan solat hukumnya adalah kafir lagi murtad. Manakala mereka yang malas mendirikan solat serta meremehkannya adalah dikira sebagai fasiq dan pelaku maksiat. Kesimpulannya, solat merupakan tiang agama dan juga salah satu daripada rukun Islam. Telah diwajibkan kepada seluruh umat Islam untuk menunaikannya dan menjaganya dengan menjauhi sifat malas dan sambil lewa. Mereka yang mengingkari kewajipan solat dihukumkan sebagai kafir. Manakala mereka yang malas menunaikan solat dihukumkan sebagai fasiq dan pelaku maksiat. Rasulullah SAW bersabda bahawasanya Allah SWT telah berfirman : SOLAT TIANG AGAMA Daripada Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :… Baca Lagi April 9, 2024 PUASA HANYA MENAHAN LAPAR DAN DAHAGA Daripada Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :… Baca Lagi March 26, 2024 SISI GELAP MEDIA SOSIAL Dalam era digital hari ini, media sosial telah menjadi sebahagian… Baca Lagi March 12, 2024 ISLAM DAN VALENTINE Saban tahun menjelang tanggal 14hb Februari merupakan hari yang dinanti-nantikan… Baca Lagi February 22, 2024 FAHAMI ANTARA BATAS AGAMA DAN BUDAYA Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai keistimewaan tersendiri dengan rakyatnya… Baca Lagi February 7, 2024
Baca Lagi
socmed renew-01
ISLAM DAN VALENTINE
Baca Lagi
MAIS | Majlis Agama Islam Selangor