Artikel Dakwah

KEBAIKAN PEMBERIAN HARTA MELALUI HIBAH
Pelaksanaan hibah kini sesuai untuk diamalkan seiring dengan peredaran masa. Seorang ayah berkata kepada anaknya: “Ayah berikan kepada kamu tanah ini, kamu ambillah. Kamu bina rumah di atasnya.” Jawab anak, “Saya terima ayah, saya sayang ayah”. Begitulah contohnya apabila seorang ayah yang sayangkan anak memberikan harta yang telah diusahakan selama ini untuk dimiliki oleh anaknya. Kaedah ini adalah hibah yang mana sebahagian daripada masyarakat tidak mengetahui kedudukan dan kebaikannya sebagai alternatif kepada pengagihan harta pusaka. Pelaksanaan hibah kini sesuai untuk diamalkan seiring dengan peredaran masa serta perubahan corak hidup dan tabiat masyarakat. Masalah pengabaian pembahagian harta pusaka juga tidak akan timbul memandangkan pemberian telah dibuat semasa hayat pemberi hibah. 1) Hibah adalah Pembahagian Harta Yang Dianjurkan Islam Hibah merupakan satu bentuk pengurusan harta yang dianjurkan Islam. Ia sebagai pelengkap kepada sistem pengagihan harta dalam Islam. Namun, sistem faraid sebenarnya adalah satu bentuk pengagihan harta kepada waris apabila seseorang meninggal dunia secara mengejut atau meninggal dunia dalam usia yang muda sebelum sempat memikirkan tentang persediaan pengagihan harta. Justeru itu, hibah merupakan satu bentuk perancangan awal pewarisan harta untuk tujuan kebajikan dan boleh memupuk kasih sayang serta mencegah permusuhan. Minda masyarakat yang selama ini hanya menggunakan mekanisme pembahagian harta pusaka secara konvensional perlu diubah kepada konsep yang menggunakan pendekatan ‘pemberian semasa hidup’ seperti hibah. Pelaksanaan hibah adalah sunat dan digalakkan di dalam Islam. Ini adalah berdasarkan firman Allah s.w.t dalam Surah Ali Imran 3:92 yang bermaksud: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi.” 2) Hibah Adalah Pemberian Semasa Hidup Yang Boleh Ditujukan Kepada Sesiapa Sahaja Yang Dikehendaki Dalam Islam, tidak wujud halangan untuk membolehkan hibah dibuat kepada waris sendiri walaupun pemberian sebegini ditegah melalui pemberian dengan jalan wasiat. Pemberian hibah boleh dibuat daripada seorang bapa kepada anak-anaknya atau daripada suami kepada isterinya. Malahan, pelaksanaan hibah boleh digunakan kepada pasangan yang mempunyai anak angkat kerana anak angkat tidak dikategorikan sebagai waris. Manakala, bagi orang yang baru memeluk Islam, mereka mungkin masih mahu mempunyai hubungan yang rapat dengan keluarga mereka walaupun keluarga tersebut bukannya beragama Islam. Maka adalah dibolehkan untuk memberikan harta kepada keluarga terutamanya ibu bapa yang telah banyak berjasa sebagai menghargai pengorbanan melahirkan dan membesarkan mereka walaupun berlainan agama. Pemberian secara hibah ini boleh memperlihatkan keindahan Islam sebagai agama yang amat menitikberatkan soal penghormatan kepada ibu bapa dan keluarga serta menggalakkan kasih sayang sesama manusia. 3) Hibah Tiada Had Kadar Bahagian atau Jumlah Pemberian Hibah mempunyai kelainan berbanding wasiat dan faraid kerana tiada had jumlah yang perlu dipatuhi. Berbeza dengan harta yang diwasiatkan yang tidak boleh melebihi sepertiga (1/3) daripada harta pusaka bersih dan faraid pula mengikut kadar-kadar tertentu yang telah dinyatakan dalam al-Quran. Namun, dalam hal hibah kepada anak-anak, ibu bapa disunatkan untuk berlaku adil dengan menyamaratakan pemberian. Ia sebagaimana hadis daripada Nu’man bin Basyir r.a bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bapa datang berjumpa Rasulullah s.a.w. lalu berkata, “Sesungguhnya saya telah menghadiahkan anak lelaki saya ini seorang hamba.” Lalu Rasulullah s.a.w. bertanya (kepada bapa saya), “Adakah setiap anak kamu telah diberikan (pemberian) seperti ini?” Bapa saya menjawab, “Tidak.” Rasulullah s.a.w. lalu berkata, “Kembalikanlah ia.” (Riwayat Bukhari) 4) Hibah Sebagai Alternatif Penyelesaian Masalah Pengagihan Secara Faraid Kefahaman masyarakat terutamanya waris kini ke atas pengurusan pentadbiran harta pusaka memungkinkan mereka lambat atau boleh melengah-lengahkan membuat permohonan pembahagian harta pusaka seseorang si mati. Rentetan daripada ini, ia boleh menimbulkan pelbagai masalah yang sukar diatasi. Justeru itu, sebagai usaha bagi mengatasi masalah yang timbul, kaedah pelaksanaan hibah bukan sahaja dapat menjamin penurunan hak milik harta kepada waris mengikut kehendak pemberi hibah, malah akan mengurangkan jumlah kes harta pusaka yang tertunggak di seluruh negara. Ini adalah kerana pengagihan harta melalui kaedah hibah tidak perlu melalui proses pentadbiran yang rumit sepertimana yang perlu dilalui dalam pembahagian secara faraid yang kadangkala boleh menimbulkan ketidakadilan. Ini sekali gus dapat mengelakkan perebutan harta dan pertelingkahan ahli waris selepas kematian pemilik. 5) Pembahagian Harta Secara Lebih Bermanfaat Pemberian harta secara hibah adalah suatu cara yang berkesan untuk pembahagian yang lebih berfaedah dan bermanfaat. Pembahagian harta pusaka dengan cara meletakkan nama semua waris pada setiap bidang tanah yang diwarisi sehingga tidak mendatangkan apa-apa manfaat dari sudut ekonomi serta menyukarkan transaksi seterusnya, boleh merugikan waris. Sebenarnya, pembahagian harta pusaka selain faraid dibenarkan mengikut persepakatan atau muafakat, iaitu pembahagian dibuat tanpa mengikut hukum faraid dengan syarat wujud persetujuan semua ahli waris selepas berlakunya kematian. Ia sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 15(5) dan Jadual Pertama Akta (Pembahagian) Harta Pusaka Kecil 1955. Amalan muafakat tidak menyalahi hukum Islam kerana Islam sendiri menganjurkan supaya mempraktikkan amalan berunding iaitu melalui kaedah sulh. Walau bagaimanapun, cara pembahagian melalui kaedah persepakatan ini jarang dipatuhi kerana ketiadaan persetujuan daripada waris-waris. Masyarakat terutamanya di kawasan luar bandar masih gemar kepada bentuk perintah pembahagian mengikut bahagian faraid yang meletakkan nama-nama setiap individu ke atas semua hak milik si mati. Ini bermakna sekiranya si mati meninggalkan 5 hak milik dan 10 orang waris, maka setiap hak milik akan mengandungi nama kesemua daripada waris-waris tersebut. Kewujudan bentuk pembahagian sebegini boleh menyebabkan nilai komersial sesebuah tanah menjadi terjejas dan tidak bermanfaat. Ini adalah kerana melalui hak milik yang dikongsi ramai individu dengan bahagian yang sangat kecil, urus niaga tanah akan menjadi lebih rumit kerana setiap urus niaga yang hendak dilaksanakan memerlukan persetujuan daripada kesemua pemilik. Justeru pemberian harta melalui hibah boleh dipertimbangkan bagi mengatasi masalah ini. SYAWAL SUATU ANUGERAH DARI ALLAH Sumber Foto:Kementerian Perlancongan Seni dan Budaya Malaysia Satu Syawal adalah… Baca Lagi April 11, 2023 AKU TERIMA NIKAHNYA Foto: @yumi_photog “Aku terima nikahnya” adalah lafaz kemuncak yang dinanti… Baca Lagi April 10, 2023 ISLAMOPHOBIA – KESAN TERHADAP MASYARAKAT ISLAM Pendahuluan Rakyat Malaysia sering dikejutkan dengan penghinaan atau sindiran agama… Baca Lagi March 30, 2023 KEBEBASAN BERFIKIR DI MANA HADNYA? Keupayaan berfikir merupakan satu fungsi akal yang dikurniakan oleh Allah… Baca Lagi March 16, 2023 PENGUATKUASAAN PERINTAH MAHKAMAH : SOLUSI BAPA CULAS NAFKAH ANAK Setiap perhubungan dalam institusi kekeluargaan akan melibatkan tanggungjawab dan hak…. Baca Lagi March 1, 2023
Baca Lagi
brown-white-mother-baby-goats-inside-barn-1024x683
IBADAH KORBAN
Baca Lagi
MAIS | Majlis Agama Islam Selangor