Hari ini, kita menyaksikan ledakan teknologi maklumat dan komunikasi semakin pesat berkembang dan berevolusi dalam pelbagai bentuk. Sesiapa yang lalai atau tidak cakna terhadap perubahan ini, pasti akan tertinggal jauh ke belakang dalam urusan dunianya. Sudah tentu kita sangat bersyukur kerana perkembangan teknologi yang wujud pada hari ini adalah suatu anugerah Allah SWT yang hakikatnya membuka banyak ruang dan peluang khususnya dalam melaksanakan kerja-kerja dakwah, merancakkan usaha penyebaran ilmu serta mempermudah pelaksanaan ibadah harian kita. Sumber imej: https://ikram.org.my/ Justeru, dalam era digital yang serba canggih ini, amat penting untuk kita manfaatkan ia sebagai medium penyebaran mesej Islam. Jangan sampai kecanggihan teknologi ini menjadi perangkap yang menyesatkan, menjerumuskan kita ke lembah kejahilan yang dihiasi dengan fitnah, maklumat-maklumat palsu, fahaman ekstrem yang memecahbelahkan, serta ajaran sesat yang menyucikan individu tertentu malah berselindung di sebalik retorik agama. Jangan kita menjadi golongan yang hanya menyebarkan sesuatu tanpa meneliti isi kandungannya, gopoh menilai atau menghukum sesuatu tanpa pertimbangan mengikut disiplin ilmu atau mempercayai sesuatu maklumat tanpa diselidik terlebih dahulu. Kita mesti jujur dalam mencari kebenaran, bukan semata-mata mengiyakan apa yang selari dengan kehendak dan kecenderungan peribadi kita. Maka sebagai umat Islam, menjadi kewajipan kita untuk merujuk sumber-sumber yang sahih dan mengikuti panduan para ulama yang benar-benar diperakui ilmunya, agar kita tidak menjadi penyambung kepada rantai kebatilan yang akhirnya mengelirukan umat dan mencemarkan kemuliaan agama. Dalam surah al-Isra’, ayat 36 juga Allah SWT mengingatkan kita tentang tanggungjawab untuk memilih dan mengikuti maklumat yang diperakui kesahihannya, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mengikuti apa-apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan serta hati semuanya itu akan dipertanggungjawabkan.” Tidak dinafikan, hari ini ramai asatizah yang berkongsi ilmu agama dipelbagai platform media sosial seperti Blog, Facebook, YouTube, Tik Tok dan seumpamanya. Fenomena ini ada sisi manfaatnya tersendiri, terutamanya dalam menyebarkan kesedaran tentang cara hidup beragama dalam kalangan masyarakat. Sumber imej: editing Namun, dalam keghairahan kita mengambil ilmu secara digital ini, mahu tidak mahu, umat Islam perlu lebih kritis dalam membuat penilaian antara yang benar dan yang salah. Ini kerana bukan semua yang petah bercakap di media sosial itu benar-benar ahli dalam bidang agama. Ada yang petah berhujah, tetapi sebenarnya membina naratif yang mengelirukan lagi penuh dengan falasi (kekeliruan atau kesilapan dalam berfikir atau berhujah). Ada pula yang berselindung di sebalik istilah agama, namun membawa fahaman yang songsang dan menyimpang. Oleh itu, amat penting untuk kita menilai bukan sekadar pada gaya penyampaian, tetapi pada asas keilmuan dan kesahihan rujukannya. Kita perlu sedar bahawa ilmu agama bukan bahan sembang santai yang tidak ada disiplin dan adab, bukan juga untuk dipetik sebahagian dan ditinggalkan sebahagian yang lain, ia adalah amanah dan tanggungjawab yang mesti difahami, dihayati dan diamalkan serta dipandu oleh mereka yang thiqah (dipercayai) dan muktabar yakni mereka yang mempunyai integriti dan akhlak yang mulia serta diiktiraf keilmuannya dan mempunyai sanad keilmuan yang jelas. Muhammad bin Sirin Rahimahullah pernah berkata: “Sesungguhnya ilmu agama (yang kamu pelajari) adalah agamamu (yang akan membimbingmu meraih ketakwaan kepada Allah SWT), maka telitilah daripada siapa kamu mengambil (ilmu) agamamu”. Sumber imej: https://www.kosmo.com.my/ Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, kita sebenarnya tidak lagi mempunyai alasan untuk kekal jahil dan terumbang-ambing dalam urusan agama. Dengan kemudahan media sosial dan pelbagai platform digital, ruang untuk bertanya dan mendapatkan pencerahan tentang kemusykilan agama sentiasa terbuka luas. Namun dalam keterbukaan ini, kita perlu tahu kepada siapa soalan itu patut diajukan dan siapa yang sepatutnya memberikan jawapan. Di negeri Selangor, umat Islam mempunyai saluran rasmi untuk mendapatkan rujukan hukum dan pandangan agama melalui badan berautoriti seperti Jabatan Mufti Negeri Selangor. Lebih penting lagi, para asatizah yang ingin menyampaikan ajaran agama kepada masyarakat wajib memiliki tauliah daripada Jawatankuasa Tauliah, sebagaimana yang ditetapkan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Ini bukan sekadar prosedur, tetapi sebenarnya ia adalah satu benteng penyaringan untuk memastikan hanya mereka yang berkelayakan diizinkan untuk menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat. Sumber imej: jais.gov.my Ingin diingatkan bahawa, walaupun dunia digital telah membuka pelbagai ruang dan kemudahan untuk mempelajari ilmu dan melaksanakan amal ibadah, namun ia tidak seharusnya menjadikan kita semakin lalai atau mengambil ringan dalam soal beragama. Ya, kemudahan akses kepada aplikasi waktu solat sepatutnya menjadikan kita lebih cermat dalam menjaga solat pada waktunya sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 103: “Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman yang telah ditentukan waktunya.” Kemudahan era digital seharusnya dimanfaatkan sebaiknya, bukannya kita terus leka dengan alasan sibuk atau menangguh solat semata-mata kerana tuntutan kerja. Begitu juga dengan al-Quran, kini kita tidak lagi perlu membawa mushaf besar ke sana sini, cukup dengan satu aplikasi dalam telefon, kita boleh membaca kalam Allah SWT di mana-mana sahaja disamping menjaga adab-adabnya. Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) adalah badan utama yang bertanggungjawab ke atas pentadbiran agama Islam di Selangor, termasuk mengawal dan menyelia institusi-institusi wakaf dan zakat. Dalam urusan zakat, Lembaga Zakat Selangor telah menyediakan pelbagai saluran dalam talian yang cepat, mudah dan selamat, meliputi pengiraan zakat, pembayaran zakat, fidyah, bahkan sedekah dan infak. Semua ini merupakan ikhtiar berterusan bagi memudahkan umat Islam menunaikan amanah agama. Begitu juga dengan wakaf, Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) adalah agensi yang menguruskan dan mentadbir semua aspek yang berkaitan dengan hartanah dan produk wakaf di negeri Selangor dan telahpun menyediakan pelbagai saluran dalam talian bagi memudahkan umat Islam untuk berwakaf. MAIS juga menawarkan pelbagai perkhidmatan untuk memudahkan masyarakat iaitu pengurusan harta termasuk hibah dan wasiat, harta pusaka, wang tidak patuh syariah, harta luqatah, fidyah dan sebagainya. MAIS memudahkan pelanggan dengan menyediakan perkhidmatan atas talian bagi faraid iaitu https://efaraid.mais.gov.my/hibah/ dan bagi sistem wasiat dan hibah MAIS di https://siswa.mais.gov.my/login. Sumber imej: freepik dan editing Namun sayangnya, masih ada yang tahu tetapi tidak mahu melaksanakan. Mampu, tetapi terus bertangguh. Faham tuntutan, tetapi enggan bertindak. Kemudahan yang tersedia akhirnya menjadi sia-sia apabila hati dibelenggu kelalaian dan sikap sambil lewa. Maka marilah kita manfaatkan segala kemudahan ini untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, bukan sekadar melihatnya sebagai teknologi, tetapi lihatlah sebagai peluang untuk menambah bekalan akhirat sebelum ajal menutup segala ruang taubat dan amal kita. Demikianlah indahnya Islam, satu cara hidup yang sempurna, menyeluruh, dan sentiasa relevan sepanjang zaman. Islam tidak sekali-kali menolak kemajuan. Bahkan, agama ini sentiasa mendorong umatnya untuk berkarya, berfikir, dan mencipta demi kemaslahatan ummah. Lihatlah bagaimana para ilmuan Islam terdahulu telah mendahului zamannya dalam mencipta alatan, menulis karya-karya bermutu, merintis teori-teori daripada nas al-Quran dan hadis di mana semua itu hakikatnya lahir daripada semangat agama yang menggalakkan kemajuan demi kemaslahatan. Tambahan pula, inovasi dan pembaharuan bukanlah perkara yang asing dalam Islam, selama mana ia tidak menyanggahi prinsip wahyu dan nilai-nilai syarak. Segala bentuk kecanggihan sama ada dalam bentuk teknologi, sistem atau aplikasi, jika digunakan dengan adab dan ilmu, maka ia akan menjadi wasilah atau alat yang sangat membantu dalam memperkukuh akidah, menyuburkan kefahaman agama dan mempermudahkan urusan ibadah harian. Kesimpulannya, ada beberapa pengajaran yang boleh dijadikan pedoman dalam kehidupan kita iaitu: Sumber imej: freepik dan editing 1. Umat Islam hendaklah bijak memanfaatkan kecanggihan teknologi sebagai senjata dakwah dan wadah ilmu dalam menyampaikan risalah Islam, menyuburkan kefahaman agama, serta mempermudah urusan ibadah harian. 2. Umat Islam hendaklah mengutamakan integriti, menyaring setiap maklumat sebelum menyebarkannya, serta memelihara adab dan akhlak dalam setiap jejak maya yang ditinggalkan. 3. Umat Islam hendaklah sentiasa berwaspada dalam menggunakan teknologi agar tidak terjerumus dengan penyebaran fitnah, ketagihan hiburan yang melampau, serta penularan ideologi yang songsang dan menyesatkan. Semoga Allah SWT memelihara kita dan keluarga kita dari fitnah akhir zaman dan berpegang teguh kepada prinsip-prinsip yang terkandung dalam Ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. (Disunting dari Khutbah JAIS bertarikh 1 Ogos 2025)