MAIS, KWSP JALIN KERJASAMA STRATEGIK PERKUKUH PENGURUSAN HARTA DAN KEWANGAN MASYARAKAT ISLAM
MAIS, KWSP JALIN KERJASAMA STRATEGIK PERKUKUH PENGURUSAN HARTA DAN KEWANGAN MASYARAKAT ISLAM
SHAH ALAM, 12 November – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menjalin kerjasama strategik apabila menandatangani Memorandum Persefahaman Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam memperkukuhkan pengurusan harta dan kewangan masyarakat Islam khususnya di Selangor di sini.
Â
Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman MAIS dan KWSP disempurnakan oleh Tuan Haji Mohd Sabirin Mohd Sarbini, Setiausaha MAIS dan Tuan Sazaliza Zainuddin, Ketua Pegawai Operasi KWSP sambil disaksikan oleh YAD Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin Saidin, Pengerusi MAIS dan Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali, Pengerusi KWSP.
Â
Memorandum Persefahaman ini menandakan jalinan kerjasama strategik antara MAIS dan KWSP dalam memperkukuh kefahaman serta memperluas pelaksanaan pengurusan kewangan dan harta berlandaskan syariah, bagi manfaat ahli KWSP dan masyarakat Islam.
Â
Objektif utama Memorandum Persefahaman ini adalah untuk memberi kesedaran dan kefahaman kepada ahli KWSP dan masyarakat Islam mengenai kepentingan pengurusan kewangan berlandaskan Syariah bagi membantu kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di Selangor.
Â
Melalui Memorandum Persefahaman ini, MAIS dan KWSP melaksanakan pelbagai inisiatif bersama antaranya ialah MAIS menawarkan Kursus Pengurusan Harta Pusaka kepada Anggota KWSP khususnya anggota barisan hadapan di cawangan KWSP; mempromosikan akaun Simpanan Syariah KWSP; mempromosikan produk/perkhidmatan Baitulmal MAIS dan menganjurkan taklimat atau bengkel berkaitan penamaan bagi ahli KWSP yang beragama Islam.
Â
Sepanjang tahun 2024, MAIS merekodkan kutipan Wang Tidak Patuh Syariah sebanyak RM2.7 juta yang menunjukkan masih ramai individu yang terlibat dengan sumber kewangan yang tidak berlandaskan Syariah.
Â
Sebagai langkah meningkatkan kesedaran masyarakat, MAIS menetapkan sasaran kutipan Wang Tidak Patuh Syariah sebanyak RM3 juta bagi tahun ini, selain menggalakkan masyarakat Islam agar menyalurkan hasil Wang Tidak Patuh Syariah kepada MAIS untuk dimanfaatkan bagi kepentingan ummah.
Â
Wang Tidak Patuh Syariah adalah wang atau harta yang diperoleh daripada sumber haram seperti transaksi riba, dividen tidak patuh syariah, hasil jualan barang curi atau rompakan, duit rasuah dan loteri serta perlindungan insurans konvensional.
Â
MAIS juga telah melantik Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Pusat Islam Universiti Kebangsaan Malaysia yang merupakan ejen kutipan Wang Tidak Patuh Syariah dan masyarakat Islam boleh membuat bayaran menerusi atas talian laman web MAIS di https://fpxv2.mais.gov.my atau di semua premis kaunter LZS atau melalui e-Zakat Pay melalui laman web LZS.
Â
MAIS menyeru kepada masyarakat Islam yang masih mencarum dalam akaun Simpanan Konvensional di KWSP agar menukar kepada Akaun Simpanan Shariah bagi memastikan dividen yang diterima adalah patuh Syariah dan halal digunakan.
Â
Sejak diperkenalkan pada tahun 2017, Akaun Simpanan Shariah KWSP telah mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan merupakan dana patuh Syariah terbesar di dunia yang diuruskan oleh satu institusi tunggal. Ini mencerminkan keyakinan tinggi masyarakat terhadap keupayaan KWSP dalam menguruskan simpanan secara beretika dan selaras dengan prinsip Syariah.
Â
MAIS berharap agar kerjasama strategik bersama KWSP ini dapat memperluaskan kefahaman masyarakat Islam dalam memperkasakan ekonomi umat Islam dan kesedaran memiliki harta yang patuh Syariah.












