MAIS SUMBANG SAGUHATI PENGISLAMAN BERJUMLAH RM94,000.00 KEPADA PUSAT PENGURUSAN PENGISLAMAN,HARGAI PERANAN PETUGAS PENDAFTARAN PENGISLAMAN
MAIS SUMBANG SAGUHATI PENGISLAMAN BERJUMLAH RM94,000.00 KEPADA PUSAT PENGURUSAN PENGISLAMAN,HARGAI PERANAN PETUGAS PENDAFTARAN PENGISLAMAN
SHAH ALAM, 9 Mei – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyerahkan sumbangan saguhati pengislaman berjumlah keseluruhan sebanyak RM94,000.00 kepada Pusat Pengurusan Pengislaman (PPP) MAIS bagi menghargai peranan dan kebajikan pusat tersebut dalam membantu MAIS menguruskan proses pendaftaran pengislaman mengikut prosedur yang ditetapkan.
Setiap penerima sumbangan menerima jumlah antara RM100.00 ke RM24,400.00 mengikut jumlah pendaftaran pengislaman yang dilaksanakan sepanjang tahun.
Sumbangan yang menggunakan peruntukan dana zakat ini sebagai galakan dan motivasi PPP MAIS yang telah berjaya menguruskan proses pendaftaran pengislaman dengan sempurna sepanjang tahun 2025.
Selain itu, sumbangan ini juga sebagai penghargaan kepada PPP MAIS dalam membantu gerak kerja pengurusan pengislaman di negeri Selangor sejajar dengan peranan PPP MAIS iaitu memudahkan dan melancarkan lagi proses pengurusan pengislaman dan membantu MAIS dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam proses penjagaan, perlindungan serta pengajaran kepada asnaf muallaf di negeri Selangor.
Penyerahan simbolik sumbangan disempurnakan oleh YAD Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin Saidin, Pengerusi MAIS diiringi oleh Tuan Haji Mohd Sabirin Mohd Sarbini, Setiausaha MAIS dalam Majlis Apresiasi dan Jalinan Ukhwah Pusat Pengurusan Pengislaman 2026 yang diadakan di Wisma PKPS di sini hari ini.
PPP MAIS yang paling tinggi menerima jumlah pengislaman sepanjang tahun 2025 adalah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Selangor. Turut menerima sumbangan ialah Hidayah Centre Foundation (HCF), Mulitiracial Reverted Muslim (MRM), Malaysia Chinese Muslim Association (MACMA), Islamic Outreach Abim (IOA), Masjid Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah, Masjid Raja Fi Sabilillah dan Masjid Kota Damansara.
Sehingga kini, sebanyak 41 Pusat Pengurusan Pengislaman (PPP) disediakan oleh MAIS bagi memudahkan proses pendaftaran pengislaman terutama di Selangor. PPP MAIS bertanggungjawab membantu dan memberi konsultasi kepada mana-mana individu yang berhasrat untuk membuat pendaftaran pengislaman dengan suci hati dan kerelaan sendiri tanpa paksaan daripada mana-mana individu atau pihak lain.
Daripada jumlah keseluruhan 1,675 pengislaman di negeri Selangor, sebanyak 940 pengurusan pengislaman dilaksanakan di PPP.
Sebanyak 772 orang iaitu 82.1% telah diislamkan di Pusat Pengurusan Pengislaman (PPP) yang terdiri daripada masjid dan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK), manakala baki 168 orang iaitu 17.9% telah diislamkan di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID), Ibu Pejabat BPMP, MAIS dan pejabat Ketua Pendaftar Muallaf, MAIS.
Pada majlis yang sama, turut diadakan penyampaian Sijil Penghargaan PPP MAIS kepada para penerima yang telah memberikan komitmen dan sumbangan cemerlang dalam menjayakan program serta memperkukuhkan usaha pengurusan pengislaman di negeri Selangor.














