PENGERUSI MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR RASMI PROGRAM DEKLARASI FUNDAMENTAL AHLI SUNNAH WAL JAMAAH
PENGERUSI MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR RASMI PROGRAM DEKLARASI FUNDAMENTAL AHLI SUNNAH WAL JAMAAH
SHAH ALAM, 31 Oktober 2026 – Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), YAD Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin bin Saidin telah merasmikan Program Deklarasi Fundamental Ahli Sunnah Wal Jamaah anjuran Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan (BPP), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bertempat di Auditorium Dahlia, Dewan Syarahan dan Muzakarrah, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam di sini hari ini.
Majlis tersebut telah dihadiri hampir seramai 500 orang peserta yang terdiri daripada guru-guru JAIS, pegawai agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri, Nazir dan pegawai masjid-masjid pengurusan di Negeri Selangor, Pendaftar Nikah, Ahli PIBK Kluster Pemantapan Akidah, ahli akademik dan mahasiswa.
Dalam ucapan perasmiannya, YAD Senator Dato’ Setia Salehuddin menyatakan bahawa MAIS melalui JAIS menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bagi menerapkan pendekatan pendidikan, penerangan dan latihan berfokus bagi memastikan kefahaman akidah umat Islam dijajarkan dengan betul dan kukuh.
Tambah beliau, langkah ini penting bagi membina asas ketahanan pemikiran dan jati diri umat Islam dalam mendepani serta menghadapi pelbagai cabaran masa hadapan.
Majlis ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Haji Mohd Shahzihan Ahmad, Sahibus Saadah Pengarah JAIS dan YBrs. Tuan Mohd Sujak bin Dasuki, Ketua Penolong Pengarah BPP JAIS.
Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah wang tunai dan sijil penghargaan kepada 20 pemenang Pertandingan Video Kreatif Teras Agama bertemakan “Mengenal Allah atau Sekadar Tahu” yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori umum dan pelajar.















