PERTEMUAN PENGERUSI MAIS BERSAMA PIBK PERKUKUH PERANAN BADAN ISLAM DI SELANGOR

PERTEMUAN PENGERUSI MAIS BERSAMA PIBK PERKUKUH PERANAN BADAN ISLAM DI SELANGOR

583924982 1224470126264851 3244057876744574472 n
SHAH ALAM, 17 November-Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) meneruskan komitmennya memperkasa jaringan pertubuhan Islam melalui penganjuran Program Pertemuan Pengerusi MAIS bersama Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Al-Mukarramah, Bangunan Sultan Idris Shah pada 14 November lepas.
 
Program yang menghimpunkan 33 buah PIBK melibatkan pelbagai bidang tumpuan termasuk pendidikan, kebajikan, pembangunan komuniti dan dakwah. Pertemuan ini bertujuan menyelaras aspirasi, mengharmonikan pelaksanaan program serta memastikan gerak kerja PIBK sejajar dengan visi dan misi MAIS.
 
Dalam sesi amanatnya, YAD Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin bin Saidin, Pengerusi MAIS menegaskan bahawa PIBK merupakan rakan strategik penting dalam memperkukuh ekosistem pembangunan ummah di Selangor. Beliau turut menekankan kepentingan tadbir urus yang telus, pengukuran impak program serta keseragaman hala tuju antara MAIS dan organisasi berdaftar.
 
Program turut disertai YBhg. Dr. Hjh. Norraini binti Nordin, Pengarah Pembangunan Sosial MAIS, yang memaklumkan bahawa pihaknya akan terus memperkukuh mekanisme sokongan, pemantauan dan pembangunan kapasiti agar PIBK dapat melaksanakan program dengan lebih berkesan dan berimpak tinggi.
 
Program diteruskan dengan sesi perbincangan dua hala yang merangkumi cadangan penambahbaikan, perkongsian pandangan serta sesi soal jawab. Sesi ini memberi ruang kepada PIBK untuk mengemukakan isu-isu pelaksanaan di lapangan, sekali gus membantu MAIS menambah baik mekanisme pemantauan, gerak kerja dan sokongan terhadap organisasi terlibat.
 
Pertemuan ini mencerminkan komitmen MAIS terhadap keterlibatan inklusif dan kolaboratif, demi memastikan PIBK terus menjadi penggerak utama pembangunan sosial dan pembinaan masyarakat Islam yang lebih sejahtera di Selangor.
 
MAIS | Majlis Agama Islam Selangor
Search