TURUN PADANG PENGERUSI MAIS KE DAERAH SEPANG-Ziarah dan Komunikasi Bersama Nazir Masjid

TURUN PADANG PENGERUSI MAIS KE DAERAH SEPANG-Ziarah dan Komunikasi Bersama Nazir Masjid

687042004 1359495649428964 8617386886662102588 n
SEPANG, 5 April 2026 – Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), YAD Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin Saidin meneruskan Program Turun Padang ke daerah Sepang bagi mengadakan sesi dialog dan pertemuan bersama 69 Nazir Masjid serta Pengerusi Surau Solat Jumaat.
 
Majlis dialog yang berlangsung di Masjid Jamek Sultan Hisamuddin, Bandar Baru Salak Tinggi itu menjadi platform untuk membincangkan cabaran di lapangan, khususnya dalam memperkasakan pengurusan masjid secara lebih cemerlang dan berkesan.
 
Selesai sesi dialog, lawatan diteruskan ke Masjid Al-Makmur, Kampung Giching sebelum meninjau beberapa buah sekolah agama dan masjid di daerah ini bagi melihat sendiri keperluan prasarana serta menyantuni komuniti setempat.
 
Antara lokasi yang dilawati ialah Masjid Kampung Salak Tinggi, Sekolah Rendah Agama Sungai Pelek, Masjid Sungai Pelek dan Sekolah Rendah Agama Bagan Lalang yang diketuai pula oleh Tan Sri Dato’ Setia Mohd Zawawi bin Salleh, Anggota MAIS.
 
Sepanjang lawatan, turut dilihat kemudahan sedia ada, mendengar pandangan pihak pengurusan institusi serta mengenal pasti keperluan penambahbaikan prasarana bagi memastikan sekolah agama dan masjid terus berfungsi dengan lebih selesa, kondusif dan berkesan kepada masyarakat setempat.
 
Program turun padang ini mencerminkan komitmen berterusan MAIS dalam memperkukuh ekosistem pendidikan agama dan pengurusan masjid di Selangor selaras dengan usaha menyantuni ummah.
 
Turut hadir ialah Puan Hajah Norlaili binti Mohamad, Timbalan Setiausaha Operasi MAIS, Tuan Mohamad Nazri bin Sobirin, Pegawai Tadbir Agama Daerah Sepang dan Ustaz Haji Hashim bin Muhamad, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid (JAIS).
 
Hadir sama wakil pengurusan Pejabat Agama Islam Daerah Sepang, JAIS, Lembaga Zakat Selangor (LZS), Perbadanan Wakaf Selangor, Bakti Suci Sdn. Bhd. dan MAIS.
 
 
MAIS | Majlis Agama Islam Selangor
Search