PROGRAM AGIHAN FIDYAH MAIS AGIH KOTAK MAKANAN ASASI KEPADA 150 PENERIMA ASNAF DI TANJUNG KARANG BERNILAI RM34,177.50

PROGRAM AGIHAN FIDYAH MAIS AGIH KOTAK MAKANAN ASASI KEPADA 150 PENERIMA ASNAF DI TANJUNG KARANG BERNILAI RM34,177.50

734783755 1406644564714072 6519733115355570652 n
TANJUNG KARANG, 25 Jun 2026 – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) meneruskan usaha menyantuni golongan yang memerlukan menerusi Program Agihan Fidyah MAIS yang telah diadakan di Dewan Melati, Kampung Sungai Tengi Kanan Darat.
 
Program tersebut merupakan anjuran bersama MAIS dan Jawatankuasa Pembangunan Komuniti dan Kemasyarakatan (JPKK) Kampung Sungai Tengi Kanan Darat sebagai usaha memperkukuh jaringan kerjasama dalam memastikan bantuan fidyah dapat disalurkan secara berkesan kepada golongan yang layak menerima.
 
Sebanyak 150 pakej Agihan Fidyah MAIS berupa kotak makanan asasi telah diagihkan kepada penerima yang terdiri daripada asnaf fakir miskin dan miskin sementara dengan jumlah keseluruhan nilai agihan sebanyak RM34,177.50.
 
Agihan merangkumi keperluan makanan asas seperti beras, gula, tepung, susu, kicap dan biskut ini diharap dapat membantu meringankan beban kos sara hidup penerima serta memenuhi keperluan asas keluarga mereka.
 
Majlis penyampaian agihan fidyah telah disempurnakan oleh Dr. Hajah Norraini Nordin, Pengarah Kanan Sektor Ekonomi dan Pembangunan Sosial MAIS.
Turut hadir ialah Pengerusi JPKK, Nazir Masjid Sungai Tengi Kanan Darat serta barisan Jawatankuasa Masjid yang terlibat.
 
Dalam ucapan perasmiannya, beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak JPKK Kampung Sungai Tengi Kanan Darat atas komitmen serta kerjasama erat yang diberikan dalam menjayakan pelaksanaan program agihan fidyah MAIS di kawasan tersebut. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam mengenal pasti penerima yang benar-benar layak menerima bantuan.
 
Beliau juga menasihatkan para pelaksana program agar sentiasa mematuhi garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh MAIS dalam urusan pengagihan fidyah bagi memastikan bantuan disampaikan secara telus, teratur dan menepati kehendak syarak.
 
Selain itu, beliau menyatakan kesediaan MAIS untuk terus memperluaskan kerjasama strategik dengan komuniti setempat, termasuk JPKK dan institusi masjid, dalam melaksanakan pelbagai program pembangunan sosial dan kebajikan pada masa akan datang demi kesejahteraan masyarakat.
 
MAIS | Majlis Agama Islam Selangor
Search