MAIS, AFFIN ISLAMIC BANK BERHAD JALIN KERJASAMA STRATEGIK PERKUKUH PENGURUSAN HARTA MASYARAKAT ISLAM

MAIS, AFFIN ISLAMIC BANK BERHAD JALIN KERJASAMA STRATEGIK PERKUKUH PENGURUSAN HARTA MASYARAKAT ISLAM

828468272 1488795396498988 8741861279824123415 n

SHAH ALAM, 30 September – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menjalin kerjasama strategik dengan Affin Islamic Bank Berhad (AFFIN ISLAMIC) melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman bagi memperkukuh pengurusan harta masyarakat Islam di seluruh negara.

Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman MAIS dan AFFIN ISLAMIC disempurnakan oleh Tuan Haji Mohd Sabirin Mohd Sarbini, Setiausaha MAIS dan Dato’ Paduka Syed Mashafuddin Syed Badarudin, Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad.

Majlis turut disaksikan oleh Puan Hajah Norlaili Mohamad, Timbalan Setiausaha Operasi MAIS dan Tuan Syed Muhammad Syed Mohamad Nasir, Ketua Divisyen Syariah, AFFIN ISLAMIC.

Memorandum Persefahaman ini bertujuan memperkukuh kefahaman serta memperluas pelaksanaan pengurusan harta berlandaskan syariah bagi manfaat kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di negara ini.

Melalui kerjasama tersebut, maklumat berkaitan wasiat, hibah, harta pusaka dan perkhidmatan berkaitan dapat disampaikan secara lebih meluas, mudah difahami serta mudah diakses oleh masyarakat. Ia turut merangkumi usaha meningkatkan perancangan harta yang berkesan melalui pendaftaran wasiat dan hibah secara digital dan pembayaran fidyah, kaffarah dan sumbangan infak.

MAIS sedang giat memperkasa perancangan dan pewarisan harta Islam dan terimaan-terimaan sumber am Baitulmal dengan menjalin kerjasama dengan pelbagai rakan strategik yang terdiri daripada institusi kewangan dan perbankan, pengelola jemaah haji dan umrah, syarikat-syarikat perancangan harta Islam dan institusi pendidikan.

MAIS berharap agar kerjasama erat bersama AFFIN ISLAMIC dapat memperluas kefahaman masyarakat Islam mengenai pengurusan dan perancangan harta secara patuh syariah, sekaligus menyumbang kepada usaha memperkasakan ekonomi masyarakat Islam.

Dalam majlis sama, MAIS turut meraikan rakan media dan rakan strategik sebagai tanda penghargaan atas sokongan serta kerjasama yang diberikan dalam membuat liputan berkaitan kejayaan, peristiwa dan aktiviti MAIS sepanjang tahun 2025.

Antara media yang hadir ialah Radio Televisyen Malaysia (RTM), Media Selangor, TV Alhijrah, RTM JAKIM, Sinar Harian, Berita Harian, Utusan, Kosmo, Bernama dan Radio IKIM selain wakil media arus perdana serta media digital yang lain.

MAIS menghargai hubungan baik yang terjalin bersama rakan media dan rakan strategik serta berharap kerjasama tersebut dapat terus diperkukuh dalam menyebarluaskan maklumat berkaitan peranan MAIS, agensi serta anak syarikatnya kepada masyarakat.

#mais#MenjunjungAmanah#MAISsantuniAnda

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor
Search