MAIS TERIMA SUMBANGAN 250 KIT MESRA IBADAH, AGIH KEPADA JABATAN KESIHATAN NEGERI SELANGOR DAN HOSPITAL SHAH ALAM
MAIS TERIMA SUMBANGAN 250 KIT MESRA IBADAH, AGIH KEPADA JABATAN KESIHATAN NEGERI SELANGOR DAN HOSPITAL SHAH ALAM
SHAH ALAM, 14 OKTOBER – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menerima sumbangan sebanyak 250 Kit Mesra Ibadah daripada JIM Resources untuk diagihkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan Hospital Shah Alam bagi membantu pesakit Muslim melaksanakan ibadah bersuci ketika menjalani rawatan di hospital.
Penyerahan simbolik sumbangan disampaikan oleh Pengarah Urusan JIM Resources, Tuan Haji Jim Irshady bin Mohamad kepada Setiausaha MAIS, Tuan Haji Mohd Sabirin bin Mohd Sarbini dalam satu majlis yang berlangsung hari ini.
Daripada jumlah keseluruhan sumbangan tersebut, masing-masing sebanyak 125 Kit Mesra Ibadah diserahkan kepada wakil JKNS dan Hospital Shah Alam.
Kit Mesra Ibadah merupakan produk tayammum yang membantu pesakit Muslim melaksanakan ibadah bersuci mengikut kemampuan dan keadaan kesihatan mereka ketika menerima rawatan.
Dalam ucapannya, Setiausaha MAIS merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada JIM Resources dan berharap agar kerjasama seumpama ini dapat diteruskan bagi memberi manfaat kepada masyarakat Islam, khususnya pesakit yang memerlukan kemudahan untuk melaksanakan ibadah ketika berada di hospital.
Sementara itu, Pengarah Urusan JIM Resources berharap agar kerjasama dalam pelaksanaan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha (Dasar dan Pengurusan) MAIS, Tuan Haji Kamarulzaman Omar; Pengarah Kanan Ekonomi dan Pembangunan Sosial MAIS, Dr. Hajah Norraini Nordin; serta Pengarah Baitulmal MAIS, Ustaz Indera Shahril Mohd Shahid.














