PROGRAM AGIHAN FIDYAH MAIS – Agih fidyah RM22,785 kepada 100 penerima Persatuan Hidup Berdikari Untuk OKU Malaysia
PROGRAM AGIHAN FIDYAH MAIS – Agih fidyah RM22,785 kepada 100 penerima Persatuan Hidup Berdikari Untuk OKU Malaysia
KAJANG, 15 April 2026 – Seramai 100 orang penerima dalam kalangan asnaf daripada Persatuan Hidup Berdikari Untuk OKU Malaysia telah menerima manfaat menerusi Program Agihan Fidyah anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan kerjasama MyFundAction yang berlangsung di Surau Al-Umm di sini.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Haji Mohd Sabirin Mohd Sarbini, Setiausaha MAIS. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pengurusan fidyah merupakan satu amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh integriti, ketelusan dan ihsan agar hak golongan asnaf sentiasa terbela.
Menurut beliau, agihan fidyah bukan sekadar penyampaian bantuan kewangan, bahkan merupakan manifestasi keprihatinan umat Islam terhadap saudara-saudara yang memerlukan. “Fidyah yang ditunaikan oleh pembayar adalah amanah.
MAIS komited memastikan setiap sen disalurkan secara sistematik, berimpak dan sampai kepada golongan yang benar-benar layak,” ujar beliau.
Pada program kali ini, jumlah keseluruhan agihan yang disalurkan adalah sebanyak RM22,785.00 yang memberi manfaat kepada 100 penerima yang terdiri daripada golongan fakir, miskin serta individu kurang upaya yang memerlukan bantuan segera bagi meringankan beban kos sara hidup.
Penerima yang terdiri daripada Orang Kelainan Upaya (OKU) sekitar kawasan itu menerima kotak makanan asas bernilai RM227.85 setiap seorang.
Selain penyampaian agihan di masjid, program turut disusuli dengan Lawatan Mahabbah Ziarah ke tiga buah rumah asnaf (OKU) yang berhampiran. Lawatan tersebut bertujuan meninjau keadaan kehidupan penerima serta menyampaikan sumbangan secara langsung kepada mereka yang uzur dan yang tidak dapat hadir ke majlis.
Inisiatif ziarah ini mencerminkan pendekatan turun padang MAIS dalam memastikan kebajikan asnaf sentiasa dipantau dan disantuni secara berterusan, selaras dengan aspirasi memperkukuh kesejahteraan ummah di Negeri Selangor.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Dr. Norraini Nordin, Pengarah Kanan Sektor Ekonomi dan Pembangunan Sosial dan MAIS, Ustaz Suhaimi Ismail, Pengarah Pembangunan Sosial, MAIS.
Program berakhir sekitar jam 12.30 tengah hari dalam suasana penuh tertib dan harmoni, dengan harapan agar agihan yang disampaikan dapat memberikan kelegaan serta sinar harapan kepada para penerima menjelang bulan-bulan mendatang.














