AL-QURAN: CAHAYA DI TENGAH KEGELAPAN ZAMAN
Dalam arus kehidupan moden yang semakin mencabar, manusia hari ini berhadapan dengan pelbagai bentuk kesibukan yang sering melalaikan. Tuntutan kerjaya, tekanan ekonomi, ledakan teknologi digital dan media sosial, serta hiburan berlebihan menjadikan masa seharian terasa sempit dan tidak mencukupi. Keadaan ini secara tidak langsung menyebabkan aspek kerohanian semakin terpinggir, seterusnya menyumbang kepada kekeliruan nilai, kecelaruan pemikiran dan kemerosotan akhlak dalam kehidupan seharian. Dalam situasi ini, manusia amat memerlukan suatu panduan yang mampu menyinari kehidupan mereka, serta membimbing pemikiran dan tingkah laku ke arah yang lebih lurus dan bermakna. Sumber imej: freepik.com Dalam kekeliruan dan kegelapan zaman ini, al-Quran berperanan sebagai cahaya petunjuk yang memimpin manusia ke jalan yang benar, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Ibrahim ayat 1: كِتَٰبٌ أَنزَلۡنَٰهُ إِلَيۡكَ لِتُخۡرِجَ ٱلنَّاسَ مِنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ بِإِذۡنِ رَبِّهِمۡ إِلَىٰ صِرَٰطِ ٱلۡعَزِيزِ ٱلۡحَمِيدِ “Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman – dengan izin Tuhan mereka – ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.”  Dalam mentafsirkan ayat ini, Imam al-Tabari di dalam tafsir beliau menyatakan bahawa al-Quran diturunkan oleh Allah SWT bukan sahaja untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan kesesatan dan kekufuran, bahkan berfungsi menerangi kabut pemikiran dan kejahilan, agar manusia mampu melihat jalan petunjuk dan menjalani kehidupan berlandaskan agama-Nya yang benar. Sumber imej: Dijana melalui ai Jika kita amati, ada yang bergelumang dalam perbuatan maksiat tetapi tidak pernah kembali kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taubat. Ada yang hanya berhenti apabila ditimpa musibah, sama ada kerana sakit, kehilangan harta, atau sekadar kerana sudah tiada lagi kesempatan untuk melakukannya. Hakikatnya, itu bukanlah taubat yang sebenar. Itu hanyalah berhenti kerana terpaksa, bukan kerana insaf dan takut kepada Allah SWT. Allah SWT telah mengingatkan dalam surah al-Mukminun ayat 63 yang bermaksud: “(Sekalipun demikian, orang yang ingkar tidak juga berfikir) bahkan hati mereka tenggelam dalam kejahilan dan lalai daripada memahami al-Quran ini dan mereka mempunyai perbuatan lain (buruk) yang dilakukan oleh mereka terus-menerus.” Setiap manusia dikurniakan anggota tubuh sebagai amanah daripada Allah SWT. Mata, telinga, lidah, tangan, kaki dan seluruh jasad ini adalah pinjaman, bukan hak milik mutlak kita. Di dunia ini, ia sepatutnya menjadi alat untuk kita beramal, namun di akhirat kelak, ia akan menjadi saksi terhadap setiap perbuatan kita. Mata, apabila tidak dijaga, akan mudah terpikat pada perkara yang diharamkan. Telinga, apabila dibiarkan, akan leka mendengar perkara sia-sia dan batil. Lidah yang tidak dikekang pula, akan menabur dusta, membuka aib, menyalakan fitnah dan mencetuskan perbalahan. Begitu juga perut yang tidak dijaga, akan diisi dengan makanan yang haram atau sumber yang diperoleh secara batil. Kemaluan, jika tidak dikawal, akan menjadi punca kepada zina dan segala bentuk kekejian. Tangan juga boleh menjadi alat dosa jika disalahgunakan. Dan kaki, apabila melangkah ke tempat maksiat maka setiap langkahnya adalah perjalanan menuju kemurkaan Allah SWT. Sumber imej: Dijana melalui ai Penghayatan Makna dalam Bacaan Al-Quran Di samping pembacaan al-Quran, penghayatan maknanya merupakan asas penting dalam membentuk kefahaman, keimanan, dan amalan seorang Muslim. Al-Quran tidak diturunkan sekadar untuk dibaca secara lisan atau dilagukan semata-mata, tetapi ia diturunkan untuk difahami, direnungi, dan diamalkan dalam kehidupan seharian. Hal ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam Surah Ṣād ayat 29: كِتَٰبٌ أَنزَلۡنَٰهُ إِلَيۡكَ مُبَٰرَكٞ لِّيَدَّبَّرُوٓاْ ءَايَٰتِهِۦ وَلِيَتَذَكَّرَ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَٰبِ “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”   Ayat ini menunjukkan bahawa tujuan penurunan al-Quran adalah agar manusia menghayati maknanya dan menjadikannya sebagai pedoman hidup. Melalui penghayatan makna, ia membantu manusia memahami hikmah di sebalik perintah dan larangan Allah SWT, seterusnya mendorong kepada ketaatan yang lahir daripada kesedaran, bukan sekadar rutin ibadah. Dengan itu, penghayatan makna al-Quran menjadikan interaksi manusia dengan kitab suci tersebut lebih signifikan dalam membentuk kehidupan berteraskan hidayah Ilahi. Bagaimana Salafussoleh Berinteraksi dengan al-Quran Para salafussoleh berinteraksi dengan al-Quran melalui manhaj yang tersusun dan berdisiplin, berasaskan kefahaman yang mendalam disertai dengan pengamalan. Mereka tidak mengejar kuantiti bacaan semata-mata, sebaliknya menekankan proses pembelajaran yang menekankan pemahaman dan amalan. Hal ini dapat dilihat dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abdul Rahman al-Sulami yang menjelaskan bahawa para tabiin mempelajari al-Quran daripada para sahabat Rasulullah SAW sepuluh ayat demi sepuluh ayat. Mereka tidak berpindah kepada ayat seterusnya sehingga memahami kandungannya, serta melaksanakannya dalam kehidupan. Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam musnad beliau, sebagaimana berikut: Sumber imej: Dijana melalui ai حدَّثَنا مَن كان يُقرِئُنا من أصحابِ النَّبيِّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ أنَّهم كانوا يَقتَرِئونَ من رسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ عَشْرَ آياتٍ، فلا يأخُذونَ في العَشْرِ الأُخرى حتى يَعلَموا ما في هذه منَ العِلمِ والعَمَلِ، قالوا: فتعلَّمْنا العِلمَ والعَمَلَ “Telah meriwayatkan kepada kami mereka yang mengajarkan bacaan al-Quran kepada kami daripada kalangan para sahabat Nabi SAW, bahawa mereka mempelajari al-Quran daripada Rasulullah SAW secara berperingkat, iaitu sepuluh ayat demi sepuluh ayat. Mereka tidak beralih kepada sepuluh ayat yang lain sehingga mereka memahami apa yang terkandung dalam ayat-ayat tersebut dari sudut ilmu dan pengamalan. Mereka berkata: Maka kami mempelajari ilmu dan amalan secara serentak.”  Pendekatan ini menunjukkan bahawa al-Quran bagi para salafussoleh merupakan panduan hidup yang membentuk disiplin diri dan kesedaran beragama. Setiap ayat dijadikan panduan praktikal yang diterjemahkan dalam akhlak, ibadah, dan hubungan sosial. Interaksi sedemikian melahirkan generasi yang kukuh dari sudut ilmu dan amal, serta menjadikan al-Quran benar-benar berperanan sebagai sumber pembinaan individu dan masyarakat. Melalui pendekatan ini, al-Quran berfungsi sebagai cahaya yang mengeluarkan mereka daripada kegelapan jahiliah pada zaman tersebut, sekali gus menjadikan mereka sebaik-baik generasi dalam sejarah Islam. Penutup Sebagai kesimpulan, al-Quran merupakan cahaya petunjuk yang mampu menerangi kegelapan zaman dan membimbing manusia menghadapi pelbagai cabaran kehidupan. Melalui pembacaan, penghayatan makna, dan pengamalan kandungannya, al-Quran membimbing pemikiran manusia, membentuk akhlak, dan menjadi panduan yang memandu mereka ke arah kehidupan yang diredai oleh Allah SWT. Pendekatan salafussoleh membuktikan bahawa interaksi yang berasaskan kefahaman dan amal mampu melahirkan generasi yang teguh dari segi rohani dan akhlak. Oleh itu, menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup bukan sahaja satu keperluan, malah satu tuntutan untuk menempuh zaman yang penuh dengan kekeliruan dan kegelapan, ke arah kehidupan yang bermakna dan diredai Allah SWT. Sumber imej: https://news.uthm.edu.my/ Disediakan oleh: Dr Abd Muhaimin bin Ahmad
Baca Lagi
MAIS | Majlis Agama Islam Selangor
Search