PERDAMAIAN TANPA BERSENGKETA (SULH)
Sulh adalah konsep penyelesaian pertikaian dalam Islam yang menggalakkan keamanan dan keharmonian (Mohammad Nor Anwar Mohd Sabri, Nor ‘Adha Ab Hamid, 2021). Ia adalah satu bentuk perdamaian dan penyelesaian yang dianggap sebagai bentuk resolusi terbaik dalam Al-Quran (Arifin, M.A., Hashim, S., Abdul Rashid, K., 2022). Firman Allah dalam  dalam ayat al-Quran surah Al-Hujurat: “Dan jika dua golongan dari orang-orang mukmin berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; tetapi jika salah seorang daripada mereka berlaku zalim terhadap yang lain, maka perangilah yang zalim itu sehingga ia kembali kepada perintah Allah; kemudian jika ia kembali, damaikanlah antara mereka dengan adil dan berlaku adillah; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (al-Quran, 49:9) Menurut Nor’Adha Abdul Hamid & Mohamad Hafifi Hassim et.al (2019) pula, Sulh diamalkan dalam pelbagai bidang, termasuk pertikaian perkahwinan, perselisihan kontrak, dan konflik keluarga. Ia merupakan kaedah yang cekap yang menawarkan situasi menang-menang untuk semua pihak yang terlibat. Islam mendorong amalan sulh dan menekankan pentingnya mencari keamanan dan mengelakkan pertikaian. Nabi Muhammad s.a.w sendiri mempromosikan sulh dan menyelesaikan pertikaian antara pengikutnya. Penggunaan sulh tidak terhad kepada menyelesaikan pertikaian tetapi juga boleh digunakan sebagai prosedur untuk mengelakkan pertikaian sama sekali. Secara keseluruhan, sulh memainkan peranan penting dalam mempromosikan keamanan dan menyelesaikan konflik dalam undang-undang Islam. Pendekatan sulh atau mediasi telah digunakan secara meluas di seluruh dunia sama ada di negara-negara Barat dan juga negara Timur Tengah. Contohnya di negara Kuwait, sulh merupakan kaedah utama penyelesaian kes dan hanya 1% sahaja kes dibicarakan di Mahkamah. Di negeri Selangor, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) telah melaksanakan sulh daripada tahun 2000 dan undang-undang yang digunakan adalah kaedah Sulh Mahkamah Syariah Negeri Selangor 2001yang merupakan pelopor undang-undang Sulh di Malaysia. Selain itu, JAKESS juga merupakan Jabatan Kehakiman Syariah yang pertama menubuhkan Bahagian Penyelesaian Alternatif (ADR) di Malaysia. Sejak tahun 2018, proses sulh telah membantu penyelesaian kes di JAKESS saban tahun sebagaimana statistik penyelesaian sebagaimana berikut: Sumber: Statistik ADR JAKESS, 2024 Jelas menunjukkan bahawa sebanyak lebih 70% kes yang diagihkan ke sulh berjaya diselesaikan dengan penyelesaian secara damai tanpa melalui proses perbicaraan. Ini menunjukkan bahawa peranan sulh sangat signifikan dalam membantu mahkamah Syariah dalam menyelesaian pertikaian tanpa mengambil masa dan komitmen yang panjang berbanding jika kes dibicarakan di hadapan hakim Syarie. Majlis Sulh dikendalikan oleh Pegawai Sulh yang bertanggungjawab membantu pihak-pihak dalam mencapai penyelesaian kes dan memimpin perbincangan Sulh selaras dengan kaedah Sulh dan seterusnya menyediakan laporan Sulh untuk dikemukakan kepada hakim perbicaraan (Mohd Fuad, 2008). Pegawai Sulh hendaklah  bersifat  neutral  bagi  mencari  kesepakatan  menyelesaikan  pertelingkahan (Nora Abdul Hak & et al,2011) antara pihak-pihak dengan melihat kepada fakta-fakta material  dalam  kes  tersebut. Sulh adalah bersifat sulit dan hanya melibatkan pihak-pihak dan pegawai Sulh. Segala yang diperbincangkan di dalamnya tidak boleh dijadikan pembuktian di dalam perbicaraan sekiranya kes tersebut tidak berjaya diselesaikan di dalam majlis sulh dan diagihkan ke dewan perbicaraan. Mengapa perlu lagi masyarakat bertarung di mahkamah sedangkan pertikaian dapat diselesaikan secara tenang dan tanpa konflik. Sulh dapat menyelesaikan konflik atau perselisihan secara aman dan damai. Kelebihannya adalah ia membolehkan pihak yang terlibat berunding secara saling hormat-menghormati tanpa memerlukan pihak ketiga iaitu Hakim untuk memutuskan pertikaian. Sulh memberikan peluang untuk mencapai keputusan yang memuaskan semua pihak. Selain itu, sulh juga lebih menjimatkan masa dan kos daripada penyelesaian melalui proses mahkamah dengan jalan mudah dan tanpa kos juga keringat di mahkamah. Masyarakat masih lagi kurang didedahkan dengan kaedah Sulh. Justeru bagi memberikan pendedahan kepada masyarakat berkenaan dengan kelebihan Sulh, JAKESS sejak tahun 2019 sehingga tahun 2023 telah menganjurkan program Komuniti Sulh dengan objektifnya untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran khusus berkaitan teknik perbincangan terpimpin iaitu sulh dan mediasi terhadap peserta. Sumber imej: Bernama Seterusnya program ini dapat memberi pendedahan kepada peserta dalam membantu masyarakat menyelesaikan sebarang pertikaian menggunakan teknik sulh dan mediasi. Antara agensi yang telah menyertai penganjuran program ini adalah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang pesertanya dalam kalangan imam-imam masjid dan HELWA masjid di negeri Selangor. Selain itu, JAKESS juga mengadakan kerjasama dengan Wanita Berdaya Selangor (WBS) dalam penganjuran program ini pada tahun 2022. Pada tahun 2023 pula, JAKESS telah berkerjasama dengan Seksyen Sektoral, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dengan mensasarkan pada ketua kampung di negeri Selangor tentang pemahaman tentang sulh. Usaha memberikan pendedahan kepada masyarakat berkenaan penyelesaian pertikaian secara alternatif ini hendaklah terus diberikan dari masa kesemasa agar dapat mengubah persepsi masyarakat bahawa pertikaian hanya dapat diselesaikan secara damai tanpa persengketaan dan pertikaman lidah dalam gelanggang dewan bicara. Sulh adalah kaedah yang paling baik seperti jaminan Allah dalam ayat al-Quran iaitu dalam surah al-Nisa menyatakan yang bermaksud, “Perdamaian itu lebih baik”(al-Quran, 4:128). Melaksanakan sulh bukan sahaja dapat menyelesaikan tuntutan juga mendapat ganjaran pahala kerana melaksanakan saranan Allah s.a.w. Dalam ayat ini juga, jelas bahawa sulh adalah sebaik-baik akhlak. PERDAMAIAN TANPA BERSENGKETA (SULH) Sulh adalah konsep penyelesaian pertikaian dalam Islam yang menggalakkan keamanan… Baca Lagi April 23, 2024 SOLAT TIANG AGAMA Sumber imej: Harian Metro Solat merupakan satu ibadah yang diperintahkan… Baca Lagi April 9, 2024 PUASA HANYA MENAHAN LAPAR DAN DAHAGA Daripada Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :… Baca Lagi March 26, 2024 SISI GELAP MEDIA SOSIAL Dalam era digital hari ini, media sosial telah menjadi sebahagian… Baca Lagi March 12, 2024 ISLAM DAN VALENTINE Saban tahun menjelang tanggal 14hb Februari merupakan hari yang dinanti-nantikan… Baca Lagi February 22, 2024
Baca Lagi
MAIS | Majlis Agama Islam Selangor